Sebuah agensi akhbar berpusat di Baitul Maqdis, The Jerusalem Post mencetuskan kontroversi selepas menerbitkan sebuah artikel yang mendakwa Lubnan dan beberapa negara Timur Tengah yang lain adalah sebahagian daripada 'tanah yang dijanjikan' untuk Israel.
Bagaimanapun, agensi tersebut dengan pantas memadam artikel tersebut empat hari selepas disiarkan. Artikel yang bertajuk Adakah Lubnan sebahagian daripada wilayah yang dijanjikan Israel? diterbitkan pada 25 September 2024, bertepatan dengan serangan dan pencerobohan darat Israel ke atas Lubnan. Masa penerbitan dan kandungan artikel tersebut dilihat oleh pengkritik sebagai bukti Israel sedang meluaskan wilayahnya di rantau itu.
Mark Fish, penulis artikel tersebut mendakwa bahawa tanah yang dijanjikan Tuhan kepada anak-anak Israel merangkumi sebahagian daripada Israel moden, Tebing Barat, Gaza, Lubnan, Syria, Jordan, Iraq dan bahkan Turkiye. The Jerusalem Post telah memadam artikel tersebut selepas mendapat kecaman di media sosial. Ramai yang menuduh akhbar tersebut mempromosikan ideologi perluasan wilayah dengan justifikasi agama. Walau bagaimanapun, artikel itu telah diarkibkan dan terus berlegar dalam talian.Mark Fish juga ada menukilkan sebuah kenyataan di dalam artikel itu yang mendakwa:
Setiap tempat di mana tapak kaki anda jejaki akan menjadi milik anda — dari padang belantara dan Lubnan, dari sungai — Sungai Furat — sehingga laut barat akan menjadi sempadan anda... Janji dari Pencipta ini dengan jelas meletakkan tanah Lubnan dalam Tanah yang Dijanjikan kepada Israel, atau yang disebut oleh sesetengah orang sebagai 'Tanah Israel yang Lengkap' atau 'Israel Raya'.
Pengkritik berhujah bahawa penerbitan kandungan seperti ini, terutamanya semasa pencerobohan Israel ke atas Lubnan, berperanan untuk mengesahkan usaha penjajahan Israel yang berterusan di Timur Tengah. Mereka mendakwa ia mencerminkan ideologi yang lebih luas dalam kalangan tertentu di Israel yang bertujuan untuk membenarkan perluasan wilayah berdasarkan kepercayaan agama.
Sumber: Middle East Monitor