Tanah Suci : Status Palestin dalam Perspektif Agama Islam, Kristian, dan Yahudi

Terdapat banyak cara untuk melihat konflik Palestin-Israel waima dari perspektif sejarah, politik, dan keagamaan. Rencamnya situasi perang dan krisis kemanusiaan yang berlaku di Kota Suci ini, memaksa dunia hanyut untuk sekadar menyorot pada permukaan konflik politik antara kedua negara tersebut. Walhal apa yang sedang berlaku tidak boleh tidak seharusnya dilihat dengan lebih teliti melalui perspektif yang diberikan oleh tiga agama utama iaitu Islam, Kristian, dan Yahudi terhadap sebuah negara yang mempunyai penjara terbuka terbesar di muka bumi, iaitu Palestin.
Menyingkap realiti bahawa tanah Palestin adalah salah satu tempat paling banyak berlakunya pertikaian di dunia dan lokasi konfrontasi yang panjang sejak berdekad lamanya. Negara ini juga mempunyai hubungan yang kuat dengan ketiga-tiga agama Abrahamik yakni Islam, Kristian, dan juga Yahudi. Untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang perkara ini, elemen sejarah, teologi, dan sosial dari ketiga-tiga sisi agama ini dicerakinkan untuk mengungkap status Tanah Suci tersebut dalam masyarakat dunia hari ini.
Perspektif Islam
Palestin, terutamanya di Baitul Maqdis, dilihat dari sisi umat Islam adalah sebagai tanah suci yang mempunyai nilai kerohanian yang sangat signifikan. Salah satu tempat suci umat Islam yang utama adalah di Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis. Tapak di mana Nabi Muhammad SAW diyakini naik ke langit ketika peristiwa Isra' dan Mi'raj. Oleh itu, umum percaya bahawa tanah ini diberkati dan mempunyai aura kerohaniannya yang tersendiri.
Dalam perspektif Islam, sejarah Palestin juga termasuk perjuangan untuk mempertahankan hak dan tanah air. Kerana setelah tinggal di kawasan ini selama berabad-abad lamanya, umat Islam sebulat hati percaya mempunyai hak sejarah dan etika untuk menyatakan sesungguhnya Palestin adalah sebuah tanah air yang merdeka.
Masjid Al-Aqsa dan Kepentingannya
Sebelum ditukar ke arah Kaabah di Mekah, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis adalah kiblat pertama bagi umat Islam seantero dunia. Rentetan peristiwa di mana Nabi Muhammad SAW dibawa dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa, dalam peristiwa Isra'. Kemudian Mi'raj pula Rasulullah SAW dalam makna lain diangkat naik ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT. Dalam ajaran Islam, Al-Aqsa adalah tempat yang sangat mulia dan penuh keberkatan.
Abd Fattah El-Awaisi selari menyatakan akan hal ini melalui teori Lingkaran Barakah Baitul Maqdis, yang mana beliau mengatakan bahawasanya pusat dari pusat Barakah, terletak di Al-Bayt Al-Muqaddas (Masjid al-Aqsa) di Baitul Maqdis[1]. Surah Al-Isra' dan Surah An-Najm juga ada menyebut berkenaan peristiwa ini, menunjukkan betapa pentingnya Baitul Maqdis dalam peta dunia Islam.
Kerajaan Islam Palestin
Sejak zaman Saidina Umar Al-Khattab pada tahun 637M Islam telah mula meletakkan Palestin sebagai salah satu peta dan pasak pemerintahannya. Saidina Umar al-Khattab mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menerima penyerahan kota Baitul Maqdis tanpa menumpahkan darah dan memberikan kebebasan beragama kepada semua penduduknya. Secara langsung, ini menjadi simbolik yang menandakan permulaan era kesejahteraan pemerintahan Islam di kawasan tersebut.
Peristiwa yang membawa kepada Perang Salib
Semasa Perang Salib pada abad ke-11 hingga ke-13, Tentera Salib Eropah cuba mengambil alih Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Kendatipun, semasa Perang Salib Pertama pada tahun 1099, Tentera Salib Eropah berjaya menakluk Baitul Maqdis dalam tempoh selama hampir 88 tahun.
