Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pelancaran Fasa Kedua Perjanjian Gencatan Senjata Gaza pada Selasa, beberapa hari selepas pembebasan 20 tawanan Israel dalam fasa pertama perjanjian yang dirunding bersama Turkiye, Qatar, Mesir dan AS.
Dalam kenyataan di laman media sosialnya, Truth Social, Trump menulis:
“Kesemua dua puluh tawanan telah kembali dan berada dalam keadaan baik. Beban besar telah terangkat, namun tugas kita belum selesai. Mereka yang terkorban masih belum dikembalikan seperti yang dijanjikan. Fasa kedua bermula sekarang!”
Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Trump pulang dari lawatan singkat ke Israel dan Mesir, di mana beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mempengerusikan Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Sharm el-Sheikh bagi mengukuhkan sokongan antarabangsa terhadap pelan damai Gaza anjuran AS.
Dalam fasa pertama, HAMAS dan Israel melaksanakan pertukaran tahanan, menyaksikan pembebasan ratusan tahanan Palestin dari Penjara Ketenteraan Ofer dan beberapa fasiliti tahanan di Gurun Negev, manakala 20 tawanan Israel yang masih hidup turut dibebaskan oleh HAMAS.
Menurut laporan Al Jazeera, HAMAS telah menyerahkan empat lagi mayat tawanan Israel kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada hari ini (Rabu). Sebelum ini, HAMAS telah menyerahkan empat mayat tawanan Israel pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan lapan mayat yang telah diserahkan setakat ini.
Rejim Israel memaklumkan bahawa hanya separuh daripada jumlah trak bantuan yang dipersetujui akan dibenarkan memasuki Gaza, selain menangguhkan pembukaan lintasan Rafah dengan alasan kelewatan penyerahan mayat tawanan Israel yang terkorban. Sekitar 20 lagi mayat dilaporkan masih berada di Gaza dan akan diserahkan secara berperingkat mengikut terma perjanjian gencatan senjata.
Dalam lawatan ke rantau itu, Trump menggambarkan momen tersebut sebagai
“Fasa bersejarah bagi Timur Tengah,” seraya menegaskan bahawa perjanjian damai ini menandakan berakhirnya era peperangan yang memusnahkan Gaza selama dua tahun.
Sebagai sebahagian daripada Fasa Kedua pelan damai AS, perjanjian itu menyeru kepada penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza, pembentukan pasukan multinasional serta pelucutan senjata HAMAS.
Dalam masa yang sama, sebuah hospital di Gaza mengesahkan telah menerima 45 jenazah rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel, juga sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata tersebut.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, menyeru HAMAS agar melucutkan senjata, sambil memberi amaran keras:
“Jika mereka enggan melucutkan senjata, kami akan melakukannya; ia dijangka berlaku dengan pantas dan berkemungkinan secara ganas.”
Sumber: Anadolu Ajansi, TRT World, Al Jazeera