Tentera Israel dilaporkan sedang bersiap sedia untuk operasi darat di Lubnan.
Pengumuman operasi itu dibuat ketika peningkatan serangan ke atas Hizbullah sejak awal minggu ini.
“Kami tidak berhenti. Pesawat kami telah menyerang sepanjang hari di Lubnan dan kami sedang bersiap sedia untuk operasi darat,” kata Ketua Staf Israel, Jeneral Herzi Halevi.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi daripada tentera Israel berkaitan pengumuman tersebut.
Sejak Isnin lagi Israel telah melancarkan serangan yang lebih agresif dan ia dilihat sebagai satu gelombang baharu peperangan Israel-Hizbullah. Sehingga awal pagi tadi waktu Malaysia, seramai 70 orang disahkan maut dan 400 yang lain cedera akibat serangan rejim Zionis terhadap Lubnan dalam tempoh 24 jam.
Tentera Israel juga memaklumkan mereka telah melancarkan lebih 280 serangan terhadap Hizbullah di Lubnan sejak pagi Rabu. Pada masa yang sama, mereka juga telah memanggil dua briged simpanan ke sempadan utara wilayah Israel - Lubnan.
Sejak Isnin, lebih 700 orang Lubnan maut dan lebih 2,000 yang lain cedera.
Sumber: Middle East Monitor, Shehab News, Anadolu Ajansi