Namun penguasaan Kristian akhirnya tamat. Pertempuran Hattin pada tahun 1187, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (Saladin) berjaya mengambil kembali Baitul Maqdis daripada Tentera Salib. Salahuddin Al-Ayyubi, salah seorang Panglima Islam yang terkenal, menawan kembali Baitul Maqdis semasa Pertempuran Hattin tersebut. Kedudukan Islam di Palestin semakin kukuh melalui kejayaan ini.
Empayar Uthmaniyyah
Seiring beredarnya zaman, pada abad ke-16, Palestin masih menjadi sebahagian daripada kerajaan Islam, Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul. Sebelum tercetusnya perang dunia pertama, empayar Uthmaniyyah memerintah tanah Palestin selama 400 tahun. Menjelang era keruntuhan Empayar Uthmaniyyah, Palestin akhirnya jatuh pada tahun 1917 ke tangan British.
Penubuhan Israel dan Pengaruh British
Tanah Palestin mula berada dalam penguasaan para kolonial semasa berada di bawah mandat British selepas Perang Dunia Pertama. Negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948, mencetuskan konflik antara penduduk Arab Palestin dan pendatang Yahudi. Penduduk Palestin memanggil peristiwa ini sebagai Nakbah, atau "Bencana," kerana mereka menyaksikan kehilangan tanah dan rumah mereka secara kejam dan paksa.
Palestin Bagi Umat Islam Hari Ini
Kini, Palestin masih dilihat oleh orang Islam era ini sebagai tanah suci yang mempunyai sejarah dan nilai spiritualnya tersendiri. Sungguhpun berlaku pergolakan yang berterusan di wilayah ini, ia sebenarnya dianggap sebagai perjuangan untuk mempertahankan hak dan melawan penindasan. Banyak negara dan kumpulan Muslim menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mencapai keadilan dan keamanan tanah air, yang terus menerus menjadikan isu ini, penting dalam dunia Islam dan masyarakat global pada hari ini.
Kepentingan spiritual, sejarah, dan moral rakyat Palestin membentuk perspektif Islam dalam memaknakan jihad dan perjuangan untuk agama dan negara. Bahkan bumi para anbiya’ ini mempunyai tempat yang istimewa di hati umat Islam. Dari Masjid Al-Aqsa yang diberkati hingga sejarah panjang pemerintahan Islam di bumi perjuangan tersebut. Justeru, adalah penting untuk mengakui adanya kewajipan yang mendalam, terkandung di tanah ini untuk dipertahankan oleh seluruh ketumbukan umat yang beriman dengan agama Islam.
Perspektif Kristian
Palestin adalah Tanah Suci bagi orang Kristian, di mana Jesus Christ dan para muridnya tinggal dan dilahirkan. Penyebaran Kristian telahpun bermula di utara dan tengah Palestin, yang kemudiannya tersebar ke seluruh dunia. Di sini terletaknya tempat suci bagi orang Kristian termasuklah Bethlehem, Nazareth, Jerusalem, dan Gereja St. George di Baitul Maqdis yang dianggap sebagai salah satu gereja yang paling penting di dunia. Manakala Gereja Kebangkitan pula dipercayai sebagai makam bagi Jesus Christ. Rumah ibadat Kristian juga terdapat di Galilea, terutamanya di sekitar Tasik Tiberias dan Sungai Jordan. Tambahan, Baitul Maqdis sejak zaman itu sudah pun menjadi pusat ajaran penting Kristian sebelum munculnya Rom menjadi pusat ibadah dan keagamaan pada tahun 590 Masihi melalui pengaruh Paus Gregorius I, yang juga dikenali sebagai Gregorius Yang Agung.
Kehidupan Jesus Christ di Baitul Maqdis
Di Baitul Maqdis berlaku banyak peristiwa penting dalam kehidupan Jesus Christ. Beberapa peristiwa penting yang berlaku termasuklah:
- Kelahiran Jesus: Walaupun Jesus dilahirkan di Bethlehem, yang juga terletak di tanah Palestin, Jerusalem sering disebut dalam konteks kehidupan dan pelayanannya.
