Tafsir Surah Al-Isra’: Bukti Kemenangan Palestin yang Dijanjikan

Penulisan ini sambungan bagi artikel lepas bertajuk Tafsir Surah al-Isra' dan Kemenangan Palestin: Ibrah dan Tadabbur Semasa. Para pembaca boleh membacanya berdasarkan carian tajuk tersebut agar dapat memahami kronologi kandungan tema yang dibicarakan.
Percaya ataupun tidak, kemenangan bumi Palestin sudah dijanjikan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 4-5:
وَقَضَيْنَآ اِلٰى بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ فِى الْكِتٰبِ لَتُفْسِدُنَّ فِى الْاَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيْرًا
Dan Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu, “Kamu pasti akan berbuat kerusakan di bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.”
فَاِذَا جَاۤءَ وَعْدُ اُوْلٰىهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَآ اُولِيْ بَأْسٍ شَدِيْدٍ فَجَاسُوْا خِلٰلَ الدِّيَارِۗ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُوْلًا
Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang perkasa, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung. Dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.
Seterusnya pada ayat 7, Allah SWT berfirman:
اِنْ اَحْسَنْتُمْ اَحْسَنْتُمْ لِاَنْفُسِكُمْ ۗوَاِنْ اَسَأْتُمْ فَلَهَاۗ فَاِذَا جَاۤءَ وَعْدُ الْاٰخِرَةِ لِيَسۤـُٔوْا وُجُوْهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوْهُ اَوَّلَ مَرَّةٍ وَّلِيُتَبِّرُوْا مَا عَلَوْا تَتْبِيْرًا
Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan) itu untuk dirimu sendiri. Apabila datang saat hukuman (kejahatan) yang kedua, (Kami bangkitkan musuhmu) untuk menyuramkan wajahmu lalu mereka masuk ke dalam masjid (Masjidil Aqsa), sebagaimana ketika mereka memasukinya pertama kali dan mereka membinasakan apa saja yang mereka kuasai.
Allah SWT menjelaskan di dalam ayat ini bahawa kaum Bani Israel akan membuat kerosakan di atas muka bumi ini sebanyak dua kali. Bukan itu saja, Allah SWT juga menjanjikan kedatangan musuh-musuh Bani Israel untuk menghancurkan mereka sebagai balasan di atas kerosakan yang telah dilakukan.
Pada ayat ini, ramai mufassir moden mentafsirkan kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israel, sekaligus janji Allah SWT untuk menghancurkan mereka sebenarnya telah berlaku selepas diutuskan Nabi Muhammad SAW. Berbeza dengan kebanyakan ulama terdahulu, mereka mengatakan hal tersebut merujuk kepada kerosakan yang dilakukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Pada kesempatan ini, penulis akan memaparkan beberapa pendapat mufassir pada era kini yang boleh menyokong kenyataan di atas.
- Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar
Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar mengatakan bahawa surah ini jelas menjelaskan tentang kemenangan bumi Palestin. Beliau turut menjelaskan bahawa kehancuran Bani Israel sepertimana yang disebutkan di dalam surah ini terbahagi kepada dua. Kehancuran pertama berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW ketika Baginda menghalau kaum Yahudi yang menguasai Madinah. Manakala kehancuran kedua akan berlaku pada zaman sekarang. Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam pada hari ini jugalah yang akan menyuramkan wajah-wajah mereka dan masuk ke masjid yakni Masjid al-Aqsa sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT pada surah al-Isra’ ayat 7.
Berdasarkan pemaparan di atas, dapat difahami bahawa Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar mentafsirkan dua kehancuran Bani Israel di dalam surah ini berlaku setelah diutusnya Nabi Muhammad SAW sebagai nabi, bukan sebelum kenabian. Hal ini kerana, Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar berkata kehancuran Bani Israel sebelum kenabian Baginda telah kerap berlaku, melebihi daripada dua kali. Antara contohnya kebinasaan yang berlaku ke atas Bani Israel sebelum kenabian adalah pada zaman Babylon, Rom, Assyria dan lain-lain.
Antara hujah lain yang dikemukan oleh Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar untuk membuktikan kehancuran kedua Bani Israel yang akan berlaku pada zaman ini adalah merujuk kepada surah al-Isra’, ayat 6:
ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَاَمْدَدْنٰكُمْ بِاَمْوَالٍ وَّبَنِيْنَ وَجَعَلْنٰكُمْ اَكْثَرَ نَفِيْرًا
Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka, Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah mengembalikan kekuatan Bani Israel berupa harta dan anak-anak setelah mereka dikalahkan oleh musuh-musuh sebelumnya. Jika dikaitkan dengan situasi Israel pada hari ini, kekuatan yang mereka punya jauh lebih besar dari apa yang diperoleh sebelum ini. Kekuatan mereka hari ini berupa ketenteraan, kekayaan harta dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain. Kemudian pada ayat 7, Allah menjelaskan tentang janji kedua untuk menghancurkan kembali Bani Israel dan menyuramkan wajah-wajah mereka.
