Para pengantara menyerahkan draf akhir perjanjian kepada Israel dan HAMAS pada Isnin untuk menamatkan perang di Gaza. Draf tersebut diserahkan selepas terdapat kemajuan yang memberangsangkan berjaya dicapai dalam rundingan berkenaan. Teks gencatan senjata dan pembebasan tawanan telah disampaikan oleh Qatar kepada kedua-dua pihak dalam rundingan di Doha yang turut dihadiri oleh Ketua Agensi Perisikan Israel, Mossad dan Shin Bet, serta Perdana Menteri Qatar.
“24 jam akan datang merupakan tempoh penting untuk perjanjian dicapai,”
kata pegawai yang dimaklumkan mengenai rundingan.
Menurut seorang pegawai HAMAS kepada Reuters,
“Rundingan mengenai beberapa isu utama mencatatkan kemajuan. Kami berusaha untuk menyelesaikan perkara yang masih berbaki.”
Dalam pada itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata dalam satu sidang media,
“Terdapat kemajuan, keadaannya jauh lebih baik daripada sebelum ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Amerika atas usaha besar mereka untuk mencapai perjanjian tawanan.”
Sementara itu di Kaherah, seorang pegawai keselamatan Mesir memberitahu Reuters bahawa draf yang dihantar kepada kedua-dua pihak yang berperang bukanlah perjanjian akhir tetapi bertujuan menyelesaikan isu-isu tertangguh yang telah menghalang rundingan sebelumnya.
Susulan proses rundingan yang masih berjalan, Netanyahu cuba meyakinkan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich untuk menyokong perjanjian, namun Smotrich menolak kerana menganggap ia ancaman kepada keselamatan negara.
Sumber: Reuters, Al Jazeera