Tadabbur Surah Al-Isra’: Prasyarat Kemenangan Islam di Bumi Palestin

Penulisan ini sambungan bagi artikel lepas bertajuk Tafsir Surah Al-Isra’: Bukti Kemenangan Palestin Yang Dijanjikan. Para pembaca boleh membacanya berdasarkan carian tajuk tersebut agar dapat memahami kronologi kandungan tema yang dibicarakan.
Berdasarkan penulisan yang lalu, beberapa mufassir terkini menyebutkan di dalam kitab tafsir mereka bahawa kemenangan Islam di bumi Palestin akan berlaku pada zaman ini. Kehancuran ke atas Bani Israel merupakan jaminan daripada Allah sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran surah al-Isra’, ayat 7. Persoalannya, adakah penafsiran ini hanya cukup berhenti sampai di sini saja? Setelah Allah menjelaskan dua kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israel sekaligus menjanjikan kehancuran ke atas mereka, Allah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh umat Islam bagi mencapai kemenangan yang dijanjikan. Syarat-syarat tersebut antaranya:
- Berpegang Kepada Al-Quran
Allah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 9:
اِنَّ هٰذَا الْقُرْاٰنَ يَهْدِيْ لِلَّتِيْ هِيَ اَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِيْنَ الَّذِيْنَ يَعْمَلُوْنَ الصّٰلِحٰتِ اَنَّ لَهُمْ اَجْرًا كَبِيْرًاۙ
"Sungguh, Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus dan memberi kabar gembira kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan, bahwa mereka akan mendapat pahala yang besar”
Syarat pertama yang digariskan oleh Allah kepada kita untuk merealisasikan kemenangan Islam di bumi Palestin adalah dengan sentiasa berpegang teguh kepada al-Quran. Nabi Muhammad juga pernah berpesan bahawa al-Quran akan menjadi penjaga seorang hamba-Nya dari kesesatan. Selain memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus, al-Quran juga berperanan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman terutama kepada mereka yang sedang berjuang mempertahankan martabat agama Islam.
Realiti yang dapat sama-sama kita saksikan pada hari ini adalah penggunaan ayat al-Quran oleh tentera-tentera pejuang seperti HAMAS, Hizbullah dan lain-lain. Mereka selalu memulakan ucapan mereka dengan bacaan ayat suci al-Quran dalam konteks perjuangan pembebasan Palestin. Sebagai contoh, ucapan yang dibuat oleh Abu Ubaidah, jurucakap Briged Izzuddin Al-Qassam pada 3 November 2023 yang lalu, beliau memulakan ucapannya dengan membacakan potongan ayat surah al-Taubah, ayat 14:
قَاتِلُوۡهُمۡ يُعَذِّبۡهُمُ اللّٰهُ بِاَيۡدِيۡكُمۡ وَيُخۡزِهِمۡ وَيَنۡصُرۡكُمۡ عَلَيۡهِمۡ وَيَشۡفِ صُدُوۡرَ قَوۡمٍ مُّؤۡمِنِيۡنَۙ
“Perangilah mereka, niscaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tanganmu dan Dia akan menghina mereka dan menolongmu (dengan kemenangan) atas mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman”
Hal ini membuktikan betapa pentingnya menjadikan al-Quran sebagai pendamping dan pelindung apalagi ketika sedang berhadapan dengan musuh-musuh Allah. Bahkan ada sumber yang mengatakan bahawa setiap anggota HAMAS wajib membaca al-Quran satu juz dalam sehari. Semoga kita mampu mencontohi segala amal soleh yang ditunjukkan oleh para mujahidin seterusnya dikurniakan kabar gembira berupa kemenangan.
- Menjaga Solat
Allah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 78:
اَقِمِ الصَّلٰوةَ لِدُلُوْكِ الشَّمْسِ اِلٰى غَسَقِ الَّيْلِ وَقُرْاٰنَ الْفَجْرِۗ اِنَّ قُرْاٰنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُوْدًا
"Laksanakanlah solat sejak matahari tergelincir sampai gelapnya malam dan (laksanakan pula solat) Shubuh. Sungguh, solat Shubuh itu disaksikan (oleh malaikat).”
