Genosid Israel di Gaza kini memasuki hari ke-734 berturut-turut dengan siri serangan udara dan bedilan artileri baharu dilancarkan ke seluruh wilayah berkenaan pada pagi Isnin. Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata yang dicapai dalam rundingan di Sharm el-Sheikh di bawah inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Walaupun gencatan senjata dijadualkan bermula pada jam 12.00 tengah hari waktu tempatan, tentera Israel tetap meneruskan operasi ketenteraan di beberapa kawasan Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan rakyat Palestin bahawa perjanjian damai itu mungkin runtuh sebelum sempat dilaksanakan.
Di Bandar Gaza, helikopter tempur Apache milik rejim Israel melepaskan tembakan ke arah kawasan al-Shuja’iya. Pada masa yang sama, serangan udara dan bedilan artileri turut menghentam al-Zaytoun, al-Tuffah dan al-Daraj sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin.
Tentera Israel juga meletupkan dua kenderaan perisai di antara rumah penduduk di kawasan al-Sabra menyebabkan ketakutan dan panik dalam kalangan orang awam.
Di Gaza tengah, bot tentera laut Israel melepaskan tembakan ke arah pantai kem pelarian Nuseirat dan menyaksikan peluru artileri turut jatuh di kawasan utara kem tersebut.
Sementara itu, di Khan Younis, kereta kebal Israel melancarkan bedilan artileri pagi tadi di timur Bandar Hamad, di barat laut kawasan berkenaan.
Menurut radio tentera Israel, unit-unit tempur di Gaza telah diarahkan bersiap sedia sama ada untuk pengunduran penuh atau penempatan semula ke kawasan belakang, selaras dengan pelaksanaan awal perjanjian tersebut.
Lebih 90% daripada keseluruhan infrastruktur Gaza kini musnah atau rosak teruk. Serangan udara Israel telah memusnahkan sepenuhnya 165 buah sekolah dan universiti serta 835 buah masjid, meninggalkan wilayah itu dalam keadaan hampir tidak dapat didiami lagi.
Bangunan-bangunan kediaman, hospital, pusat ibadah dan kem pelarian kini hanya tinggal runtuhan. Puluhan ribu keluarga masih kehilangan tempat tinggal, sementara ratusan ribu lagi hidup dalam kelaparan dan penyakit akibat sekatan menyeluruh Israel yang berterusan.
Walaupun pihak antarabangsa menyambut baik pengumuman gencatan senjata hasil rundingan di bawah pimpinan Trump, kenyataan di lapangan menunjukkan sebaliknya. Israel masih meneruskan serangan tanpa henti, menggagalkan peluang untuk keamanan dan memperdalam penderitaan rakyat Palestin.
Serangan yang berterusan selepas perjanjian diumumkan ini sekali lagi membuktikan bahawa rejim Israel tidak menghormati undang-undang antarabangsa atau perjanjian diplomatik, sebaliknya terus menjadikan penduduk awam sebagai sasaran dalam kempen genosid paling kejam dalam sejarah moden.
Sumber: Quds News Network