Pasukan Pertahanan Awam Gaza menemui lebih 250 mayat walaupun berdepan kekurangan peralatan bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan selepas dua tahun jenayah genosid Israel. Lebih 10,000 rakyat Palestin masih dilaporkan hilang.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, lebih 250 mayat telah ditemui sejak gencatan senjata dimeterai, dengan sebahagiannya dijumpai terbaring di jalan.
“Kami berdepan kekurangan serius peralatan berat untuk mengalihkan runtuhan. Lebih 10,000 orang masih tertimbus di bawah runtuhan dan kami tidak mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan mereka,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa sisa-sisa perang dan bahan letupan yang ditemui menimbulkan ancaman besar kepada nyawa orang ramai.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa 92 peratus daripada semua bangunan kediaman di Gaza telah rosak atau musnah sejak perang bermula pada Oktober 2023 dan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal terpaksa hidup di dalam khemah serta tempat perlindungan sementara yang lain.
Untuk rekod, lebih daripada 67,800 rakyat Palestin telah terbunuh dalam genosid tersebut, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sumber: Quds News Network