Seramai 200,000 warga haram Israel turun ke jalanan dan melancarkan demonstrasi terbesar sejak 7 Oktober 2023, mencerminkan kebimbangan meluas di seluruh spektrum politik bahawa tindakan kerajaan mengancam demokrasi.
Gelombang protes ini semakin meruncing dan tidak menunjukkan tanda akan berakhir ketika Israel berada dalam krisis politik yang semakin kusut. Situasi lebih kritikal apabila pasukan polis Israel menggunakan kekerasan dan semburan air ke atas mereka yang memprotes terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Minggu lalu, Netanyahu menamatkan gencatan senjata dengan HAMAS selepas dua bulan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan, menyebabkan perang kembali memuncak di Gaza.
Netanyahu juga telah bertindak memecat ketua perkhidmatan keselamatan Shin Bet, Ronen Bar pada Khamis lalu dengan alasan hilang kepercayaan terhadapnya. Keputusan untuk memecat Bar berlaku dalam tempoh yang sama Shin Bet menyiasat pejabat Netanyahu yang dipercayai ada hubungan sulit dengan Qatar. Ekoran daripada itu, Mahkamah Agung Israel membeku pemecatan Bar.
Pada masa yang sama, kerajaan juga berusaha menyingkirkan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara yang dianggap sebagai musuh oleh Netanyahu.
Situasi yang berlaku ketika ini telah mencetuskan krisis perlembagaan. Kumpulan penunjuk perasaan mendakwa tindakan Netanyahu sebagai ancaman kepada demokrasi dan 59 orang tawanan yang masih berada di Gaza yang mana 24 daripadanya dipercayai masih hidup. Vered yang merupakan salah seorang penunjuk perasaan menyuarakan pendapatnya,
"Kenapa perlu tergesa-gesa untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi memecat Ronen Bar daripada menyelamatkan para tebusan? Mereka sedang ‘mencuri’ negara ini dan menghancurkannya di depan mata kami!"
Demonstrasi terkini di Israel merupakan lanjutan daripada protes ke atas tuntutan pembebasan tebusan yang dilakukan secara mingguan.
Sementara itu, di Baitul Maqdis yang dijajah, protes turut berlangsung berhampiran kediaman rasmi Netanyahu di Azza Road (nama sebelum: Gaza Road). Antara yang berucap di sana ialah Miriam Lapid, seorang bekas pemimpin penempatan haram yang kehilangan suami dan anaknya dalam serangan HAMAS pada tahun 1994. Lapid menyeru komuniti Yahudi ultra-Ortodoks untuk menyertai protes tersebut.
"Ini bukan pertempuran antara (sayap) kanan dan kiri. Seseorang sedang memecah-belahkan kalian,"
ucap Lapid.
Sebelum perang bermula, demonstrasi terbesar di Israel adalah pada tahun 2023. Pada ketika itu, rakyat menentang usaha Netanyahu melemahkan sistem kehakiman. Kini, tokoh perniagaan dan teknologi mengancam untuk melumpuhkan ekonomi Israel jika Netanyahu mengingkari keputusan Mahkamah Agung.
Dalam ucapan pemimpin pembangkang, Yair Lapid:
"Kami di sini untuk memberitahu Ronen Bar dan Baharav-Miara bahawa mereka tidak bersendirian."
Beliau turut menuduh Netanyahu sengaja mencetuskan perang saudara dan menyeru rakyat melakukan pemberontakan cukai terhadap kerajaan.
Netanyahu, dalam satu ciapan di media sosial, menolak dakwaan tersebut,
"Tidak akan ada perang saudara! Israel adalah negara yang berlandaskan undang-undang dan kerajaan mempunyai hak untuk menentukan siapa yang mengetuai Shin Bet."
Gelombang protes di Israel semakin berpecah kepada pelbagai suara dan tuntutan dengan sebahagian penunjuk perasaan menuntut pembebasan tebusan serta reformasi politik. Sementara yang lain menyeru penamatan perang di Gaza.
Sumber: The Times of Israel