All Articles

Sektor Pertanian: Identiti Rakyat Palestin Yang Terhakis

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
September 13, 2023

Selain disinonimkan dengan gelaran ‘bumi barakah’, Palestin membuktikan keberkatan Allah SWT ke atas tanah itu dengan hasil tanaman yang meriah dan perkara ini sebenarnya telah diperakui oleh ramai pengkaji. Pengeksportan hasil pertanian Palestin bagi buah oren, limau gedang dan lemon pernah mencapai 84 peratus daripada keseluruhan rekod pengeksportan pada tahun 1935.  

Aktiviti pertanian di Palestin boleh dianggap sebagai sektor paling kuno kerana ia telah wujud sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Buktinya, para pengkaji menemukan aktiviti pertanian tertua dunia telah berlaku di kawasan yang terletak di antara Sungai Eufrat dan Sungai Nil (kini: Iraq, Jordan, Syria, Lubnan, Palestin dan Mesir).

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mendapati Jericho (nama Arab: Ariha) yang terletak di Tebing Barat, Palestin sebagai penempatan pertanian terawal dunia sejak 10,000 SM sebelum wujudnya peradaban melalui kemunculan sistem agama dan sosial masyarakat di kawasan itu. Fakta menarik tentang Jericho, kawasan ini terkenal dengan gelaran “Kota Pokok Palma” kerana kekayaannya dengan tumbuh-tumbuhan yang terkenal seperti pokok palma, pokok pisang, pokok buah tembikai, pokok buah oren dan pokok buah anggur.

Di sini sahaja kita sudah boleh menyimpulkan bahawa keterikatan antara rakyat Palestin dengan aktiviti pertanian di tanah airnya sangat dekat sehinggakan dianggap sifat atau ciri kepada budaya negara itu.

Manakan tidak, selain menjadi sumber kepada bekalan makanan di Palestin, sektor ini juga bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara. Laporan daripada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) mendedahkan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Palestin sebelum tahun 1967 pernah mencecah lebih 50 peratus, semuanya kerana hasil daripada sektor pertanian.

Maka tidak hairan mengapa aktiviti pertanian di Palestin masih dikekalkan sehingga ke hari ini walaupun bagaikan di hujung tanduk angkara Zionis. Kepentingan sektor pertanian kepada penduduknya bukan sekadar sebagai sumber makanan tetapi juga adalah identiti mereka sehingga menjadi sasaran rejim Zionis yang paling utama dalam perancangan pengyahudian di negara itu. 

Tetapi, bagaimana ia berlaku?

Tindakan biadab rejim Israel dan Zionis yang disifatkan sebagai pembersihan etnik sejak bertapak di Palestin seawal tahun 1917 secara tidak langsung telah memusnahkan hubungan penduduk tempatan di negara itu dengan tanah mereka. 

Bayangkan sahaja kebergantungan mereka terhadap hasil pertanian yang dirampas Zionis sudah cukup menjelaskan rakyat Palestin berdepan dengan krisis besar iaitu keruntuhan identiti yang dahsyat. Selain kehilangan tanah tumpahnya darah mereka, rakyat Palestin juga menyaksikan kejatuhan ekonomi, kehilangan suara untuk mempertahankan hak, begitu juga kehilangan legasi budaya mereka. 

Semuanya kerana kehilangan tanah mereka.

Menyentuh semula konteks sektor pertanian di Palestin, di bawah pentadbiran British pada tahun 1930, negara itu menyaksikan kepelbagaian hasil tanaman yang menghasilkan 45 peratus sumber bijirin seperti gandum, barli, sekoi dan bijan. Pada masa itu, pengurusan pertanian di Palestin diuruskan oleh 93 peratus penduduk Arab dan hanya 5 peratus sahaja dari kalangan Yahudi. 

Bagaimanapun, kedatangan haram orang Yahudi ke Palestin setiap tahun akhirnya membawa kemerosotan ekonomi penduduk Arab di negara itu apabila jumlah penduduk Yahudi mencecah 30 peratus pada 1939. Sejajar dengan itu juga Palestin mula menyaksikan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat tempatan jika hendak dibandingkan dengan komuniti Yahudi.