Solat merupakan bentuk komunikasi antara manusia dengan Tuhannya. Ia juga melambangkan ketaatan manusia kepada Sang Pencipta dan seterusnya untuk membezakan di antara orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Selain itu juga, solat juga merupakan ibadah wajib bagi umat Islam yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat. Nabi Muhammad pernah bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمُ الصَّلَاةُ
“Sesungguhnya amal yang pertama kali dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat adalah shalatnya.”
Solat juga mampu menggerunkan musuh-musuh yang mungkin merancang untuk merosakkan atau mengganggu umat Islam. Solat menunjukkan kesatuan, disiplin, dan kekuatan yang datang dari kepercayaan kepada Allah. Bagi musuh Islam yang berusaha untuk melemahkan atau memecahkan umat Islam, solat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan dapat menjadi bukti kekuatan spiritual umat Islam yang berpotensi menakutkan mereka. Selain itu, solat juga memperkuat keimanan individu dan komuniti Islam, memberi mereka kekuatan untuk menghadapi cabaran dan rintangan dari segi spiritual dan sosial.
Golda Meir yang merupakan Perdana Menteri Israel ke-4 (1969-1974) pernah berkata, Israel tidak akan takut terhadap orang Islam kecuali saat mereka menunaikan solat fajar di masjid sebagaimana mereka menunaikan solat fardhu Jumaat. Maka jelas di sini menunjukkan betapa pentingnya umat Islam untuk menjaga solat fardu sebagai benteng utama melawan musuh.
- Melakukan Solat Malam
Allah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 79:
وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِه نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا
“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”
Bukanlah hal yang mudah untuk masyarakat umum melazimi solat malam seperti yang dilakukan para alim soleh. Solat malam atau selalu disebutkan dengan solat tahajjud memerlukan ketekunan, kesabaran, dan pengorbanan waktu tidur malam. Namun, ganjarannya amat besar dalam Islam kerana amalan ini menunjukkan kesungguhan serta keinginan untuk mendekatkan diri seorang hamba kepada Sang Pencipta.
Salah satu keutamaan bagi orang yang melazimi solat tahajjud adalah Allah akan menjaga mereka dari bencana dunia. Keutamaan ini sesuai dengan apa yang telah disampaikan oleh nabi kepada para sahabat tentang sembilan kemuliaan dunia dan akhirat. Keutamaan tersebut diberikan kepada mereka yang istiqamah melaksanakannya. Maka tidak hairanlah para pejuang di bumi Palestin pada hari ini menjadikan solat tahajjud sebagai kewajipan ke atas mereka agar diselamatkan dari bencana dan tipu daya yang dilakukan zionis laknatullah. Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah untuk melazimi solat tahujjud.
- Berdoa Agar Mendapat Kebaikan
Allah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 80:
وَقُلْ رَّبِّ اَدْخِلْنِيْ مُدْخَلَ صِدْقٍ وَّاَخْرِجْنِيْ مُخْرَجَ صِدْقٍ وَّاجْعَلْ لِّيْ مِنْ لَّدُنْكَ سُلْطٰنًا نَّصِيْرًا
“Dan katakanlah (Muhammad), ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolong(ku).”
Doa bagaikan senjata bagi orang mukmin. Dengan doa kita dapat berkomunikasi dengan Allah serta bebas menyatakan segala luahan dan harapan yang terbuku di dalam hati. Selain itu, doa memiliki kekuatan untuk memberikan perlindungan dari berbagai bahaya dan ancaman. Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya untuk berdoa dalam berbagai situasi, termasuk dalam kesulitan dan kecemasan.
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah memerintahkan Nabi Muhammad untuk berdoa kepada-Nya mencakup seluruh urusan dunia dan akhirat. Doa Nabi Muhammad di atas menunjukkan bahawa Baginda tidak hanya berdoa untuk memohon kebaikan semata-mata, tetapi juga memohon agar dijauhkan dari keburukan dan tipu daya musuh. Maka di dalam usaha ke arah pembebasan bumi Palestin pada hari ini, umat Islam perlu bersatu padu, memanjatkan doa kepada Allah untuk terus menghancurkan kesatuan musuh-musuh-Nya dan memusnahkan langkah-langkah mereka. Walaupun kehancuran Israel telah dijamin oleh Allah, tetaplah berdoa agar kita semua diberikan bimbingan dan perlindungan oleh-Nya.
