Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Israel menutup Masjid Ibrahimi di bandar Al-Khalil (Hebron), Tebing Barat kepada jemaah Islam untuk membenarkan penduduk haram Israel menyambut perayaan Yahudi Sukkot, lapor Agensi Anadolu.“Tapak ini akan kekal ditutup sehingga Selasa,” kata Ghassan al-Rajabi, Ketua Pengarah Wakaf Palestin di Al-Khalil, kepada Anadolu.

Dia menyebut penutupan masjid itu merupakan sebahagian daripada pembahagian ruang dan masa penggunaan oleh Israel.Rajabi berkata penduduk haram Israel secara kekal menduduki lebih dua pertiga daripada kompleks masjid untuk mengadakan upacara keagamaan mereka.

“Ini adalah percubaan untuk mengenakan realiti baharu yang membolehkan penduduk haram hadir secara kekal di sana, sambil melucutkan hak beragama orang Islam,” tambahnya.

Masjid Ibrahimi terletak di bandar lama Al-Khalil di selatan Tebing Barat dan berada di bawah kawalan Israel. Kira-kira 400 penduduk haram Israel tinggal di sana, dikawal oleh sekitar 1,500 anggota tentera Israel.

Sebagai tempat yang dihormati oleh kedua-dua orang Islam dan Yahudi, kompleks Masjid Ibrahimi di Al-Khalil dipercayai menjadi tapak pengebumian Nabi Ibrahim, Ishak dan Yakub.Selepas pembunuhan beramai-ramai pada 1994 ke atas 29 oranh jemaah Palestin di dalam masjid oleh seorang penduduk haram Yahudi, Baruch Goldstein, pihak berkuasa Israel membahagikan kompleks masjid antara jemaah Islam dan Yahudi.

Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
October 21, 2024