Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan HAMAS telah menandatangani fasa pertama pelan damai Gaza yang merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tahanan, perkembangan paling signifikan sejak genosid di Gaza bermula dua tahun lalu.

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa Israel dan HAMAS telah menandatangani Fasa Pertama Pelan Damai kami. Semua tahanan akan dibebaskan tidak lama lagi dan Israel akan menarik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui,”

tulis Trump di platform Truth Social pada Rabu.

Menurut pelan 20 perkara yang dirangka oleh Trump, fasa pertama menekankan penghentian penuh serangan Israel di Gaza, pembebasan 48 tahanan Israel, termasuk 20 yang disahkan masih hidup, serta pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel.

Kementerian Luar Qatar mengesahkan perjanjian itu dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di platform X:

“Perantara mengumumkan bahawa perjanjian telah dicapai berhubung semua terma dan mekanisme pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata Gaza, yang akan membawa kepada penamatan perang, pembebasan tahanan, serta kemasukan bantuan kemanusiaan,”

kata jurucakap kementerian, Majed al-Ansari.

Beliau menambah bahawa butiran penuh perjanjian akan diumumkan kemudian.

Pengumuman itu dibuat selepas tiga hari rundingan intensif di Sharm el-Sheikh, Mesir dengan penyertaan pihak pengantara utama daripada Qatar, Turkiye, Mesir dan Amerika Syarikat. Turut hadir ialah menantu Trump, Jared Kushner dan utusan khas Steve Witkoff, bersama Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer, orang kanan Benjamin Netanyahu.

Delegasi HAMAS pula diketuai oleh Khalil al-Hayya dan Zaher Jabarin, dua perunding kanan yang terselamat dalam serangan udara Israel di Doha bulan lalu yang mengorbankan lima orang.

Menurut pegawai kanan HAMAS, kumpulan itu menyambut baik penglibatan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Ketua Perisikan Turkiye, yang disifatkan sebagai suntikan tenaga baharu ke arah penyelesaian positif.

Pemimpin HAMAS, Izzat al-Risheq berkata penyertaan pemimpin-pemimpin itu memberi dorongan kuat ke arah menamatkan perang dan melancarkan pertukaran tahanan.

Sementara itu, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menyatakan bahawa rundingan telah mencapai banyak kemajuan dan gencatan senjata akan diumumkan jika hasil positif dicapai.

Namun, menurut Marwan Bishara, penganalisis politik kanan Al Jazeera, rundingan kekal tegang dengan ‘beberapa perbezaan serius’ yang belum diselesaikan, termasuk tempoh dan skala pengunduran tentera Israel, bentuk pentadbiran Gaza selepas perang, serta status HAMAS.

“Anda boleh katakan bahawa ini hanyalah fasa awal kepada fasa pertama,”

ujar Bishara.


“Menurut pelan itu, selepas HAMAS menyerahkan semua tahanan, perang sepatutnya berakhir. Tetapi Israel bertegas perang hanya akan tamat selepas HAMAS melucutkan senjata.”

Trump memberitahu wartawan bahawa beliau mungkin melawat Timur Tengah hujung minggu ini bagi memantau pelaksanaan awal perjanjian.

“Saya mungkin akan ke sana pada hujung minggu, mungkin Ahad,” katanya di Rumah Putih.

Rundingan itu turut disertai oleh wakil Pergerakan Jihad Islam Palestin (PIJ) yang juga memegang beberapa tahanan Israel.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
October 9, 2025