Untuk Apa Israel Di Lubnan?
Rupanya, sudah ada perancangan Israel untuk meluaskan wilayah haram ke selatan Lubnan dan sebenarnya ia bukanlah sesuatu mengejutkan kerana Greater Israel adalah klu yang cukup besar untuk kita menangani ideologi Zionis sejak awal. Tetapi kita tidak mengendahkannya kerana mungkin beranggapan Greater Israel hanya terhad ke atas tanah yang dijanjikan di Palestin sahaja.
Walhal, tahukah kita bahawa Greater Israel bermakna Lubnan juga tidak mustahil akan senasib Palestin, kerana merujuk kepada Taurat melalui buku Genesis (15:18), ada disebutkan tanah yang dijanjikan adalah seluas dari Sungai Mesir ke Sungai Furat:
On that day the Lord made a covenant with Abram, saying, "To your offspring I give this land, from the river of Egypt to the great river, the river Euphrates –
Ini bermakna tanah yang dijanjikan yang dimaksudkan bukan bermaksud tertumpu di Palestin semata-mata tetapi merangkumi kawasan dari Sungai Mesir, Lubnan, Syria, Iraq sehinggalah ke Sungai Furat. Sungai Mesir di Semenanjung Sinai menjadi pemisah di antara Mesir dan Kanaan.
Jadi, tidak hairanlah mengapa Israel masih enggan mengalah untuk mendapatkan Sinai dari Mesir pada hari ini walaupun sudah menandatangani perjanjian damai pada 24 April 1982 selepas 15 tahun menjajah kawasan itu. Dikatakan dalam tempoh penjajahan Israel di Sinai, mereka telah membuka penempatan haram sebagai zon penampan (buffer zone) yang dikenali sebagai Yamit dengan populasi seramai 2,500.
Manakala atas dasar keterikatan bangsa Yahudi dengan agama mereka yang mempercayai Kuil Sulaiman dibina di bawah Masjid al-Aqsa, menyebabkan mereka bersungguh-sungguh menjajah Palestin sejak Deklarasi Balfour pada 1917 dan mendakwa tanah itu tanah yang dijanjikan untuk bangsa Yahudi.
Apa Agenda Sebenar Israel?
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertindak berani dan mungkin sudah bersedia untuk dikritik hebat apabila dia membentangkan pelan New Middle East dengan keseluruhan peta Palestin dinamakan sebagai Israel di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi sesi ke-78 pada September 2023.
Tidak cukup dengan itu, terkini, di dalam UNGA sesi ke-79, dia membentangkan peta Syria, Iraq dan Iran yang telah dihitamkan dan dilabelkan sebagai The Curse. Malah, dia juga menuduh Iran sebagai ancaman kepada setiap negara di Timur Tengah dan negara-negara sekitarnya.
Tindakan Netanyahu yang dilihat sombong di persada dunia - membentangkan pelan untuk meluaskan kuasa Israel dan menuduh kuasa lain lebih bahaya - sebenarnya melondehkan sisi lemah pentadbiran Israel pada hari ini.
Ya, mereka sudah nampak pengakhiran Israel dan sedaya upaya menyelamatkannya.
Manakan tidak, usaha China dan Rusia yang mahu mendamaikan kuasa di Timur Tengah telah menggetarkan Netanyahu dan rakan sekutu, terutamanya Amerika Syarikat (AS).
Pertama, sejak 2023, China sudah mula mengusahakan pendamaian di antara Arab Saudi dan Iran sejak kedua-dua negara ini memutuskan hubungan diplomatik pada Januari 2016. Hubungan Arab Saudi dan Iran terjejas teruk selepas pejabat kedutaan Arab Saudi di Tehran dan Mashhad diserang kerana tokoh Syiah, Nimr Baqir al-Nimr dihukum bunuh oleh pentadbiran Arab Saudi.
Kedua, Rusia cuba untuk mendamaikan Turkiye dan Syria sejak 2020 lagi susulan daripada Perang Saudara Syria (Syria Civil War) pada 2011. Dengan pengaruh Arab Spring di Timur Tengah, berlaku kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan keluarga al-Assad dan pertembungan antara Sunni-Syiah menjadikan keadaan di Syria sangat kompleks.
Usaha damai di Timur Tengah adalah sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan oleh AS. Namun, China dan Rusia membuktikan mereka mampu. Tidakkah ini menyebabkan kedudukan Israel terancam, lagi-lagi apabila melihat kepada usaha keamanan oleh Rusia dan China menyebabkan posisi AS sebagai kuasa dunia goyah?
