Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Enam tahanan dan yang lain sebenarnya boleh kembali ke pangkuan keluarga mereka melalui perjanjian pertukaran yang sebenar dalam keadaan hidup. Namun, keengganan tentera penjajah, Netanyahu dan kerajaan ekstremnya ialah penyebab mereka kehilangan nyawa bersama puluhan yang lain yang dibunuh oleh tentera penjajah secara langsung melalui serangan udara ke atas mereka. Ia termasuk orang-orang yang bersama dan yang menjaga mereka.


Beberapa tahanan musuh dibunuh secara langsung oleh tentera penjajah menggunakan peluru hidup. Netanyahu dan pasukannya tidak mempedulikan tahanan-tahanan ini. Ketika ditanya Netanyahu antara koridor Philadelphia dan para tahanan, dia menjawab: "Koridor Philadelphia lebih penting daripada para tahanan," dan ini dinyatakan secara terbuka.


Netanyahu mempamerkan keangkuhan dan cuba menonjolkan sifat 'pejuang' palsu di sana sini. Enam tahanan ini dibunuh secara langsung oleh tentera penjajah dan menjadi punca kematian mereka melalui serangan udara dan cara lain. Sama seperti yang berlaku kepada ramai tahanan yang lain sebelum ini. Sebagai contoh, seorang pemuda Israel yang memegang kewarganegaraan Amerika turut menjadi mangsa.


Pemuda ini, atas permintaan keluarganya dan campur tangan beberapa pihak melalui pengantara Qatar, meminta agar keluarganya diberi kepastian tentang keselamatannya atas dasar kemanusiaan. Kami bersetuju atas dasar kemanusiaan dan politik untuk berusaha ke arah perjanjian sebenar. Kami telah menyerahkan video pemuda ini kepada pengantara Qatar di mana dia bercakap dengan ibu bapanya.


Pemuda ini menghubungi kerajaan Israel. Selepas tempoh tertentu selepas video ini dan video sebelumnya, Briged al-Qassam melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghubungi pemuda tersebut serta orang yang menjaganya. Ini menunjukkan bahawa dia mungkin menjadi sasaran serangan langsung oleh tentera penjajah Israel. Sejak itu, tiada berita mengenai kehidupannya, dan hari ini dia ditemui mati bersama sekumpulan yang lain, menunjukkan dengan jelas bahawa tentera penjajah mensasarkan mereka.


Semua peringkat rundingan menunjukkan bahawa Netanyahu tidak berminat untuk perjanjian pertukaran tahanan. Dia lebih memilih untuk mengarahkan tenteranya membunuh dan memusnahkan seluruh kawasan hanya untuk mendapatkan kembali dua atau tiga tahanan dengan mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin. Dia sebenarnya boleh mendapatkan tahanan tersebut melalui perjanjian pertukaran yang sebenar. Kami telah melakukannya pada November lalu.


Pada November dan Disember lalu, lebih daripada 115 hingga 125 warga haram Israel dan warga asing kembali ke pangkuan keluarga melalui rundingan dengan kehendak dan pengantaraan Qatar. Ini adalah contoh jika Netanyahu benar-benar mahu melaksanakan pertukaran tahanan. Kami sentiasa bersedia dan menunjukkan kesediaan yang tinggi serta membuat banyak kompromi bagi mencapai perjanjian pertukaran, menghentikan serangan dan peperangan, serta mengakhiri penderitaan rakyat.


Amerika Syarikat bertanggungjawab atas kegagalan rundingan ini. Mereka tidak mahu mencapai perjanjian dan telah menarik balik apa yang mereka tawarkan. Sejak Mac lalu, terdapat rundingan tidak langsung antara kami, pihak pengantara dan penjajah. Kami berhenti pada isu gencatan senjata, pertukaran tahanan, pengunduran tentera penjajah dan pembinaan semula.


Pada awalnya kami menetapkan tuntutan yang tinggi untuk pertukaran tahanan, iaitu 500 tahanan Palestin bagi setiap askar lelaki dan wanita Israel manakala 250 untuk yang lain. Apabila pihak pengantara memberitahu bahawa ada peluang besar jika kami melonggarkan syarat-syarat pertukaran, kami segera bersetuju dan mengurangkan syarat dari 500 kepada 50 untuk askar wanita, dan dari 250 kepada 30 untuk orang awam.


Pihak pengantara dan Amerika Syarikat menerima kelonggaran ini dengan baik. Namun, apa yang dilakukan oleh penjajah? Mereka mengabaikan dan mula bermain helah baru pada bulan Mei. Pada Mei, pihak  pengantara Mesir sebagai pengantara telah mengemukakan satu perjanjian lengkap yang kami setuju serta-merta. Keesokan harinya, apa yang dilakukan oleh penjajah? Mereka menyerang sempadan Rafah, dan sehingga kini, ia masih ditutup.


