All Articles

Solusi Tiga Negara: Tidak Membebaskan, Tetapi Menghancurkan

Written by
Haikal Zulkefli
Published on
November 16, 2023

Sebuah tulisan yang dikeluarkan oleh Martin A. Smith, telah mengatakan bahawa solusi yang terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlaku di Palestin adalah dengan melakukan solusi tiga negara (three-state solution) kerana beranggapan solusi dua negara (two-state solution) tidak lagi relevan.

Solusi tiga negara ini terpecah kepada dua pilihan; mengekalkan tiga kawasan yang diperintah oleh fraksi berbeza seperti Gaza di bawah Hamas, Tebing Barat di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Israel atau meletakkan Gaza di bawah Mesir, Tebing Barat di bawah Jordan dan Israel kekal seadanya. 

Kalau ikutkan, solusi tiga negara ini telah dipersembahkan pada tahun 1949 sehingga 1967 di mana kawasan yang disebutkan di atas telah terpecah kepada tiga bahagian. Apabila Perang Arab-Israel yang berlaku selama enam hari pada 1967 yang mana kemenangan berpihak kepada Israel, kawasan ini mula terpisah dari Jordan dan Mesir. 

Sementelah itu, kita melihat bahawa banyak perjanjian yang telah dibuat seperti Perjanjian Oslo, Perjanjian Wadi Araba dan Perjanjian Camp David yang telah memisahkan terus Tebing Barat dan Gaza dari penguasaan negara Arab dan kawasan-kawasan ini mula diisi oleh gerakan Hamas yang bertapak di Gaza manakala PLO-Fatah bertapak di Tebing Barat. 

Kedudukan Hamas di Gaza hari ini bertitik tolak daripada kemenangan mereka pada 2006 dalam pilihan raya yang telah diadakan, kemudian pada tahun 2007 berlaku perang saudara antara Hamas dan Fatah yang menyebabkan Hamas berundur ke Gaza dan Fatah kembali berkuasa dengan bantuan Amerika Syarikat dan Israel seterusnya diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penguasa yang sah untuk Palestin.

Sejak itu, nada para pemimpin dunia adalah untuk menggerakkan agenda solusi dua negara yang telah pun ‘mati’ akibat perjanjian yang sentiasa dilanggar oleh Israel tanpa bangkangan dari PBB. Ramai yang mempersoalkan, kenapa solusi dua negara ini dianggap gagal?

Ada beberapa faktor dan kesan jika solusi dua negara ini benar-benar dijalankan dan sudah pasti kesan yang buruk akan diterima oleh Amerika Syarikat dan Israel. Faktor dan kesan kenapa solusi dua negara ini tidak lagi relevan adalah seperti berikut:

i) Selepas tahun 1967, Israel terus membina penempatan haram di Tebing Barat walaupun telah bersetuju dengan Jordan dan Mesir untuk tidak melebarkan pengaruh mereka ke atas Tebing Barat dan Gaza.

ii) Jika solusi ini dilaksana, Israel akan terikat dan tidak lagi dapat menjayakan cita-cita mereka untuk menubuhkan Israel Raya (The Greater Israel)

iii) Untuk mengekalkan konflik di atas tanah Palestin

Kita dapat lihat bahawa solusi dua negara atau solusi tiga negara, kedua-duanya tidak menyelesaikan masalah, namun ia menyebabkan masalah yang ada semakin bertambah rumit. Mengikut undang-undang antarabangsa, hak yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Palestin adalah hak untuk kembali atau Right to Return untuk mereka kembali semula ke tanah mereka sebelum dijajah pada 1948. 

Persoalan lain yang boleh dikemukakan adalah, dengan perjanjian Oslo 1993 yang menjadikan Mesir hari ini bagai lembu dicucuk hidungnya oleh Israel dan perjanjian Wadi Araba yang menyebabkan Jordan tidak boleh tidak, perlu menuruti Israel, adakah kita masih yakin untuk meletakkan Gaza dan Tebing Barat di bawah kedua-dua negara Arab yang disebutkan tadi?

Tepuk dada, tanya iman kita. 

Apa yang jelas, bumi Palestin pada hari ini telah dijajah, dan tiada kompromi yang kita perlu lakukan bersama penjajah iaitu rejim Zionis Israel.