Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Lebih 20 pemimpin dunia tiba di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada Isnin bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Gaza, yang disifatkan sebagai titik tolak bersejarah dalam usaha menamatkan perang dua tahun di semenanjung Gaza.


Sidang kemuncak itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan penyertaan luas dari negara-negara serantau serta kuasa besar dunia.


Antara yang hadir termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Raja Jordan Abdullah II, Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Turut tiba ialah Presiden Perancis; Emmanuel Macron, Presiden Indonesia; Prabowo Subianto, Canselor Jerman; Friedrich Merz, Perdana Menteri Itali; Giorgia Meloni, Perdana Menteri Pakistan; Mohammad Shehbaz Sharif, Menteri Luar Arab Saudi; Putera Faisal bin Farhan serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.


Turut hadir ialah Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer, Perdana Menteri Kanada; Mark Carney, Perdana Menteri Greece; Kyriakos Mitsotakis, Setiausaha Agung Liga Arab; Ahmed Aboul Gheit, Perdana Menteri Sepanyol; Pedro Sanchez, Menteri Luar Oman; Badr Al Busaidi, Perdana Menteri Iraq; Mohammed Shia al-Sudani serta Mantan Perdana Menteri Britain; Tony Blair. Turut menghadiri majlis penandatanganan tersebut ialah Presiden FIFA; Gianni Infantino dan delegasi dari Paraguay serta Belanda.


Menurut kenyataan rasmi Mesir, sidang kemuncak ini bertujuan menamatkan perang di Gaza, mengembalikan kestabilan serantau serta membuka lembaran baharu bagi keamanan dan keselamatan Timur Tengah.


Dalam ucapannya di Sharm el-Sheikh, Presiden Trump menyifatkan perjanjian gencatan senjata ini sebagai permulaan baharu bagi Gaza.


“Hari yang indah telah tiba dan kini tiba masa untuk membinanya semula,” katanya, sambil memuji peranan pemimpin Mesir, Qatar dan Turkiye dalam memeterai perjanjian antara Israel dan HAMAS.


Trump menegaskan bahawa usaha membangunkan semula Gaza perlu dilakukan dengan pendekatan yang menjamin keselamatan Israel serta melibatkan pengunduran tentera dari wilayah tersebut.


“Pembinaan semula mungkin bahagian paling mudah, kerana kita tahu bagaimana untuk membina dengan lebih baik daripada mana-mana negara di dunia,” ujarnya.


Sementara itu, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dalam ucapannya mengingatkan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.


“Mesir, bersama negara-negara Arab dan Islam, menegaskan bahawa keamanan adalah pilihan strategik kami. Pengalaman lampau membuktikan bahawa keamanan hanya boleh dibina atas dasar keadilan dan kesamarataan dalam hak,” tegas beliau.


Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah matlamat tersebut masih jauh. Israel tetap menolak penubuhan negara Palestin, sementara AS masih kabur mengenai visi jangka panjang untuk masa depan Gaza, meskipun terus memberikan bantuan ketenteraan dan diplomatik besar kepada Israel sepanjang peperangan.


Perbincangan turut menyentuh cadangan Trump bagi penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan HAMAS, termasuk pembentukan Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang akan diketuai oleh Trump dan Mantan Perdana Menteri UK, Tony Blair. Cadangan ini bagaimanapun mencetuskan perdebatan mengenai legitimasi politik dan keabsahan pentadbiran pasca-perang di Gaza.


Menurut pensyarah Georgetown University Qatar, Zeidon Alkinani,

“Pemimpin dunia kini berkumpul untuk memastikan mereka sehaluan bagi menamatkan konflik ini. Namun persoalannya, sejauh manakah masa depan Gaza selepas perjanjian ini akan benar-benar berkekalan?”



Sumber: Al Jazeera, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
October 14, 2025