Parlimen Israel, Knesset, meluluskan belanjawan 2025 pada Selasa dalam sesi tegang yang mencerminkan perpecahan politik dan pertikaian mengenai nasib tawanan di Gaza. Knesset meluluskan belanjawan tersebut dengan undian 66-52. Kegagalan untuk meluluskannya sebelum 31 Mac akan mencetuskan pilihan raya mengejut.
"Ini adalah belanjawan perang dan dengan bantuan Tuhan, ia akan menjadi belanjawan kemenangan,"
kata Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, beberapa saat sebelum sesi pengundian bermula.
Dia turut menambah bahawa belanjawan ini merangkumi semua keperluan peperangan di barisan hadapan dan juga di bahagian belakang sehingga kemenangan dicapai.
Perdebatan tegang di Knesset disertai protes keluarga tawanan di galeri awam, dan ahli parlimen pembangkang mengangkat plakad "59" merujuk kepada tahanan di Gaza, dengan 24 dipercayai masih hidup.
Selepas belanjawan diluluskan, pihak pembangkang mengecam belanjawan itu, dengan Yair Lapid menyebutnya sebagai "rompakan terbesar dalam sejarah negara."
"Kamu sedang mencuri wang dan masa depan kelas pertengahan Israel – golongan yang bekerja, membayar cukai, dan berkhidmat dalam tentera,"
katanya di parlimen, merujuk kepada gabungan pemerintah yang diketuai Benjamin Netanyahu.
Kini, media Israel melaporkan bahawa Israel bersedia menerima cadangan perantaraan gencatan senjata dari AS sekiranya HAMAS bersetuju dengannya.
Cadangan itu membolehkan gencatan senjata sementara, kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta pertukaran tahanan, tetapi tidak menamatkan perang.
Rundingan berlangsung sementara Israel meneruskan pengeboman di Gaza, mengorbankan lebih 700 rakyat Palestin, termasuk lebih 200 kanak-kanak.
Serangan itu membantu Netanyahu mengukuhkan gabungan politiknya dan meluluskan belanjawan luar biasa yang melibatkan pemotongan gaji, perkhidmatan sosial, serta mengenakan peningkatan cukai penduduknya bagi membiayai perang dengan dana sebanyak $30 bilion.
Pengumuman gencatan senjata mengukuhkan kedudukan Netanyahu sementara waktu dan berpotensi meredakan protes, sementara di Gaza, ia memberi harapan untuk menghentikan pembunuhan dan mengelakkan kebuluran.
Sumber: Reuters, Al Jazeera