- Ajaran dan Mukjizat: Jesus banyak memanfaatkan mukjizat yang dikurniakan kepadanya. Antaranya bakti menyembuhkan orang sakit, menghidupkan orang mati dan mengubah air menjadi anggur untuk membantu masyarakat. Pada masa sama, mengajar orang di sekeliling Baitul Maqdis dan wilayahnya. Tempat-tempat seperti Kuil Solomon, Bukit Zaitun, dan Galilea adalah penting untuk sejarah kepercayaan para penganut agama Kristian.
- Penyaliban dan Kebangkitan: Pembunuhan Jesus berlaku di Golgota (Kalvari) di Baitul Maqdis. Di kota ini juga, dipercayai akan berlaku Kebangkitannya, mengikut asas kepercayaan Kristian iaitu di kubur suci Gereja Makam Kudus.
Tapak Suci Gereja Kristian
Beberapa tapak suci Kristian juga terletak di Palestin, terutamanya di Jerusalem. Antara tapak suci tersebut adalah:
- Gereja Makam Kudus: Gereja ini dibina di tempat yang dipercayai sebagai lokasi penyaliban, kubur, dan kebangkitan Jesus. Ia adalah salah satu tempat utama yang dilawati oleh penganut Kristian dari seluruh dunia.
- Taman Gethsemane: Taman ini adalah tempat di mana Jesus berdoa sebelum ditangkap. Sesetengah orang percaya bahawa pohon zaitun yang terdapat di tempat ini telah wujud sejak daripada zaman Jesus lagi.
- Via Dolorosa: Jalan ini adalah jalan yang diambil oleh Jesus ketika membawa salib ke tempat penyaliban. Penganut agama Kristian melakukan perjalanan ini sebagai sebahagian daripada aktiviti ibadah mereka.
Pada Permulaan Agama Kristian
Sejak awal lagi, tanah Palestin dianggap penting oleh penganut Kristian. Banyak tapak arkeologi Kristian dapat dikesan di banyak tempat di Palestin, dan kawasan ini adalah tempat di mana kebanyakan gereja awal muncul. Bahkan Baitul Maqdis telah menjadi pusat bagi komuniti Kristian yang pertama, yang dipimpin oleh para utusan dan pemimpin gereja awal.
Kekaisaran Romawi dan Byzantine
Pada abad ke-4, Kristian menjadi agama rasmi Kekaisaran Rom. Kaisar atau Maharaja Konstantin I, yang membantu dalam penyebaran agama Kristian, memberi arahan untuk pembinaan Gereja Makam Kudus di Jerusalem. Ibunya, Helena, juga melawat tanah suci dan galak membangunkan gereja dan tempat suci Kristian di sana.
Peristiwa Perang Salib
Perang Salib berlaku semasa orang Eropah Kristian pada abad ke-11 hingga ke-13 berusaha mengambil alih tanah suci daripada pemerintahan Islam. Tentera Salib berjaya menakluk Baitul Maqdis pada tahun 1099. Tetapi pemerintahan mereka berakhir pada tahun 1187 ketika Salahuddin Al-Ayyubi, menawan kembali kota tersebut. Hubungan antara Islam dan Kristian Palestin berubah selepas penawanan kota tersebut dan semakin harmoni sejak peristiwa itu hinggalah ke hari ini.
Zaman Uthmaniyyah dan Mandat British
Tanah Palestin berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah selama beberapa abad sehingga Perang Dunia Pertama. Selepas perang, tanah Palestin berada di bawah Mandat British. Pada masa ini, terdapat peningkatan dalam hubungan antara penganut Kristian dan tapak suci mereka di tanah Palestin.
Penubuhan Israel dan Konflik Moden
Penubuhan negara Israel pada tahun 1948 menyebabkan konflik yang berterusan antara penduduk Arab Palestin dan pendatang Yahudi. Banyak penganut Kristian, terutama yang berasal dari komuniti Arab Palestin, terjejas oleh konflik ini. Gereja-gereja Kristian di seluruh dunia telah menyatakan sokongan mereka kepada usaha damai dan keadilan bagi semua pihak yang terlibat.
