Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Tentera Zionis Israel dilaporkan sedang bersiap sedia melancarkan serangan balas ke atas Iran dengan kerjasama Amerika Syarikat. Hal ini berikutan serangan balas peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel awal bulan ini, lapor media Israel pada hari Ahad, menurut laporan Agensi Anadolu.

Menurut laporan Saluran 12, Israel telah memutuskan jenis serangan balas terhadap Iran, namun masa serangan belum ditetapkan. Pada malam Sabtu, tentera Zionis Israel melaporkan berkenaan penempatan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD buatan AS di Israel bagi menangani ancaman peluru berpandu balistik jarak jauh yang mungkin datang dari Iran.

Saluran 12 melaporkan bahawa penempatan THAAD ini adalah sebahagian daripada persiapan Israel bagi serangan "besar" ke atas Iran.

Tentera Zionis Israel sedang berkoordinasi rapat bersama AS yang akan dimaklumkan sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Iran. Saluran itu turut menambah, sistem THAAD yang akan dikendalikan oleh kakitangan Amerika di Israel direka untuk memintas peluru berpandu balistik pada altitud tinggi, sekali gus meningkatkan keupayaan pertahanan udara Israel dengan ketara.

Pada 1 Oktober lalu, Iran melancarkan serangan yang melibatkan sekitar 180 peluru berpandu, dipercayai sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik HAMAS, bersama pimpinan Hizbullah, Hassan Nasrallah dan pegawai Pengawal Revolusi, Abbas Neelvroushan di Tehran.

Tentera Israel kemudiannya mengesahkan bahawa serangan peluru berpandu tersebut menyebabkan kerosakan pada beberapa pangkalan udaranya dan menunjukkan bahawa persiapan untuk tindakan balas terhadap Tehran sedang dijalankan.

Iran mempertahankan serangan peluru berpandunya, memetik Artikel 51 Piagam PBB yang membenarkan negara anggota menggunakan kekerasan untuk mempertahankan diri selepas diserang.

Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
October 14, 2024