Beberapa trak bantuan kemanusiaan mula memasuki semenanjung Gaza semalam, menandakan permulaan fasa baharu penghantaran bantuan berskala besar di bawah perjanjian gencatan senjata. Menurut perjanjian itu, sebanyak 400 trak bantuan akan dibenarkan memasuki Gaza setiap hari, bagi menyalurkan bekalan penting kepada penduduk yang terjejas.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah itu dijangka meningkat kepada 600 trak sehari, angka minimum yang diperlukan bagi menangani krisis kemanusiaan paling parah dalam sejarah Gaza.
Langkah ini diumumkan ketika HAMAS mengesahkan akan membebaskan baki tahanan Israel pada hari ini, sementara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama pemimpin dunia lain dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan di Sharm el-Sheikh, Mesir, di mana satu dokumen penamatan perang di Gaza dijangka ditandatangani, menurut Kementerian Luar Mesir.
Trump dilaporkan akan melalui Israel terlebih dahulu sebelum ke Sharm el-Sheikh, sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara yang diusulkannya.
Pengedaran bantuan berskala besar ini akan dikendalikan oleh PBB, meskipun peranan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) masih belum diperincikan.
Ketika PBB bersiap untuk mengambil alih operasi pengagihan bantuan, syarikat kontraktor kontroversi AS-Israel, Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sedang membongkar pusat operasinya di seluruh Gaza.
GHF sebelum ini dikritik hebat selepas insiden di mana tentera Israel menembak mati sejumlah besar rakyat Palestin yang beratur untuk mendapatkan bantuan di pusat agihan yang dikendalikannya. Seorang pegawai PBB menyifatkan lokasi tersebut sebagai perangkap maut.
Al Jazeera melaporkan bahawa sisa peluru dan serpihan bom buatan Israel yang digunakan untuk menyerang orang awam turut ditemui di tapak agihan bantuan tersebut.
Menurut Middle East Eye, pertubuhan kemanusiaan melaporkan bahawa bahan binaan khemah, treler dan tempat perlindungan sementara merupakan keperluan paling mendesak ketika ini, khususnya dengan musim sejuk yang semakin hampir. Keperluan itu diikuti oleh bekalan perubatan dan penambahan pasukan kesihatan bagi membantu penduduk yang terjejas.
Pengarah hospital-hospital Gaza, Dr. Mohammad Zaqout, memaklumkan bahawa bekalan ubat dan kelengkapan perubatan amat diperlukan, namun belum ada satu pun yang dibenarkan masuk setakat ini.
“Israel masih menghalang kemasukan pasukan perubatan antarabangsa ke Gaza,” katanya, sambil menegaskan bahawa keadaan hospital kini di ambang lumpuh sepenuhnya.
Sumber: Middle East Eye