Israel tidak akan mampu mengekalkan perang berdarahnya di Timur Tengah, termasuk genosid di Gaza tanpa sokongan kewangan dan ketenteraan daripada Amerika Syarikat (AS), menurut laporan baharu yang mendedahkan bahawa Washington telah menyalurkan sekurang-kurangnya AS$21 bilion sejak Oktober 2023.
Pendedahan itu dibuat dalam laporan “US Military Aid and Arms Transfers to Israel, October 2023–September 2025” yang diterbitkan oleh Costs of War Project di Universiti Brown, disediakan oleh William D. Hartung, felo kanan di Quincy Institute for Responsible Statecraft.
Menurut laporan itu, jumlah sebenar termasuk bantuan langsung, perjanjian jualan senjata, serta perbelanjaan operasi tentera Amerika di rantau ini dianggarkan antara AS$31.35 bilion hingga AS$33.77 bilion.
“Melihat kepada skala perbelanjaan semasa dan masa hadapan, jelas bahawa tentera Israel tidak akan mampu melakukan kerosakan sedemikian di Gaza atau meningkatkan operasi ketenteraan di seluruh rantau ini tanpa pembiayaan, senjata, dan sokongan politik AS,” tulis Hartung dalam laporan tersebut.
Dalam laporan berasingan oleh Linda J. Bilmes, pakar kewangan awam di Harvard Kennedy School, AS dilaporkan telah membelanjakan antara AS$9.65 bilion hingga AS$12 bilion untuk operasi ketenteraan di Timur Tengah sejak 7 Oktober 2023 termasuk AS$2 bilion hingga AS$2.25 bilion bagi serangan terhadap Iran pada Jun lalu.
Hartung turut menegaskan bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden dan penggantinya, Donald Trump, kedua-duanya telah meluluskan puluhan bilion dolar dalam perjanjian senjata yang masih akan dibayar dalam tahun-tahun mendatang. Antaranya termasuk bekalan peluru berpandu berpandu tepat, bom “bunker buster,” dan sistem pertahanan udara yang digunakan Israel dalam serangan ke atas Gaza.
“Sokongan ketenteraan dan kewangan AS bukan sahaja memungkinkan genosid di Gaza — ia turut memberi ruang kepada Israel untuk mengembangkan perang ke seluruh rantau ini,” kata laporan itu.
Israel merupakan penerima bantuan luar terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, dengan purata tahunan sekitar AS$3.3 bilion, dan jumlah kumulatif melebihi AS$150 bilion hingga 2022.
Menurut laporan itu, bantuan ini bukan sekadar berbentuk kewangan, tetapi juga merangkumi latihan, sokongan risikan, serta kempen diplomatik untuk melindungi Israel daripada tindakan undang-undang antarabangsa berkaitan jenayah perang di Gaza.
Penganalisis antarabangsa berkata, laporan ini sekali lagi membuktikan bahawa tanpa Washington, mesin perang Israel akan lumpuh sepenuhnya.
Sumber: Quds News Network