Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Selepas operasi Zionis di Khan Younis berakhir, Yahya Sinwar menyertai pertempuran di Rafah. Beliau ditemani oleh Komandan Batalion Tel al-Sultan, Mahmoud Hamdan, serta seorang lagi Komandan Medan. Mereka bertempur dengan berani di banyak lokasi sejak akhir Mei sehingga pertempuran terakhir beliau direkodkan di Rafah.

Yahya Sinwar dan rakan-rakannya, masing-masing membawa senjata peribadi dan sebuah senapang sniper Dragunov. Ketika berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, musuh menyedari kehadiran mereka dan pertempuran pun bermula.

Mereka berlindung di dalam sebuah rumah di kawasan tersebut dan Zionis mula menceroboh tempat persembunyian mereka. Mereka mengejutkan musuh dengan tembakan yang menyebabkan seorang anggota tentera Israel cedera parah. Komandan Batalion Israel meminta bantuan tambahan untuk mengawal rumah itu.

Serangan kedua bermula dan Yahya Sinwar melemparkan dua butir bom tangan dari tingkap ke arah pasukan tentera yang menyerbu mereka. Serangan itu  menyebabkan beberapa anggota tentera Israel cedera dan mereka terpaksa berundur. Pasukan musuh kemudian memulakan operasi "tekanan" ke atas bangunan itu dengan menggunakan tembakan kereta kebal, roket, dan mesingan tanpa mengetahui siapa identiti pejuang tersebut.

Setelah menghujani dengan peluru dan roket, musuh menghantar sebuah dron yang merakamkan Sinwar sedang duduk dalam keadaan cedera di atas sofa. Pada ketika itulah, beliau melemparkan sebatang kayu ke arah dron tersebut, menunjukkan bahawa pelurunya telah habis.

Pada hari Jumaat, pihak tentera Israel mengakui bahawa seorang askar mereka cedera parah setelah Yahya Sinwar melemparkan dua butir bom tangan ke arah mereka di kawasan Sultan di Rafah sebelum kesyahidannya.

Menurut siaran radio tentera Israel, Yahya Sinwar memakai jaket keselamatan tentera yang mengandungi peluru dan bom tangan, serta ditemani oleh seorang lagi pemimpin medan.Akhbar Israel, Haaretz melaporkan bahawa tiada tanda-tanda kewujudan tebusan di bangunan tempat Yahya Sinwar berada, mahupun di kawasan sekitarnya. Akhbar tersebut turut menyanggah dakwaan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mengenai maklumat perisikan tentang kehadiran Sinwar di kawasan Tel al-Sultan dengan menjelaskan bahawa operasi tentera di kawasan itu tidak didahului oleh sebarang maklumat perisikan.

Haaretz turut melaporkan bahawa salah seorang tentera Israel menyedari pergerakan mencurigakan di salah satu bangunan di Tel Sultan. Selepas kira-kira lima jam, sebuah dron tentera Israel mengesan tiga individu yang keluar dari bangunan itu dan bergerak di antara rumah-rumah di kawasan tersebut. Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka dan pejuang Palestin membalas tembakan.

Menurut siasatan awal tentera Israel, ketiga-tiga pejuang itu cedera dalam tembakan tersebut dan berpecah, menuju ke tempat yang berbeza. Dua pejuang berpindah ke sebuah bangunan lain, manakala Sinwar berpindah ke bangunan yang lain.

Kemudian, sebuah kereta kebal dan pasukan Zionis tiba di lokasi kejadian. Yahya Sinwar naik ke tingkat dua bangunan yang menjadi tempat perlindungannya. Kereta kebal melepaskan peluru ke arah bangunan tersebut. Yahya Sinwar cedera pada tangannya akibat tembakan kereta kebal itu. Setelah tentera Zionis memasuki bangunan, Sinwar melemparkan dua bom tangan ke arah mereka, menyebabkan tentera berundur. Mereka kemudian menggunakan dron untuk mengimbas bangunan dan mengesan seorang lelaki bertopeng yang cedera di bahagian tangannya.

Apabila Yahya Sinwar melihat dron itu, beliau melemparkan sebatang kayu ke arahnya. Pada ketika itu, kereta kebal menembak satu lagi peluru ke arahnya hingga menyebabkan beliau syahid. Pada masa yang sama, berlaku tembak-menembak di bangunan lain yang didiami oleh dua pejuang Palestin yang lain dan dalam pertempuran tersebut seorang pejuang daripada Batalion 450 cedera parah.

Dalam konteks yang sama, wartawan yang dikenali sebagai Elias Karam menyatakan bahawa gambar yang ditularkan oleh tentera Israel dari lokasi pertempuran pemimpin politik HAMAS, Yahya Sinwar telah menyangkal naratif Israel yang mendakwa bahawa beliau bersembunyi dan berada dalam ketakutan di dalam terowong bawah tanah. Elias Karam juga menjangkakan akan ada siasatan bagi menentukan siapa yang bertanggungjawab membocorkan gambar-gambar tersebut. Penularan gambar Sinwar di dalam media sosial akan disiasat dan pelaku akan dihukum kerana mendedahkan maklumat keselamatan yang sensitif. Mereka yang bersalah dijangka akan dilucutkan pangkat dan dipenjarakan.

Sumber: Shehab News

Written by
Admin
Published on
October 21, 2024