Sidang Kemuncak Arab-Islam yang dianjurkan oleh Arab Saudi akan bermula di Riyadh dalam tempoh beberapa jam lagi. Para pemimpin yang terlibat dijangka akan membincangkan berkenaan perang Israel di Gaza, serta serangannya ke atas Lubnan.
Saluran berita milik kerajaan Saudi, Al-Ekhbariya menyiarkan rakaman ketibaan Presiden Nigeria, Bola Tinubu dan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati di Riyadh pada petang Ahad bagi menghadiri sidang kemuncak tersebut. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut dijadualkan hadir.Agensi Berita Saudi menyatakan bahawa serangan Israel di Gaza dan Lubnan telah memaksa para pemimpin Arab dan Islam untuk mengambil tindakan segera.
“Keutamaan utama bagi sidang kemuncak ini termasuklah menghentikan serangan, melindungi orang awam, memberi sokongan kepada rakyat Palestin dan Lubnan, menyatukan pendirian dan memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah tegas bagi menghentikan serangan yang berterusan serta menegakkan keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau ini."
Sidang kemuncak ini diadakan setahun selepas perhimpunan yang sama di Riyadh melibatkan Liga Arab yang berpusat di Kaherah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpusat di Jeddah. Dalam sidang kemuncak berkenaan, para pemimpin mengutuk tindakan Israel di Gaza sebagai kejam. Namun, mereka gagal mencapai kesepakatan mengenai tindakan terhadap Israel, meskipun terdapat seruan untuk memutuskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan entiti tersebut.
Sumber: Al Jazeera