Israel dan Hizbullah akhirnya berjaya mencapai kata sepakat untuk mengakhiri peperangan yang berlanjutan sejak 8 Oktober 2023 pada hari ini, jam 4 pagi waktu Lubnan (10 pagi waktu Malaysia).
Usaha gencatan senjata diantara Hizbullah dan Israel melibatkan Perancis dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pihak pengantara.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Lubnan menyebabkan 1.2 juta penduduk di negara itu kehilangan tempat tinggal dan dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, lebih 3,700 orang penduduk Lubnan maut.
Gencatan senjata terkini di antara Israel dan Hizbullah melibatkan beberapa perkara, antaranya:
▫️ Pasukan ketenteraan Israel akan berundur dari selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari.
▫️ Hizbullah akan berundur dari utara Sungai Litani.
▫️ Tentera Lubnan akan kekal sebagai pemerhati situasi semasa perang dan bergerak ke selatan untuk memantau gencata senjata.
Penduduk Lubnan akan beransur pulang ke kediaman masing-masing walaupun tidak dapat dipastikan seramai manakah yang benar-benar berbuat demikian memandangkan kehancuran yang dibuat Israel di Lubnan berskala besar. Israel telah menghancurkan sekitar 37 buah perkampungan dan meratakan sebahagian besar kawasan kejiranan di Beirut, Nabatiyeh dan Tyre.
Pun begitu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa sekiranya terdapat ancaman daripada Hizbullah, pihaknya tidak teragak-agak untuk bertindak balas sehingga Israel meraihkan kemenangan mutlak.
Sumber: AlJazeera, Reuters