Qatar menafikan laporan media pada Sabtu yang mendakwa mereka telah menarik diri sebagai pihak pengantara usaha gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, Qatar menjelaskan bahawa usaha tersebut hanya ditangguhkan buat sementara waktu.
Dalam satu kenyataan oleh jurucakap Kementerian Luar Negeri, Majed bin Mohammed Al-Ansari berkata, “Laporan media mengenai pengunduran Qatar dalam proses rundingan gencatan senjata di Gaza adalah tidak tepat.”
Beliau menambah bahawa Qatar memberitahu pihak-pihak yang terlibat 10 hari lalu dalam rundingan terakhir bahawa mereka akan menangguhkan usahanya sebagai pengantara antara HAMAS dan Israel jika tiada persetujuan dicapai dalam pusingan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Doha akan menyambung semula usaha tersebut jika pihak-pihak yang terlibat menunjukkan kesediaan dan kesungguhan untuk menamatkan perang yang kejam ini dan penderitaan yang berterusan terhadap orang awam di Gaza.
Tambah beliau, Qatar tidak akan menerima jika pengantaraan itu dijadikan sebagai alasan untuk memeras ugutnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa gencatan senjata pada awal November tahun lalu ada melibatkan taktik manipulasi termasuk mungkir janji terhadap kewajipan yang telah dipersetujui melalui rundingan dan eksploitasi rundingan untuk meneruskan perang bagi memenuhi kepentingan politik tertentu.
Al-Ansari turut memberitahu laporan mengenai penutupan pejabat politik HAMAS di Doha adalah tidak tepat dan beliau menjelaskan bahawa fungsi utama pejabat itu adalah sebagai saluran komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat dan telah menyumbang kepada pencapaian gencatan senjata sebelum ini.
Beliau menegaskan perlunya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi.
Sebelum ini media antarabangsa mendakwa Qatar akan menarik diri sebagai pihak pengantara dalam rundingan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan. Tidak cukup dengan itu, timbul juga dakwaan bahawa Qatar telah memberitahu pimpinan HAMAS bahawa mereka tidak lagi dialu-alukan di negara teluk tersebut.
Sumber: Anadolu Agency