Saya berikan contoh lain: Dokumen Israel yang dibentangkan pada 27/5 telah diambil oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Dia membaca butirannya, kemudian pihak pentadbiran Amerika menyokongnya dan Majlis Keselamatan PBB turut menerima dokumen tersebut. HAMAS menyambut baik prinsip-prinsip yang dinyatakan oleh Presiden Amerika dan keputusan Majlis Keselamatan. Kami melihat ini sebagai peluang untuk mencapai kesepakatan dan bersetuju untuk maju, tetapi apa yang dilakukan oleh pihak penjajah? Mereka mula mengelak.


Kami mengemukakan maklum balas mengenai dokumen ini, kemudian pihak Amerika menyatakan ada peluang besar untuk mencapai persetujuan jika kami membuat sedikit perubahan pada lafaz tanpa mengubah inti pati, semua tuntutan kami dapat dipenuhi. Kami kemudiannya mengemukakan dokumen berdasarkan dokumen Israel yang telah kami persetujui.


Kami telah mengemukakan pertanyaan kepada para pengantara, dan pihak Amerika serta Israel mengesahkan kepada pengantara bahawa semua pertanyaan kami telah dijawab. Antara pertanyaan tersebut adalah mengenai koridor Philadelphia, koridor Netzarim, dan pengunduran melalui sempadan Rafah. Mereka mengatakan kepada kami bahawa perkara ini akan berlaku sama seperti pengunduran tentera Israel dari Gaza pada peringkat pertama, khususnya di sempadan timur.


Beberapa pimpinan penjajah Israel menyambut baik dan mengatakan bahawa HAMAS telah membuka peluang bagi kesepakatan, dan pihak Amerika turut memberi maklum balas yang baik. Tetapi apa yang dilakukan oleh Netanyahu selepas 2/7? Sebelum dia pergi ke Amerika Syarikat dan berucap di hadapan Kongres, dia menetapkan syarat-syarat baru yang bercanggah dengan syarat-syarat sebelumnya, khususnya yang terkandung dalam dokumen Israel yang dikeluarkan pada 27/5 dan yang telah diterimanya.


Netanyahu secara jelas menyatakan bahawa tidak akan ada pengunduran dari koridor Netzarim mahupun koridor Philadelphia. Saya ingin menegaskan di sini bahawa tanpa pengunduran dan penarikan sepenuhnya dari Gaza, tiada perjanjian yang akan tercapai. Netanyahu mahu perang berterusan dan tidak mahu mencapai perjanjian kerana perjanjian ini mempunyai harga yang sebenar, dan dia tidak mahu membayar harga tersebut.


Netanyahu dalam dokumennya menyatakan bahawa mereka mahu mengusir 50 tahanan yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup selepas mereka dibebaskan, tetapi selepas 2/7, jumlah ini dinaikkan dari 50 kepada 150.


Antara syarat baru Netanyahu ialah tiada tahanan Palestin yang dihukum penjara seumur hidup akan dibebaskan, walaupun mereka sakit atau sudah lanjut usia. Kenyataannya telah melanggar apa yang dipersetujui dalam dokumen Israel bertarikh 27/5.


Dalam setiap butirannya, Netanyahu menambah syarat baru yang bertentangan dengan dokumen yang disusunnya sendiri, termasuk isu koridor Philadelphia dan koridor Netzarim. Sekali lagi saya ingin tegaskan : Selagi tahanan Palestin tidak dibebaskan, perang tidak dihentikan, dan selagi penjajah Israel tidak berundur, khususnya dari koridor Philadelphia, maka tiada perjanjian yang akan dicapai. Halangan kini sangat besar.


Netanyahu perlu mematuhi apa yang telah dipersetujui, dan Amerika Syarikat perlu memastikan penjajah Israel memenuhi apa yang telah ditawarkan dan disepakati.


Sekarang tiada rundingan sebenar yang berlaku, hanya penangguhan dan permainan masa. Malangnya, sudah dua minggu rundingan berjalan, tetapi ia seperti tidak berlaku apa-apa.


Malang sekali, pentadbiran Amerika Syarikat sedang bergerak dalam dua arah: Pertama, mereka ingin mencapai perjanjian, namun tidak memberi tekanan kepada pihak Israel. Kedua, mereka menyebarkan suasana optimisme dan positif terhadap rundingan sedangkan tidak berlaku sebarang kemajuan.


Kami bertanya kepada pihak pengantara pada hari Khamis mengenai apa yang telah dipersetujui sepanjang dua minggu ini, mereka menjawab bahawa mereka tidak mencapai apa-apa dengan pihak penjajah dan meminta pihak penjajah untuk menyediakan penyelesaian bagi semua isu yang dipertikaikan. Namun, malangnya, rundingan hari ini berkisar pada syarat-syarat baru yang ditetapkan oleh Netanyahu.


