Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir mengugut akan menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sekiranya HAMAS tidak dibubarkan sepenuhnya di Gaza.

“Jika kerajaan HAMAS tidak dimusnahkan atau jika mereka hanya berpura-pura telah dibubarkan sedangkan hakikatnya masih wujud dalam bentuk lain, parti Jewish Power akan menggulingkan kerajaan,” kata Ben-Gvir dalam satu kenyataan pada Khamis, menjelang mesyuarat kabinet Netanyahu bagi meluluskan rancangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Gaza.

Ben-Gvir turut mengumumkan bahawa beliau akan menolak perjanjian gencatan senjata Gaza yang ditaja Amerika Syarikat (AS) dengan alasan bahawa rancangan itu melibatkan pembebasan beratus-ratus tahanan Palestin.

“Hati kita semua tentu gembira dengan kemungkinan semua tebusan akan dibebaskan. Namun, di sebalik kegembiraan ini, kita tidak boleh menutup mata terhadap harga yang perlu dibayar — pembebasan ribuan pengganas, termasuk 250 pembunuh yang bakal dilepaskan dari penjara. Ini adalah harga yang terlalu berat untuk ditanggung,” tulis Ben-Gvir di platform X.

“Saya tidak dapat menyokong perjanjian yang membebaskan para pembunuh itu, dan kami akan menentangnya dalam kerajaan,” tambahnya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika kabinet Israel sedang mengundi mengenai perjanjian tersebut.

Menurut laporan harian Israel, Yedioth Ahronoth, mesyuarat Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis malam berakhir tanpa sebarang undian berhubung perjanjian gencatan senjata dengan HAMAS.

Dalam sesi itu, Ben-Gvir dijangka mengundi menentang pelan Gaza yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump bersama menteri ekstrem kanan lain, Bezalel Smotrich.

Langkah keras Ben-Gvir ini sekali lagi menunjukkan perpecahan mendalam dalam kerajaan Netanyahu, di mana puak ultra-nasionalis menolak sebarang langkah kompromi yang berpotensi menamatkan dua tahun genosid Israel di Gaza.


Sumber: TRT World

Written by
Admin
Published on
October 11, 2025