Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Utusan Timur Tengah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump iaitu Steve Witkoff bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu dalam usaha untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza, menurut pejabat Netanyahu.

Susulan daripada perjumpaan tersebut, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menghantar delegasi peringkat tinggi ke Qatar bagi rundingan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan. Keputusan ini sekali gus menandakan kemajuan dalam perbincangan berkaitan perang di Gaza.

Menurut laporan terkini agensi berita Israel, The Times of Israel melaporkan bahawa pasukan yang terlibat termasuk Ketua Mossad, David Barnea, Pengarah Shin Bet, Ron Bar, Pegawai Khas IDF bagi isu tebusan, Mejar Jeneral (B) Nitzan Alon, dan Penasihat Politik Netanyahu, Ophir Falk.

Dalam pada itu, keluarga kepada kira-kira 100 tawanan Israel yang masih ditahan di Gaza mendesak Netanyahu agar mencapai perjanjian untuk membawa tawanan Israel pulang kerana bimbang masa semakin suntuk.

Di peringkat antarabangsa, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyatakan bahawa perjanjian hampir dicapai dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum diserahkan kepada pentadbiran Trump yang akan datang.

Sehubungan itu, para pengantara sedang memperbaharui usaha untuk mencapai perjanjian yang akan menghentikan pertempuran di wilayah itu dan membebaskan tawanan Israel yang masih ditahan di Gaza sebelum Trump memegang jawatan pada 20 Januari. Perjanjian itu juga akan melibatkan pembebasan beberapa tawanan Palestin di penjara Israel.

Pada bulan lalu, Trump memberi amaran melalui hantaran di media sosialnya bahawa akan ada balasan yang berat jika tawanan di Gaza tidak dibebaskan sebelum beliau memegang jawatan pada 20 Januari 2025.

Dalam hantarannya, beliau menulis:

"Mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan lebih keras daripada sesiapa pun dalam garis masa sejarah yang panjang dan gemilang Amerika Syarikat. BEBASKAN TAWANAN SEKARANG!"

Sumber: Quds News Network, Reuters, Al Jazeera, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
January 12, 2025