All Articles

Setuju Resolusi Gencatan Senjata: Apa Khabar Gaza?

8 min read
Written by
Muhammad Syahmi Afiq bin Mohd Shukari
Published on
April 16, 2024

25 Mac 2024, Majlis Keselamatan PBB telah pun meluluskan resolusi untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, setelah lima bulan konflik ganas dan beberapa percubaan untuk meleraikan melalui rundingan, termasuk beberapa resolusi yang dikemukakan sebelum ini gagal dilaksanakan angkara undi veto Amerika Syarikat (AS).  

Resolusi terbaru ini mendesak agar dihentikan serangan di dalam bulan Ramadan dan melepaskan semua tahanan, telah pun disokong oleh 14 buah negara termasuk Cina dan Rusia. Amerika Syarikat memilih untuk undi berkecuali kali ini, tidak lagi menggagalkan usaha untuk menghentikan serangan melalui undi veto mereka. 

Pakar perundangan mengatakan bahawa kelulusan resolusi kali ini memberi kesan yang besar, terutama tindakan Amerika Syarikat yang memilih untuk berkecuali ﹣memberikan tanda bahawa pentadbiran yang diketuai Biden telah hilang sabar terhadap Netanyahu. 

Apa sebenarnya gencatan senjata? 

Kalau ikut tafsiran PBB, gencatan senjata membawa kepada, "A suspension of fighting agreed upon by the parties to a conflict, typically as part of a political process. It is intended to be long-term and often covers the entire geographic area of the conflict. Its aim is usually to allow parties to engage in dialogue, including the possibility of reaching a permanent political settlement."

Untuk lebih mudah faham, ianya satu persefahaman untuk menggantung segala operasi ketenteraan di dalam konflik bersenjata. Gencatan senjata adalah sebuah tindakan yang secara tipikalnya bersifat formal berbanding tindakan lain untuk menghentikan pertempuran dan “melibatkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai objektif, jangka masa, aturan keselamatan dan pemantauan serta proses pengesahan,” berdasarkan panduan daripada Jabatan Hal Ehwal Politik dan Keamanan PBB. 

Apa maknanya resolusi gencatan senjata PBB untuk Gaza?  

Rundingan untuk mengadakan gencatan senjata telah berlaku sejak resolusi tersebut dipersetujui. Namun kelihatan Israel seperti buta matanya, pekak telinganya. Kerana serangan di Gaza masih lagi berterusan walaupun resolusi untuk mencapai gencatan senjata telah dipersetujui. Ulasan pakar perundangan mengatakan bahawa ia sebagai satu kejayaan kepada masyarakat dunia atas desakan untuk mengadakan gencatan senjata dan seterusnya memberi tekanan kepada kedua pihak terutamanya Israel untuk menghentikan terus konflik. 

Israel melalui pejabat Perdana Menterinya menyatakan bahawa keputusan AS untuk tidak menggunakan undi veto mereka sebagai “perubahan posisi konsisten AS di dalam Majlis Keselamatan sejak perang bermula.” Israel membatalkan rancangan untuk menghantar delegasi pegawai mereka ke Washington sebagai respon terhadap tindakan AS tersebut. 

AS telah beberapa kali menyediakan perlindungan diplomatik untuk Israel di PBB sejak perang bermula pada Oktober tahun lalu. Pada fasa awal perang berlaku, diplomat AS mengatakan pada rakan sejawatan dari negara asing bahawa “PBB tidak mempunyai urusan untuk masuk campur di dalam konflik itu,” ujar Richard Gowan, seorang pakar di dalam Kumpulan Krisis Antarabangsa yang bernaung di bawah panji PBB. 

Kini, katanya, Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB sejajar dalam menuntut gencatan senjata, dan Amerika Syarikat telah "membiarkan resolusi menuntut kepada gencatan senjata lulus."

Berbulan lamanya Majlis Keselamatan PBB gagal untuk mencapai kelulusan terhadap usul menuntut gencatan senjata yang dikemukakan pelbagai negara. Disember 2023, AS menggunakan undi veto mereka untuk menggagalkan resolusi yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu kerana dikatakan resolusi itu tidak mengecam serangan 7 Oktober yang dilakukan oleh HAMAS dan Washington pada masa itu tidak menyokong untuk mengadakan gencatan senjata segera di Gaza. 

Setelah hampir sebulan usul diterima, apa yang berlaku di Gaza?

Terbaru, rejim Zionis Israel menyerbu Tulkarem dan Jenin pada awal pagi ini. Dalam masa yang sama, penduduk tanah haram Israel menyerang kediaman dan kedai milik warga Palestin di sekitar Tebing Barat.