- Mensyukuri Nikmat-Nya
Allah berfirman di dalam surah al-Isra’, ayat 83:
وَاِذَاۤ اَنۡعَمۡنَا عَلَى الۡاِنۡسَانِ اَعۡرَضَ وَنَاٰ بِجَانِبِه وَاِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ كَانَ يَــُٔوۡسًا
“Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia, niscaya dia berpaling dan menjauhkan diri dengan sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan, niscaya dia berputus asa.”
Ayat di atas menjelaskan bagaimana sifat sombong dan berputus asa menguasai diri seseorang. Dua sifat di atas menggambarkan situasi manusia yang tidak bersyukur apabila dikurniakan nikmat dari Allah. Apabila seseorang itu diberikan kenikmatan seperti kekuatan tubuh badan, kekayaan harta dan kelapangan hidup nescaya mereka berpaling dari mengingat Allah Penganugerah nikmat itu, lagi menjauh dan membelakang dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan seperti penyakit atau kemiskinan nescaya dia berputus asa, kehilangan harapan dari limpahan rahmat Allah.
Ketahuilah bahawa sekiranya kita menghitung nikmat yang Allah berikan pada kita berupa kesihatan, rezeki, ketenangan hati dan lain-lain, nescaya kita tidak mampu mengira atau menilai dengan tepat kerana kebesaran dan kebesaran Allah. Allah telah berfirman di dalam surah al-Nahl, ayat 18:
وَاِنْ تَعُدُّوْا نِعْمَةَ اللّٰهِ لَا تُحْصُوْهَاۗ اِنَّ اللّٰهَ لَغَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ
"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah niscaya kamu tidali dapat menentukan jumlahnya, sesungguhnya Allah benar-benar Mahapengampun lagi Mahapenyayang,"
Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya menyebutkan, seandainya Allah meminta manusia untuk bersyukur atas semua nikmat yang diberikan, semestinya mereka semua tidak mampu melaksanakannya, kalaupun Allah memerintahkan untuk itu, mereka pun lemah dan meninggalkan untuk melaksanakannya. Begitulah bentuk kasih sayang Allah pada hamba-Nya.
Sifat putus asa merujuk kepada hilangnya semangat untuk berjuang meraih sesuatu, menafikan potensi hakikat manusiawi, tidak mempercayai takdir Allah dan putus asa terhadap rahmat dan kurnia-Nya. Putus asa juga merupakan suatu perasaan yang mana Allah tidak akan memberi jalan keluar kepada seorang hamba, serta telah hilangnya suatu harapan. Maka, sikap ini bukanlah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah kerana Allah tidak akan membantu mereka yang berputus asa.
Kalaulah berputus asa merupakan tindakan yang wajar, maka Nabi Nuh lah yang berhak untuk berputus asa. Seruan dakwah yang dilakukan Nabi Nuh kepada kaumnya tidak pernah berhenti malam dan siang selama 390 tahun. Namun, umatnya tidak memilih untuk mendekatkan diri kepada kebenaran, justeru melarikan diri darinya. Kesabaran dan ketekunan yang ditunjukkan oleh Nabi Nuh perlu diteladani. Jangan pernah kita berputus asa dalam melakukan kebaikan.
Kalaulah berputus asa merupakan tindakan yang wajar, maka rakyat Palestin lah yang berhak untuk berputus asa setelah puluhan tahun mereka dijajah oleh zionis laknatullah. Namun, pada hari ini rakyat Palestin membuktikan bahawa mereka masih lagi berdiri teguh mempertahankan bumi barakah itu tanpa mengenal rasa takut dan gerun walaupun terpaksa menghadapi tentera-tentera zionis laknatullah yang mempunyai kelengkapan senjata berteknologi tinggi. Semangat perjuangan ini membuktikan bahawa mereka tidak pernah berputus asa dan terus berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan keadilan.
Sebagai kesimpulan, dapat difahami bahawa walaupun Allah telah menjanjikan kemenangan Islam di bumi Palestin akan tiba, namun umat Islam tidak boleh hanya berdiam diri menunggu kemenangan itu datang. Kemenangan hanya boleh didapatkan dengan usaha dan doa yang berterusan. Allah telah meletakkan prasyarat kemenangan Islam di Palestin, maka menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam yang taat pada perintah-Nya untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut agar kemenangan yang akan diraih nanti sentiasa mendapat bimbingan, pertolongan dan keredaan Allah.