All Articles

Trauma Palestin, Pembunuhan Dalam Diam

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
September 17, 2024

Ketika pembunuhan besar-besaran di Palestin berlaku sejak 1948 sehingga kini dibuktikan dengan serangan atau penindasan melalui udara, darat dan laut, satu hal lagi yang membolehkan penduduk Palestin maut tanpa apa-apa kecederaan fizikal adalah kecederaan mental sehingga mencetuskan trauma psikologi.

Sebut sahaja apa-apa jenis jenayah di dunia, semuanya berlaku di Palestin. Jika genosid atau pembunuhan besar-besaran boleh melenyapkan seluruh generasi sesebuah keluarga, jenayah lain seperti dibiarkan kelaparan; ancaman keselamatan - dipukul, dirogol, diliwat; kemusnahan harta benda awam seperti rumah, hospital, sekolah dan pejabat; kemusnahan alam sekitar dan budaya Palestin telah memberi impak kepada emosi dan mental penduduk Palestin.

Trauma psikologi 

Sejak peristiwa 7 Oktober 2023, angka kesyahidan dan kecederaan di Gaza lebih menarik perhatian kerana ia merupakan bukti yang jelas kekejaman Zionis di wilayah itu. Namun, kecederaan emosi atau trauma psikologi dalam kalangan penduduk Palestin yang tidak dilihat secara mata kasar acapkali dipandang enteng. Walhal, episod hitam yang dialami sejak an-Nakbah secara tidak sedar membentuk identiti mereka dan seluruh Palestin pada hari ini dan akan datang.

Trauma psikologi (juga dikenali sebagai trauma emosi) adalah kesan buruk yang berpanjangan berpunca daripada sesuatu peristiwa atau insiden bersiri yang berbahaya dan mengancam nyawa baik secara emosi atau fizikal sehingga memberi kesan buruk yang berpanjangan.

Di dalam konteks Palestin, terma trauma psikologi tidak hanya terhenti pada definisinya semata-mata kerana ia juga memayungi dua terma lain bagi mencerminkan lebih tepat situasi yang dialami penduduk Gaza dan Tebing Barat, iaitu complex continuous trauma (CCT) dan transgenerational trauma.

Walaupun kedua-dua terma tersebut memisahkan dua jenis kecederaan emosi, trauma di bawah kategori tersebut boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung; ke atas sesiapa sahaja baik golongan dewasa atau kanak-kanak dan menyumbang kepada gejala yang sama iaitu kebimbangan, Kecelaruan Stres Pascatrauma (PTSD) dan kemurungan. 

Complex Continuous Trauma (CCT)

Sesuai dengan perkataan continuous, CCT acapkali terkesan ke atas golongan kanak-kanak seawal usia mereka di mana sejak kecil lagi sudah terdedah dengan pelbagai peristiwa menakutkan dan mencemaskan. Pengeboman dan penindasan setiap hari di Palestin tanpa sedar menyebabkan kanak-kanak di sana berdepan dengan kesukaran untuk mengatasi dan menyesuaikan diri terutama dalam mewujudkan hubungan yang sihat atau; mengekalkan rasa selamat dan kestabilan emosi. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa kanak-kanak Palestin telah kehilangan jiwa dan idea kudus mereka terhadap dunia sebagai tempat yang selamat serta adil; orang sekeliling mereka baik hati dan sentiasa melindungi masyarakat yang ditindas. 

Transgenerational Trauma

Generasi yang menjadi saksi an-Nakbah pada 1948 dan masih hidup pada hari ini, mungkin secara tanpa sedar mereka telah ‘memindahkan’ trauma kepada anak dan cucu melalui pelbagai cara seperti pendedahan naratif, tindak balas dalam didikan atau hubungan dan tindak balas emosi. 

Inilah transgenerational trauma - segala tindak balas dan naratif yang disampaikan oleh generasi terdahulu diterima; dihadam dan difahami - tanpa sedar membentuk penerus legasi yang terkesan, seakan-akan mereka melalui sendiri detik an-Nakbah. Begitu juga trauma ini berupaya melahirkan perasaan yang sama dialami generasi an-Nakbah dalam kalangan penerus legasi

Trauma yang membunuh

Trauma, tidak kiralah ia berpunca daripada insiden jangka pendek atau panjang, kesannya boleh dirasai oleh sesiapa sahaja - kanak-kanak, belia, dewasa, pihak pengamal perubatan, pasukan penyelamat - dan bergantung kepada penerimaan seseorang itu. Mudah kata, lain orang lain kesannya - ada yang menanggung derita PTSD; ada juga mempamerkan tindak balas yang agresif; ada yang kemurungan dan insomnia; malah ada juga yang sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Tidak cukup dengan itu, ada kanak-kanak yang setiap malam mengalami mimpi buruk sehingga terkencing di atas tilam. 

Tetapi tahukah anda bahawa trauma atau stres yang berlebihan juga boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat atau diuruskan secepatnya. Hal ini kerana stress yang melampau boleh mencetuskan perubahan biologi seseorang itu seperti melemahkan sistem imun dan kesihatan kardiovaskular, darah tinggi atau gangguan tidur. Jadi, tidak hairan jika ada kanak-kanak atau golongan dewasa di Palestin yang maut kerana trauma mental!

Cuba kita selami pula situasi dalam kalangan pegawai kesihatan. 

Sebuah kajian yang dijalankan pada 22 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024; melibatkan seramai 66% golongan kaunselor dan psikologis daripada 514 responden yang bekerja, mendapati 70.4% daripada mereka mengalami kemerosotan kesihatan mental mereka; 31.5% daripadanya pula berdepan dengan perasaan negatif seperti hilang harapan atau tidak melihat diri mereka sebagai manusia yang ada kemahiran untuk merawat pesakit dalam tempoh berperang; serta 78.6% responden memerlukan latihan intervensi krisis untuk membantu mereka merawat mangsa perang. Disebabkan itu, 89.5% responden mengaku bahawa perang semasa di Gaza telah memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka.

Bayangkan dengan tinjauan itu kita sudah boleh mendapat gambaran kasar bagaimana teruknya kesihatan mental penduduk Palestin yang hidup di dalam ketakutan bukan bermula pada 7 Oktober 2023 tetapi sejak 1948!

Masa Depan Palestin

Memetik sepotong ayat daripada  Tuan Haji Mohd Azmi Abd Hamid, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menerusi sebuah perbincangan bertajuk From Destruction to Reconstruction: Empowering Gaza’s Education, “Ia bukan hanya pembangunan yang boleh dilihat secara fizikal, tetapi ia tentang pembangunan seluruh ekosistem di Palestin” tahulah kita bahawa pembebasan Palestin yang sebenar adalah kemerdekaan seluruh ekosistem Palestin daripada penjajahan Israel dan Barat. Dan ekosistem yang dimaksudkan adalah menyeluruh, termasuklah tiada lagi penjajahan minda atau trauma yang berpunca daripada Zionis!

Mungkin selepas ini, kita perlu membuka mata bahawa kejahatan Zionis bukan hanya pada angka kesyahidan semata-mata, tetapi kesan psikologi ke atas mereka yang masih bernyawa.

Jika kita tidak bertindak sekarang dengan mempertahankan dan menggerakkan pembebasan Baitul Maqdis melalui strategik politik, mampukah generasi kini Palestin berdiri tegak untuk memimpin negara mereka kelak?