Maka berdasarkan beberapa pendapat Syeikh Abdul Muiz Abdul Sattar yang disebutkan di atas, beliau meyakini bahawa kehancuran Israel pada zaman sekarang akan berlaku berdasarkan kesesuaian penafsiran ayat-ayat al-Quran di atas dengan konteks situasi di Israel pada hari ini. Hal tersebut membawa makna yang sangat besar iaitu kemenangan Islam di bumi Palestin akan berlaku di zaman ini juga dengan izin Allah
- Syeikh Mutawali Sya’rawi
Syeikh Mutawali Sya’rawi, seorang mufassir kontemporari menyebut di dalam kitab tafsirnya bahawa ayat di atas merujuk kepada situasi pada hari ini. Jelasnya lagi, orang Yahudi dari berbagai negara akan berhimpun di satu negara. Melihat kepada situasi yang berlaku sekarang di Palestin, kebanyakan bangsa Yahudi datang dari berbagai negara seperti Hungary, German, Rom dan lain-lain. Pendapat ini merujuk kepada firman Allah SWT pada surah al-Isra’, ayat 104:
وَّقُلْنَا مِنْۢ بَعْدِه لِبَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ اسْكُنُوا الْاَرْضَ فَاِذَا جَاۤءَ وَعْدُ الْاٰخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيْفًاۗ
Setelah itu Kami berfirman kepada Bani Israil, “Tinggallah di negeri ini! Apabila janji kebangkitan datang, niscaya Kami kumpulkan kamu dalam keadaan bercampur baur.”
Kata جِئْنَا بِكُمْ لَفِيْفًاۗ bermaksud “Kami kumpulkan kamu (Bani Israel) dalam keadaan bercampur baur”. Mesej ini menguatkan lagi pendapat Syeikh Mutawali Sya’rawi bahawa Allah akan mengumpulkan kaum Bani Israel di satu tempat atau negara sebenarnya merujuk kepada bumi Palestin pada hari ini.
Selain itu juga, beliau berpendapat bahawa perkataan وَعْدُ yang bermaksud “janji” pada ayat di atas merupakan jaminan yang belum berlaku. Di sini kita boleh simpulkan bahawa janji yang terdapat dalam ayat ini akan berlaku pada tempoh akan datang. Ini bermakna, kehancuran yang berlaku pada zaman Nebuchadnezzar ke atas Bani Israel tidak sesuai dikaitkan dengan ayat tersebut kerana ia telah pun berlaku. Maka daripada beberapa pendapat yang telah dipaparkan di atas, Syeikh Mutawali Sya’rawi meyakini bahawa janji Allah untuk menghancurkan Bani Israel dalam kalangan Yahudi di Palestin pada saat ini akan berlaku asbab daripada kerosakan yang mereka lakukan di atas muka bumi.
- Dr. Solah Abdul Fatah al-Kholidi
Dr. Solah Abdul Fatah al-Kholidi yang merupakan pakar tafsir dari Jordan ada menyebut di dalam bukunya bahawa kerosakan kedua Bani Israel adalah apa yang dilakukan oleh bangsa Yahudi pada hari ini. Bahkan beliau menambah lagi bahawa kita jugalah yang akan membinasakan mereka.
Jika kita lihat perkataan بَعَثْنَا pada ayat 5, ia membawa maksud “Allah SWT mengutuskan”. Di sini beliau mentafsirkan bahawa ayat itu sebenarnya ditujukan kepada orang mukmin. Bagaimanapun, sifat kaum yang diutuskan untuk menghancurkan Bani Israel tidak menepati ciri-ciri tafsiran mufassir terdahulu. Hal ini kerana mereka merujuk kepada kaum Jalut, Babylon dan lain-lain yang jelas bukan dari kalangan orang mukmin. Pada pandangan Dr. Solah al-Kholidi, tafsiran kepada “Allah SWT mengutuskan” itu adalah bertepatan dengan kriteria orang yang beriman. Tambahan pula, disebutkan di dalam firman Allah SWT dengan kata عِبَادًا لَّنَآ yang bermaksud “hamba kami”. Kata عِبَادًا لَّنَآ menjadi bukti kedua bahawa hamba-Nya yang akan menghancurkan kaum Bani Israel adalah dari kalangan orang-orang mukmin.
Demikianlah beberapa pendapat ulama mufassir yang mengatakan bahawa kemenangan bumi Palestin akan berlaku pada zaman ini. Persoalannya, adakah kita termasuk golongan yang memberi sumbangan kepada kemenangan bumi Palestin kelak? Semoga sekecil-kecil usaha yang kita lakukan bersama dapat memenangkan Islam di bumi Palestin sekaligus mendapat keredaan Allah SWT.