Tanah Palestin terus menjadi tempat yang sangat penting bagi penganut Kristian di seluruh dunia. Tambahan, banyak penganut Kristian melawat tanah suci sebagai sebahagian daripada ziarah mereka, dan tapak-tapak suci seperti Gereja Makam Kudus terus menarik berjuta-juta pelawat setiap tahun. Walaupun demikian, konflik yang berterusan di kawasan ini sering kali menjadi sumber kebimbangan bagi komuniti Kristian yang berpegang pada agama. Dengan harapan, ingin melihat penyelesaian damai dan keadilan bagi semua pihak dapat dijayakan.
Pandangan Kristian terhadap tanah Palestin adalah berdasarkan kepentingan spiritual, sejarah, dan moral. Dari kehidupan dan ajaran Jesus Christ hingga sejarah panjang agama Kristian di kawasan tersebut. Tanah Palestin mempunyai nilai yang cukup bermakna bagi penganut Kristian.
Perspektif Yahudi
Sejarah orang Yahudi di Palestin juga tidak lepas daripada perbincangan perjuangan untuk “hak-hak” mereka. Menurut agama Yahudi, mereka mempunyai hak sejarah dan moral untuk tinggal di kawasan ini kerana ia telah dihuni oleh nenek moyang sejak azali. Selama tanah ini mahu dituntut tuntas, sembari konflik yang berterusan dianggap sebagai usaha untuk mempertahankan hak adalah wajar. Perlawanan itu pasti bagi siapapun yang cuba dan hendak menghalang kepada kejayaan hasrat besar tersebut dilaksanakan.
Tanah Dijanjikan
Yahudi percaya bahawa Tuhan telah menjanjikan tanah Palestin yang ada pada hari ini kepada Ibrahim, Ishak, dan Yaakub. Tuhan berjanji di Kitab Kejadian dalam Taurat untuk memberikan tanah ini kepada Ibrahim dan keturunannya.
Jerusalem, atau "Yerushalayim" dalam sejarah Yahudi, memegang kepentingan yang besar dalam kepercayaan Yahudi. Ia dikenali sebagai "Zion" dan "Tembok Ratapan" dalam Talmud, dan dianggap sebagai pusat sejarah Yahudi. Jerusalem juga merupakan kata kunci utama dalam negara Yahudi, mempromosikan idea dunia sebagai keseluruhan memerlukan usaha mereka sebagai Sang Penyelamat untuk "memperbaiki dunia” atau Tikkun.
Ia adalah sebahagian perkara penting dari wilayah Palestin, di mana orang Yahudi tidak dapat dipisahkan dari “tanah air” nenek moyang mereka. Idea "tahun depan di Jerusalem" berakar pada moral, semangat, dan perpaduan, dan telah menjadi slogan politik Zionisme[2].
Kuil Sulaiman serta Jerusalem
Jerusalem merupakan pusat ibadah Yahudi. Kuil Sulaiman yang pertama dan kedua dibina di kota ini adalah tempat orang Yahudi beribadat dan mempersembahkan korban kepada Tuhan. Kuil Pertama dibina oleh Raja Sulaiman pada tahun 1000 SM, tetapi pada tahun 586 SM, orang Babilonia memusnahkannya. Ia dibina semula pada abad ke-6 SM, tetapi orang Rom memusnahkannya pada tahun 70 M. Orang Yahudi masih mengharapkan pembinaan semula kedua-dua kuil ini, yang merupakan peristiwa tragis dalam sejarah mereka.
Sisa-sisa Kuil Kedua yang digunakan oleh orang Yahudi sebagai tempat ibadah adalah Tembok Barat, juga dikenali sebagai Tembok Ratapan. Orang Yahudi pergi ke sana untuk berdoa dan meratapi keruntuhan Kuil tersebut.
Zaman Patriarki:
Sejarah orang Yahudi di Palestin kebiasaannya akan digariskan melalui kronologi permulaan zaman patriarki Abraham (Nabi Ibrahim), Ishak (Nabi Ishak), dan Yakub (Nabi Yakub). Kitab Kejadian yang juga sebahagian daripada Kitab Taurat ada menceritakan tentang mereka dan tanah yang Tuhan janjikan kepada mereka.
Negara Yehuda dan Israel:
Pada tahun 1000 SM, Raja Daud menubuhkan Kerajaan Israel dengan Jerusalem sebagai ibu kotanya. Anaknya, Raja Sulaiman, telah membina Kuil Pertama di tempat ini. Selepas Sulaiman meninggal dunia, kerajaan itu berpecah menjadi Kerajaan Israel di utara dan Kerajaan Yehuda di selatan. Sejarah kedua-dua kerajaan ini rumit dan mereka kerap berperang dengan kerajaan jiran yang lain.
