Sindiket Ahli Kimia di Lubnan (SCL) memberi amaran bahawa rejim Israel telah menggunakan bom terlarang antarabangsa yang mengandungi uranium. Orang awam berisiko dijangkiti pelbagai jenis penyakit jika terhidu debu yang disebabkan oleh bom tersebut.
SCL menegaskan bahawa penggunaan senjata yang disekat di peringkat antarabangsa bakal membawa kemusnahan besar-besaran terutamanya di Beirut. Sebagai rekod, Beirut mempunyai kadar populasi yang tinggi. Tambahnya, orang awam tidak boleh mendekati kawasan yang dibom dalam radius lebih daripada dua kilometer. Manakala mereka yang terpaksa menghampiri kawasan ini harus memakai pakaian pelindung.
Penggunaan bom anti-kubu ini telah digunakan semasa pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah pada 27 September 2024. Bahan yang sama juga digunakan di dalam operasi percubaan bunuh penggantinya, Hashem Safieddine.
SCL menggesa tindakan daripada komuniti antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan terhadap Lubnan dan menghentikan penggunaan bom yang diharamkan di peringkat antarabangsa.Mereka juga menggesa Lubnan untuk memfailkan tuntutan mahkamah dengan Majlis Keselamatan PBB terhadap pelanggaran undang-undang dan percubaan pembunuhan beramai-ramai orang awam yang tidak bersalah di negara itu.
Israel telah membunuh 1,204 orang di Lubnan sejak mereka melancarkan serangan paling kejam pada 23 September. Lebih daripada 1.2 juta telah berpindah.
Sumber: Middle East Monitor