Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Lammy dalam ucapannya di Parlimen mengumumkan bahawa UK menggantung 30 lesen eksport senjata ke Israel selepas semakan dilakukan.
Lammy berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati risiko yang jelas bahawa senjata tersebut akan digunakan untuk melanggar undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan Lammy itu tidak bermakna sekatan sepenuhnya kerana ia bukanlah embargo senjata.
30 lesen daripada 150 lesen eksport yang diluluskan melibatkan komponen untuk pesawat tentera, helikopter, dron, dan kelengkapan yang memudahkan sasaran di darat.
Susulan pengumuman itu, Menteri Luar, Israel Katz dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menzahirkan kekecewaan mereka terhadap apa yang telah diputuskan oleh UK ke atas Israel.
"Saya berdiri bersama tentera dan agensi keselamatan kami dengan keberanian yang luar biasa, profesionalisme dan nilai moral. Kami tetap komited untuk mempertahankan negara Israel dan rakyatnya," ujar Gallant.