Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Tujuh daripada sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleen To Gaza (TMTG) dikhabarkan telah menandatangani surat deportasi, manakala dua lagi dijangka selesai dalam masa terdekat.

Setakat kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh MyCare petang semalam, peguam ADALAH telah berjumpa dengan 100 daripada 145 peserta yang telah ditahan di penjara Israel dan dilaporkan bahawa terdapat beberapa orang peserta telah dikasari secara fizikal oleh tentera Israel. Walau bagaimanapun, peserta dari Malaysia disahkan tiada kecederaan.

Dalam satu perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri melalui laman Facebook berkata, Kementerian Luar Turkiye mengesahkan bahawa kapal terbang dari negara haram Israel akan tiba di Istanbul pada jam 3 petang hari ini (waktu Turkiye). Penerbangan itu membawa 95 orang peserta flotila, berkemungkinan kesemua peserta kapal Conscience.

Terdahulu, sembilan kapal misi FFC x TMTG dipintas tentera Israel sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod. Kapal Conscience yang membawa lapan rakyat Malaysia tiba di pelabuhan berkenaan pada 12.45 tengah malam semalam, manakala kapal terakhir, Umm Saad yang dinaiki seorang lagi rakyat Malaysia tiba sekitar 6 pagi waktu Malaysia.

Sumber: Berita Awani, MyCare, Cinta Gaza Malaysia

Written by
Admin
Published on
October 10, 2025