Perpecahan dalaman Israel semakin kritikal dari segi skala dan sifatnya selepas kerajaan Benjamin Netanyahu memecat Ketua Shin Bet dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan. Pada masa yang sama, amaran mengenai kemungkinan perang saudara akan meletus semakin meningkat dengan tokoh politik Israel menyatakan bahawa senario tersebut tidak lagi mustahil untuk berlaku.
Menurut penulis dan penganalisis politik Israel, Yoav Stern, Israel sedang menghampiri perang saudara. Beliau menegaskan bahawa protes jalanan kini dipimpin oleh golongan arus utama yang merupakan majoriti jelas dan tidak lagi mempercayai kerajaan Netanyahu.
Dalam wawancara bersama program Masar al-Ahdath, Stern menyatakan bahawa para penunjuk perasaan menuntut perlindungan terhadap sistem demokrasi yang ingin dimusnahkan oleh Netanyahu. Beliau turut berpendapat bahawa dasar sayap kanan yang diterajui Netanyahu telah gagal akibat rasuah yang berleluasa.
Stern menambah bahawa apa yang sedang berlaku adalah satu percubaan untuk menguasai dan mengawal baki institusi demokratik Israel serta menghancurkan kebebasannya. Beliau memberi amaran bahawa demokrasi Israel berada di ambang kehancuran di bawah pentadbiran kerajaan yang buruk ini.
Beliau juga menegaskan perlunya Netanyahu untuk bertanggungjawab kerana telah kehilangan kepercayaan rakyat Israel. "Beliau tidak boleh terus menjalankan tugasnya selepas malapetaka terbesar yang menimpa Yahudi sejak Holocaust," katanya, merujuk kepada serangan 7 Oktober 2023.
Stern turut menyatakan bahawa Israel mungkin menghadapi krisis perlembagaan apabila keputusan pemecatan Ketua Shin Bet, Ronen Bar dibawa ke Mahkamah Agung Israel.
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert telah memberi amaran bahawa Benjamin Netanyahu sanggup mengorbankan segala-galanya demi kelangsungan politiknya. Beliau menegaskan bahawa Israel kini lebih dekat kepada perang saudara berbanding apa yang disedari oleh kebanyakan orang.
Akhbar Yedioth Ahronoth turut memetik kenyataan ketua Perikatan Negara, Benny Gantz yang berkata bahawa Israel kini hanya selangkah lagi daripada perang saudara.
Sumber: Analisis Al Jazeera