Penubuhan Babilonia
Orang Babilonia menakluk Kerajaan Yehuda pada tahun 586 SM dan memusnahkan Kuil Pertama. Sebelum Raja Cyrus dari Parsi membenarkan orang Yahudi kembali ke tanah mereka, mereka dibuang ke Babilonia dan tinggal di sana selama beberapa dekad. Dalam sejarah Yahudi, peristiwa ini dipanggil Penawanan Babilonia.
Pembangunan Kuil Kedua
Selepas kembali dari pembuangan, orang Yahudi membina Kuil Kedua di Jerusalem pada abad ke-6 SM. Kuil ini menjadi pusat ibadah dan kehidupan agama orang Yahudi sehingga orang Rom memusnahkannya pada tahun 70 M. Orang Yahudi masih mengharapkan pembinaan semula Kuil di Jerusalem selepas kehancuran Kuil Kedua, peristiwa ini adalah titik tragis dalam sejarah mereka.
Diaspora Yahudi
Orang Yahudi tersebar ke seluruh dunia dengan fenomena yang dikenali sebagai Diaspora Yahudi selepas Kuil Kedua runtuh. Walaupun mereka tinggal di pelbagai negara, orang Yahudi terus menganggap tanah Palestin dan Jerusalem sebagai pusat spiritual dan harapan masa depan bagi mereka. Mereka terus memohon untuk membina semula Kuil di Jerusalem dan kembali ke tanah yang dijanjikan.
Aktiviti Zionis dan Pembentukan Israel
Gerakan Zionis muncul pada akhir abad ke-19 dengan matlamat untuk menubuhkan negara Yahudi di tanah Palestin. Gerakan ini digerakkan oleh ahli akademik seperti Chaim Weizmann dan Theodor Herzl. Orang Yahudi dari seluruh dunia mula berhijrah ke tanah yang dijanjikan pada tahun 1948 apabila negara Israel ditubuhkan. Penubuhan Israel adalah peristiwa penting dalam sejarah Yahudi kerana ia mewakili pelaksanaan harapan yang telah lama dipegang oleh orang Yahudi.
Palestin di mata Yahudi Hari ini
Penganut Yahudi kontemporari terus menganggap tanah Palestin, terutamanya Jerusalem, sebagai pusat spiritual dan sejarah. Hubungan orang Yahudi dengan tanah ini diperkukuh lagi oleh peristiwa penting seperti penubuhan Israel pada tahun 1948 dan penguasaan Jerusalem Timur pada tahun 1967. Walau bagaimanapun, konflik yang berterusan dengan penduduk Arab Palestin atau secara lebih rincinya penduduk Gaza. Merumitkan cita-cita besar mereka untuk menguasai ‘tanah yang dijanjikan’ ini secara total untuk pemilikan penuh orang Yahudi.
Kesimpulan
Palestin bukan sekadar sebidang tanah di bumi Arab. Ia adalah tanah yang dipenuhi dengan kisah-kisah suci, pengorbanan dan harapan. Kehidupan jutaan orang Islam, Kristian, dan Yahudi di seluruh dunia dipengaruhi oleh kekuatan simbolik Palestin yang melampaui sempadan fizikalnya. Tidak kira apapun konflik yang berlaku, orang ramai teruslah mendoakan kedamaian bumi yang penuh keberkatan ini. Dalam kesemua ketiga-tiga pandangan agama berkenaan, Palestin dianggap sebagai tanah suci. Ini secara tidak langsung memberikan makna kepada pengabdian manusia kepada Pencipta dan menjadi bukti betapa bermaknanya bumi Palestin dalam khazanah sejarah agama masing-masing.
[1] Abd Fattah El-Awaisi. (2007). Introducing Islamicjerusalem. Dundee, United Kingdom: AlMaktoum Institute Academic Press.
[2] Mohsen Mohammad Saleh. (2022). The Palestine Issue: Historical Background and Contemporary Developments (Ed). Beirut, Lebanon: Al-Zaytouna Centre for Studies and Consultations