Latest News

Stay updated with the latest developments and news

KENYATAAN MEDIA HAMAS BERHUBUNG SERANGAN ZIONIS TERHADAP HOSPITAL AL-MA'MADANI, BANDAR GAZA

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Pengeboman Hospital al-Ma'madani dan pemusnahan bangunan penerimaan pesakit serta kecemasan oleh pesawat tentera penjajah, selain menghalau para pesakit dan mangsa yang cedera dari hospital tersebut, merupakan satu lagi jenayah perang baharu yang dilakukan oleh tentera penjajah fasis, dalam rangkaian jenayah kejam yang dilakukannya di semenanjung Gaza.

Kejadian jenayah kejam ini sekali lagi menegaskan bahawa kita berdepan dengan entiti penjenayah yang tidak menghormati sebarang undang-undang, sistem, mahupun norma kemanusiaan, dan yang bertindak di bawah perlindungan serta kerjasama Amerika Syarikat, ketika semua mekanisme akauntibiliti antarabangsa sedang lumpuh sepenuhnya.

Bagaimana dunia, bersama keseluruhan institusi politik dan perundangannya terutamanya Majlis Keselamatan PBB boleh berdiam diri terhadap jenayah-jenayah yang belum pernah berlaku dalam era moden ini, termasuk serangan ke atas hospital, pembunuhan beramai-ramai di dalamnya, penyeksaan terhadap pesakit dan mangsa yang cedera, serta menghalau mereka ke jalanan?

Kami meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pihak pentadbiran Amerika Syarikat terhadap jenayah kejam yang dilakukan penjajah di Hospital al-Ma'madani, dan menegaskan bahawa jenayah ini tidak akan berlaku tanpa 'lampu hijau' yang diberikan oleh Washington.

Kami menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi-institusinya, serta negara-negara Arab dan Islam, untuk segera bertindak menghentikan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa ini, dan memikul tanggungjawab politik serta moral mereka untuk menamatkan pembantaian kejam yang berterusan di Gaza.

Sesungguhnya umat Arab dan Islam, serta semua pencinta kebebasan di seluruh dunia, kini berdepan dengan satu tanggungjawab bersejarah untuk menghalang tindakan jenayah terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mencegah pembunuhan serta penyeksaan berterusan terhadap mereka, melalui penggiatan gerakan massa di seluruh medan dan dataran, serta memberikan tekanan dengan semua cara yang ada untuk menghentikan pembantaian kejam di semenanjung Gaza.

Gerakan Perjuangan Islam – HAMAS

Ahad, 15 Syawal 1446H  

Bersamaan: 13 April 2025

Written by
Admin
Published on
April 13, 2025