Mesir mengemukakan cadangan baharu minggu lalu bagi memulihkan perjanjian gencatan senjata di Gaza, menurut sumber keselamatan Mesir kepada Reuters pada Isnin.
Cadangan itu dibuat susulan peningkatan keganasan selepas Israel menyambung semula operasi udara dan darat terhadap HAMAS pada Selasa lalu, sekaligus menamatkan keadaan yang tenang dalam tempoh dua bulan.
Pelan Mesir adalah mencadangkan HAMAS membebaskan lima tawanan Israel setiap minggu, dan Israel melaksanakan fasa kedua gencatan senjata selepas minggu pertama, kata sumber tersebut.
Menurut sumber keselamatan itu, Amerika Syarikat (AS) dan HAMAS bersetuju dengan cadangan tersebut, tetapi Israel masih belum memberi maklum balas.
Mereka juga menyatakan bahawa cadangan Mesir merangkumi garis masa untuk pembebasan semua tawanan sebagai pertukaran dengan garis masa bagi pengunduran penuh Israel dari Gaza, yang akan disokong dengan jaminan dari AS.
HAMAS menyatakan Israel melanggar syarat perjanjian gencatan senjata pada Januari lalu tetapi menyatakan mereka masih bersedia untuk berunding mengenai gencatan senjata dan sedang meneliti cadangan daripada utusan khas Presiden AS, Donald Trump iaitu Steve Witkoff.
Sumber: Reuters