Keadaan ini tidak boleh diterima dalam dunia rundingan. Pihak Amerika tidak memberi tekanan kepada pihak penjajah, sebaliknya cuba menyebarkan suasana seoptimisme mungkin untuk tujuan mereka sendiri, tanpa sebarang kemajuan yang hakiki.


Kami menyampaikan kepada pihak pengantara dengan jelas bahawa HAMAS berpegang teguh pada keputusan yang dipersetujui pada 2/7, berdasarkan dokumen Israel yang diterima oleh Amerika. Kami tidak boleh terus berputar pada titik yang sama dan memulakan rundingan baru setiap hari, sedangkan pihak Israel tidak mahu mencapai persetujuan.


Kami mendengar mengenai jawatankuasa teknikal yang sedang berjalan sekarang, namun kami tidak terlibat dalamnya. Akhirnya, kami tidak mendengar apa-apa hasil daripada jawatankuasa tersebut. Mereka membincangkan segala-galanya kecuali mencapai persetujuan. Kami menyatakan pendirian kami kepada pengantara bahawa kami berpegang teguh pada perjanjian 2/7.


Jika penjajah tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada 2/7, kami tidak akan terlibat dalam rundingan. Mereka bercakap ke sana ke mari, tetapi apabila kami bertanya jika terdapat sebarang progres, mereka menjawab bahawa tiada persetujuan dicapai dalam mana-mana perkara. Pihak pengantara tidak dapat memaksa penjajah untuk menarik balik syarat-syarat barunya.


Halangan utama hari ini adalah pengunduran dari laluan koridor Philadelphia, yang merupakan syarat penting. Tanpa pengunduran dari koridor Philadelphia, sempadan Rafah, dan koridor Netzarim, tiada perjanjian yang boleh dicapai.


Sempadan Rafah antara Palestin dan Mesir mesti dikendalikan oleh rakyat Palestin sendiri, dan penjajah mesti berundur dari koridor Philadelphia dan sempadan Rafah. Isu pertukaran tahanan yang rumit kini berdepan dengan halangan baru yang ditetapkan oleh Netanyahu, yang tidak terdapat dalam dokumen 27/5 atau 2/7.


Apa yang berlaku di utara Tebing Barat adalah bukti jelas bahawa kerajaan fasis Nazi ini tidak mengiktiraf kewujudan rakyat Palestin mahupun kewujudan Palestin. Mereka cuba mengubah demografi di Tebing Barat, menyerbu kem-kem penempatan, dan memusnahkan infrastruktur Palestin.


Serangan ke atas Tebing Barat hari ini menambahkan lagi kerumitan, tetapi rakyat Palestin tidak akan menyerah. Kebangkitan di Gaza dan Tebing Barat akan terus berjalan, dan rakyat akan tetap teguh. Penjajah tidak akan gembira kerana rakyat Palestin tidak akan menyerah.


Sejak kedatangan kerajaan fasis ini, lihatlah apa yang mereka lakukan terhadap penempatan haram, Baitul Maqdis, dan Masjid al-Aqsa. Mereka ingin mewujudkan realiti baharu di lapangan dalam semua aspek, dan kerajaan Israel menyokong keganasan dan ekstremisme Zionis. Dunia yang mendakwa menyokong hak asasi manusia, apa yang mereka lakukan?


Buat pertama kali, kerajaan Zionis akan membiayai warga haram Israel yang mencemari Masjid al-Aqsa. Apa maksudnya? Ini bermakna kerajaan Israel menyokong keganasan dan ekstremisme Zionis serta mendukung tindakan ini dengan segala cara yang ada.


Penjajah tidak akan melihat rakyat Palestin menyerah. Apabila rakyat ini melihat hak mereka dirampas dan tiada harapan dalam berurusan dengan penjajah kecuali melalui perlawanan, mereka akan bangkit dengan segala cara, dan sebarang cara perlawanan yang boleh.


Rakyat kita tidak akan tunduk kepada entiti Zionis ini. Walaupun penjajah mempunyai kekuatan ketenteraan dan sokongan Amerika serta antarabangsa memejamkan mata terhadap jenayah yang dilakukan, rakyat ini membuktikan ketahanan dan keupayaan mereka untuk berjuang selama 76 tahun.


Rakyat Palestin telah membuktikan bahawa mereka mampu berdiri menentang penjajah, meskipun dengan darah dan kerugian. Selama 76 tahun, mereka telah mencipta realiti baharu: penjajah tidak boleh terus kekal di bumi ini selagi ada rakyat yang berjuang.


*Sumber: Video wawancara bersama wartawan Al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
September 2, 2024