Latest News

Stay updated with the latest developments and news

HAMAS, Fatah Menandatangani Deklarasi Beijing untuk Masa Depan Gaza

Fraksi Palestin - HAMAS dan Fatah - telah menandatangani perjanjian perpaduan nasional untuk menubuhkan kerajaan bersama sebagai usaha mengekalkan kuasa Palestin ke atas Gaza setelah serangan Israel di Gaza berakhir kelak.

Perjanjian itu dimuktamadkan pada Selasa di Beijing, China selepas tiga hari rundingan intensif. Menurut Menteri Luar Negeri China, Wang Yi, perjanjian ini menjadi asas kepada perdamaian dan perpaduan untuk semua fraksi yang terlibat.

Selain HAMAS dan Fatah, 12 fraksi Palestin yang lain turut terlibat di dalam perjanjian tersebut.

Menelusuri sejarah panjang, HAMAS dan Fatah pernah berkali-kali berusaha dan gagal untuk mencapai kesepakatan dalam menyatukan dua wilayah Palestin di bawah satu pentadbiran. Salah satunya, perjanjian di Cairo pada 2017 berakhir apabila Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyalahkan HAMAS sebagai dalang kepada serangan terhadap Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah pada Mac 2018. Keadaan itu menambahkan lagi ketegangan di antara Fatah dan HAMAS yang memiliki perbezaan dalam menanggapi penjajahan di Palestin.

"Hari ini kami menandatangani perjanjian bagi kesatuan negara dan kami ingin memaklumkan bahawa jalan untuk menamatkan konflik ini adalah melalui kesatuan negara," kata pegawai kanan HAMAS, Musa Abu Marzouk dalam sebuah sidang akhbar di Beijing.

Khabar perdamaian HAMAS-Fatah itu menerima sambutan yang baik dari Malaysia. Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim memuatnaik berita baik itu melalui akaun Instagram beliau;

“Malaysia mengalu-alukan persefahaman dan perpaduan antara Fatah dan HAMAS yang pastinya akan memperkukuh solidariti warga Palestin. Deklarasi Beijing ternyata langkah yang amat penting terutamanya dalam mencapai hak dan kebebasan buat rakyat Palestin.”

Sumber: AlJazeera, Instagram: Dato Seri Anwar Ibrahim, CNN

Written by
Admin
Published on
July 24, 2024