Lebih menggusarkan Israel, sudah setahun serangan Gaza dilaksanakan dengan alasan mahu memusnahkan HAMAS dan pengaruhnya di wilayah itu, pihak penjajah tetap tidak berjaya untuk mengawal keseluruhan kawasan tersebut. Sebaliknya, banyak kematian dan kecederaan fizikal serta mental tentera Israel yang direkodkan sehingga menjadi satu mimpi ngeri untuk Israel.
Belum lagi kita menyentuh ekonomi Israel yang sudah berada di hujung tanduk walaupun menerima berbilion dana daripada AS untuk bertahan dalam pembunuhan di Gaza sejak Oktober 2023. Dikatakan sebanyak $105 bilion dana telah disalurkan untuk Israel dengan tambahan dana berjumlah $26 bilion pada April 2024.
Di sinilah Israel akhirnya mengambil tindakan untuk menyerang semula Lubnan untuk kali ketiga selepas yang pertama berlaku pada 1982 dan kedua berlaku pada 2006.
Mengapa?
Alasannya tidak lain tidak bukan, mereka sebenarnya sudah kalah di Gaza tetapi enggan mengakui kekalahan itu dan mara di Lubnan pula kerana ia mahu menuntut sebahagian tanah yang dijanjikan.
Pada masa yang sama, untuk menutup ego Netanyahu dan rakan sekutunya, mereka menabur alasan bahawa serangan terkini Israel di Lubnan adalah fasa baharu peperangan yang bermula pada 7 Oktober 2023.
Serangan di Lubnan Serangan Terancang.
Dalam serangan di Lubnan yang mula agresif pada lewat September tahun ini, Ketua Mejar Utara, Ori Gordin dan mantan Penasihat Keselamatan Negara, Meir Ben-Shabbat menggesa penubuhan zon penampan di selatan Lubnan kerana percaya itu sahaja langkah untuk mengurangkan ancaman gerakan penentangan dan parti politik, Hizbullah; serta memastikan keselamatan penduduk di utara Israel untuk pulang ke rumah tanpa diserang. Tidak cukup dengan itu, kewujudan zon penampan itu juga merupakan mesej kepada Hizbullah bahawa keganasan terhadap Israel akan menyebabkan kehilangan wilayah.
Pada 3 November 2023, seorang rabbi daripada pasukan ketenteraan Israel, Briged Nahal, Kapten Amichai Friedman ada mengeluarkan satu seruan:
“Tanah ini milik kita. Kesemuanya. Termasuk Gaza. Termasuk Lubnan.”
Pada 25 September 2024, akhbar digital Israel, The Jerusalem Post telah memuatnaik sebuah artikel bertajuk Is Lebanon Part of Israel’s Promised Territory? tetapi dipadam empat hari kemudian kerana dikritik mempromosikan ideologi Zionis:
“Hashem [God] tells us that we are granted every land we will conquer within the borders mentioned”
Pada 1982 ketika Lubnan diserang Israel buat kali pertama - yang berpunca daripada operasi bunuh duta Israel ke United Kingdom (UK), Shlomo Argov - gerakan ultranasionalis Israel, Gush Emunim telah menyeru kepulangan bangsa Israel:
“Homeland of the Tribe of Asher”
Melihat kepada dakwaan-dakwaan mereka, cukup membuktikan serangan di Lubnan merupakan sebuah serangan terancang. Tanpa sedar kita memandang enteng terhadap hint yang dilontarkan rejim Israel sekian lama atau menganggap isu yang berlaku di Timur Tengah sebagai isu biasa geopolitik. Walhal, dakwaan mereka jelas selari dengan kitab mereka dan diperjuangkan berdasarkan tunjang ideologi Zionisme yang dibawa oleh para rabbi seawal abad ke-16 sebelum dijayakan oleh Theodore Herzl.
Mungkin, ketika ini, kita sudah tidak boleh bersenang-lenang menunggu tindakan Israel yang seterusnya kerana sampai bila nyawa manusia perlu dipertaruhkan untuk mengiyakan kekejaman dan agenda mereka?
Sebaliknya, berusaha untuk memahami strategi Zionis kerana penjajahan di Palestin dan sekarang, Lubnan untuk mewujudkan Greater Israel sudah bermula sejak awal lagi.