Selepas an-Nakbah pada 1948, satu-persatu tanah Palestin dikawal Israel sehingga dikatakan dua tahun sebelumnya rekod kedatangan pendatang haram Yahudi mencecah tahap “kesukaran untuk menempatkan mereka di kem-kem Palestin”. Pada masa itu jugalah rekod ekonomi Palestin mendedahkan aktiviti pengeksportan telah susut sekitar 33 peratus berbanding prestasi tahun 1945 gara-gara pelaksanaan boikot terhadap barangan Yahudi oleh negara-negara anggota di New York seperti yang diputuskan oleh Majlis Liga Arab.

Adakah ia berhasil?

“The Arab boycott means nothing to us. It has no effect on Israel.”                                                                          – Menteri Perdagangan Israel, Chaim Bar-Lev (1975)

Usaha tersebut dilihat kurang membuahkan hasil. Sebaliknya, rejim Israel terus mara meluaskan kuasa dengan mengumumkan pelan rampasan ribuan dunam tanah di beberapa kawasan di Galilee – Sakhnin, Arraba, Dair Hanna, Arab Alsawaed, dan beberapa tempat lain (Israel pada hari ini). Pengumuman tersebut – Projek Pembangunan Wilayah Galilee – dilakukan pada 30 Mac 1967 atas dasar penempatan dan keselamatan penduduk Yahudi. Sehingga ke hari ini, 30 Mac terus diingati sebagai Hari Tanah atau Land Day.

Pertanian di Palestin – Mampukah ia Bertahan?

Ketika artikel ini dibaca, sudah pasti kita sedar akan gerakan Zionis dan Israel yang tiada tanda untuk berundur dari Palestin. Malah, puak Yahudi pula semakin tidak tahu malu mempertahankan kewujudan Israel yang tidak pernah diiktiraf.

Antara tindakan yang dilaksanakan oleh rejim Israel dan golongan Yahudi terhadap kawasan pertanian Palestin – pertama, aktiviti pertanian yang diambil alih golongan Yahudi dilindungi oleh tentera Israel; kedua, memusnahkan ladang pokok zaitun dan tanah pertanian di beberapa kawasan di Tebing Barat; dan ketiga, mengepam air sisa ke kawasan pertanian Palestin sehingga tanaman dan mata air terjejas akibatnya.

Susulan daripada tindakan itu, International Labour Organization (ILO) mendedahkan aktiviti pertanian di Palestin setakat 2022 berdasarkan KDNK Gaza dan Tebing Barat sudah susut. Rekod KDNK di kedua-dua tempat itu mencatatkan nilai 4.8 peratus (Gaza) dan 2.6 peratus (Tebing Barat).

Kini apa lagi yang tinggal untuk penduduk Palestin jika rejim Israel terus merampas kawasan pertanian milik mereka? Sedangkan itulah satu-satunya harta nenek moyang mereka yang diwarisi generasi kini Palestin mengikut sistem pemilikan tanah yang diperkenalkan Empayar Uthmaniyah. Paling tidak masuk akal, para petani Palestin perlu memperoleh permit terlebih dahulu sebelum mendapatkan dan mengusahakan semula tanah tersebut.

Mungkin generasi kita pada hari ini melihat penjajahan Israel di Palestin sekadar rampasan tanah dan penempatan Yahudi secara haram. Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya rejim Israel menghapuskan identiti penduduk Palestin dari akar umbi. 

Barangkali inilah cara mereka menterjemahkan slogan popular rejim Zionis, “A land without people for a people without a land” yang merujuk keadaan Palestin suatu ketika dahulu tidak dihuni atau diusahakan oleh sesiapa pun dan hanya Yahudi berhak ke atasnya. 

Di sini kita dapat menyimpulkan, hak-hak rakyat Palestin perlu dipulangkan dan pihak yang memiliki pengaruh besar seperti negara-negara Arab sekitarnya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri perlu memainkan peranan. Mungkin, dalam usaha mendukung kenyataan bahawa Palestin adalah milik orang Arab dan menggesa pertumpahan darah berlaku, pihak-pihak terlibat perlu menekankan pemilikan tanah rakyat Palestin harus dipertahankan kerana itu sahaja warisan dan identiti mereka yang masih kekal hingga kini, selain bangunan-bangunan bersejarah.