Di Gaza, ceritanya tetap sama. Sebuah masjid di kawasan Jabalia telah diletupkan oleh bom Israel dan mengakibatkan kematian serta kecederaan. Antara yang ramai terkesan ialah golongan wanita dan kanak-kanak. Begitu juga di kawasan Beit Hanoun, bunyi tembakan dan letupan yang datang dari kenderaan rejim Zionis Israel silih berganti, menghiasi kepekatan malam. Kawasan Rafah turut mencatatkan satu lagi malam mengerikan apabila rejim Zionis Israel menyerang kediaman penduduk dan menyebabkan empat kematian, serta kecederaan. Antara yang menjadi mangsa maut? Kanak-kanak. Serangan udara juga turut kedengaran di beberapa kawasan di dalam Rafah. 

Sehingga ke hari ini, sekurang-kurangnya 34,262 nyawa telah menjadi mangsa rakus kekejaman Israel. Sekurang-kurangnya 13,800 daripadanya ialah kanak-kanak.

Ya Tuan-tuan. Usul yang diterima baru ini tidak banyak meredakan serangan namun ia menimbulkan banyak kekacauan terhadap Israel daripada sudut tekanan masyarakat dunia untuk mereka menghentikan serangan. 

Enam hari lalu Biden mengeluarkan kenyataan dalam sebuah wawancara dengan stesen media Univison, sebuah rangkaian televisyen berbahasa Sepanyol yang berpusat di Amerika Syarikat, bahawa tindakan Netanyahu adalah sebuah kesilapan. Biden turut menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan pendekatan Netanyahu di dalam menangani situasi di Gaza. Tindakan Netanyahu dan Israel yang menyasarkan konvoi World Central Kitchen juga dianggap sebagai “melampau” sehingga menyebabkan tujuh kematian. 

Untuk bersetuju terhadap gencatan senjata kekal, itu bukanlah pilihan utama Israel. Setuju untuk gencatan senjata kekal bermaksud tentera mereka terpaksa berundur dari Gaza dan ini akan menunjukkan kempen perang Netanyahu selama enam bulan ini menemui kegagalan. 

Gagal di dalam kempen perang bermaksud karier politiknya di penghujung jalan. 

Salah seorang menteri di dalam kabinet perang Netanyahu juga menambah garam kepada luka sedia ada. Benny Gantz sudah pun menyeru untuk diadakan pilihan raya pada September ini. Melalui tinjauan yang dilakukan, sekiranya pilihan raya diadakan, Gantz berpotensi besar menjadi Perdana Menteri baru menggantikan Netanyahu. 

Serangan Iran ke atas Israel juga menambah kekusutan. Walaupun Israel melaporkan tiada kemusnahan yang besar terhadap serangan tersebut, namun ia menunjukkan kemampuan Iran untuk menyerang Israel tanpa menggunakan proksi mereka. 

Respons sekutu Israel terhadap serangan Iran itu pelbagai. Ada yang mengecam, ada yang meminta agar Israel tidak menyerang balas. Kerana semua pihak terutamanya negara jiran serta rakan sekutu kedua pihak tidak akan mampu untuk menampung kos sekiranya perang serantau berlaku. 

Ya, dalam waktu misil Iran menuju ke Israel, rakan sekutu sedia ada Israel seperti Amerika Syarikat dan Britain membantu menghalang misil Iran agar tidak jatuh ke Israel. Harapan Netanyahu, selepas ini rakan sekutunya akan bersama-sama menyerang Iran dan mencetuskan perang serantau. 

Harapannya meleset apabila kedua-dua negara ini menegaskan agar Israel tidak menyerang semula Iran. 

Kenapa? 

AS dan Britain tidak lagi mampu menahan tekanan masyarakat dunia terutamanya rakyat mereka sendiri apabila menyokong segala tindakan Israel selama ini. Tambahan lagi kebanyakan negara Barat mula berkempen untuk mengiktiraf kewujudan Palestin sebagai negara berdaulat. Ini menjadikan status Israel sebagai projek Barat untuk mengukuhkan kuasa di Asia Barat semakin tersisih. 

Taufan al-Aqsa menjadi titik tolak kejatuhan Israel. 

Ditambah lagi warga Yahudi dan sekutunya yang menjadi penduduk di tanah haram Israel mula meninggalkan tanah haram itu, kerana merasakan ‘tanah yang dijanjikan’ sudah tidak selamat untuk didiami. 

Pada akhirnya, Israel kekal tersepit dari semua sudut. 

Kepada Allah jualah kita berserah.