Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera Zionis pada Sabtu mengumumkan bahawa mereka telah melengkapkan kepungan ke atas Rafah di selatan Gaza, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menguasai lebih banyak kawasan di wilayah tersebut, diiringi dengan pemindahan besar-besaran penduduk Palestin.

Seperti yang didakwa penjajah bahawa pembinaan Koridor Morag bertujuan operasi semata-mata untuk mengehadkan pergerakan HAMAS. Namun begitu, menurut Robert Geist Pinfold, pensyarah keselamatan antarabangsa di King's College London kepada Al Jazeera, langkah ini sebenarnya adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Israel untuk mengawal Gaza dari jauh.

"Di satu pihak, ini adalah bentuk pengepungan klasik ala zaman pertengahan pada tahun 2025. Di pihak lain, terdapat logik strategik jangka panjang yang lebih membimbangkan. Israel sentiasa berusaha mengawal semenanjung Gaza, khususnya untuk memantau apa yang masuk dan keluar, serta bagi memastikan 'keselamatan' wilayah ini seperti yang didakwa oleh Israel," 

jelasnya.

Tambah beliau lagi, 

"Koridor-koridor ini — Morag, Netzarim dan Philadelphi — dinamakan sempena nama penempatan haram. Penempatan ini tidak dibina secara rawak; ia diwujudkan dengan tujuan khusus untuk memisahkan kawasan bandar di Gaza dan memberikan Israel keupayaan menekan wilayah ini pada bila-bila masa yang mereka kehendaki."

Sejak operasi ketenteraan disambung pada 18 Mac lalu, tentera Israel telah mengeluarkan amaran pemindahan berulang kali kepada ratusan ribu penduduk, memaksa mereka berhimpit di kawasan kecil yang semakin mengecil, bersempadan dengan laut.

Menurut tentera penjajah, dalam tempoh 24 jam yang lalu, pasukan Divisyen ke-36 telah menyiapkan pembinaan Koridor Morag yang memisahkan Rafah daripada Khan Yunis.

Perkembangan ini menyusuli pendedahan akhbar harian Israel, Haaretz awal minggu ini melaporkan bahawa tentera Israel sedang bersiap sedia untuk memasukkan Rafah — kawasan yang merangkumi kira-kira satu perlima daripada keseluruhan Gaza — ke dalam zon penampan yang dirancang, di mana rakyat Palestin diharamkan daripada memasukinya.

Haaretz menggambarkan langkah ini sebagai 'penghapusan bandar Rafah.' Zon penampan tersebut dikatakan meliputi kira-kira 75 kilometer persegi dan membentang dari Koridor Philadelphia hingga Koridor Morag, merangkumi Rafah serta kawasan kejiranan sekitarnya.

Sumber: Reuters, Al Jazeera, Anadolu, Haaretz

Written by
Admin
Published on
April 13, 2025