Seorang aktivis Turki-Amerika ditembak mati oleh penembak tepat rejim Zionis pada hari Jumaat semasa protes terhadap penempatan haram Israel di bandar Beita di daerah Nablus di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.
Ahli Biro Politik HAMAS, Izzat al-Rishq, menegaskan bahawa jenayah pembunuhan kejam yang dilakukan oleh penjajah Zionis terhadap warga Amerika-Turki, Aisha Noor Ozgy (26 tahun), dengan tembakan peluru hidup secara sengaja merupakan satu jenayah keji yang telah membongkar kekejaman penjajah. Jenayah penjajah yang berusaha menguburkan setiap suara yang menentang perang kejam mereka terhadap tanah dan rakyat Palestin, serta mereka yang bersolidariti dengan perjuangan.
Izzat al-Rishq menegaskan pada hari Jumaat bahawa peluru yang membunuh aktivis tersebut adalah peluru yang sama diterima oleh tentera rejim Zionis daripada pihak pentadbiran Amerika, dan digunakan untuk membunuh rakyat Palestin setiap hari di seluruh wilayah Palestin yang dijajah.
Izzat al-Rishq turut bertanya: Adakah pentadbiran Amerika dan presidennya, Biden, akan bertindak untuk menghukum pembunuh warga Amerika ini dan membawa mereka ke muka pengadilan, atau adakah nyawa rakyat Amerika dinilai berbeza bergantung kepada sama ada mereka menyokong penjajah atau bersolidariti dengan rakyat Palestin?
Fouad Nafaa, Pengarah Hospital Rafidia, memberitahu Anadolu bahawa Aysenur Ezgi Eygi, yang memegang dua kewarganegaraan Turkiye dan AS, tiba di hospital dengan kesan tembakan di kepala.
Saksi mata melaporkan bahawa penembak tepat rejim Zionis melepaskan tembakan langsung ke atas sekumpulan rakyat Palestin yang menyertai demonstrasi mengecam penempatan haram di Gunung Sbeih di Beita, selatan Nablus.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, mengesahkan bahawa mangsa merupakan seorang sukarelawan Fazaa, satu inisiatif yang bertujuan untuk menyokong dan melindungi petani Palestin daripada pencabulan berterusan oleh penduduk haram Israel dan tentera rejim Zionis secara haram.
Penduduk Beita mengadakan protes mingguan selepas solat Jumaat untuk menentang penempatan haram Israel Avitar, yang dibina di puncak Gunung Sbeih.
Sumber: Telegram rasmi HAMAS dan Middle East Monitor