Retorika Amerika Syarikat Dalam Menyelesaikan Masalah Israel
"Saya akan sentiasa mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan dirinya sendiri, dan saya akan memastikan Israel memiliki kebolehan untuk mempertahankan dirinya sendiri. Kerana warga Israel mesti tidak lagi perlu untuk berhadapan dengan kesengsaraan yang disebabkan oleh organisasi pengganas HAMAS pada 7 Oktober, termasuklah keganasan seksual dan pembunuhan orang muda di festival muzik."
Dia menyambung: "Pada masa yang sama, apa yang berlaku di Gaza sejak 10 bulan lalu adalah dahsyat. Begitu banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban. Orang yang terdesak, kelaparan melarikan diri untuk keselamatan, berulang kali. Skala penderitaan sangat menyayat hati."
Harris berkata dia dan Biden sedang berusaha untuk menamatkan perang di Gaza supaya "Israel selamat", para tebusan dibebaskan dan supaya "penderitaan di Gaza berakhir, rakyat Palestin memperolehi hak mereka untuk mendapatkan maruah, keselamatan, kebebasan."
Ucapan retorik ini disampaikan Kamala tiga hari lalu di dalam Konvensyen Kebangsaan Demokratik di Chicago. Dalam usaha US untuk menjadi mediator ke arah gencatan senjata, mereka berterusan menyokong Israel melalui penyaluran dana dan senjata.
Ironi, tetapi itulah realitinya.
Perbincangan terkini berkenaan gencatan senjata telah ditolak oleh HAMAS kerana beberapa draf awal perjanjian yang dikemukakan oleh US dan resolusi yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan PBB telah pun berubah disebabkan pertambahan permintaan oleh Israel yang dipimpin oleh Netanyahu.
Netanyahu telah menegaskan bahawa perang di Gaza akan berterusan sehingga kemenangan mutlak terhadap HAMAS dapat dicapai, walaupun kesepakatan untuk mengadakan gencatan senjata dapat dimeterai. Objektif itu telah diabaikan oleh ramai pegawai tinggi Israel, termasuk menteri pertahanannya sendiri.
Usaha US untuk mencapai gencatan senjata dalam memastikan serangan Israel ini tidak membawa kepada perang serantau tidak akan pernah berjaya selagi US tidak berhenti 'menyuapkan' bantuan kepada Israel; projek barat di Asia Barat yang kini kelihatan mula makan tuan.
Israel vs Hizbullah: Lubnan Menjadi Mangsa
Dalam kekalutan perbincangan berkenaan gencatan senjata, Israel berbalas serangan dengan Hizbullah, gerakan penentangan yang berpusat di Lubnan. Pergerakan Hizbullah yang sejak 1992 dipimpin oleh Hassan Nasrallah, mula bertapak pada 1982, ditubuhkan untuk menentang penjajahan Israel di selatan Lubnan. Kumpulan penentang yang memperolehi sokongan daripada warga Lubnan bermazhab Syiah itu boleh dianggap sebagai antara musuh terbesar Israel di rantau tersebut. Pergerakan yang memiliki pengaruh tersendiri di dalam pentas politik Lubnan sering dianggap sebagai ‘negara dalam negara,’ kerana keluasan jaringan ketenteraan dan politiknya.
Insiden ini adalah tindak balas Hizbullah selepas Israel membunuh komander senior pergerakan ketenteraan Hizbullah, Fuad Shukr di Beirut bulan lepas. Hizbullah menyatakan akan menghentikan serangan terhadap Israel sekiranya perjanjian gencatan senjata Gaza dapat dicapai.
Hassan Nasrallah dalam satu kenyataan mengatakan bahawa serangan pada Ahad ialah serangan yang “sengaja dilengahkan bagi memberi masa kepada perbincangan berkenaan gencatan senjata Gaza untuk mencapai kata sepakat.”
“Matlamat kami… ialah untuk mengakhiri penindasan ke atas Gaza, maka kami memberi peluang yang cukup, tetapi setelah sekian lama, jelas bahawa Netanyahu telah meletakkan syarat baharu dan Amerika bekerjasama dengannya. Semua ini membuang masa, maka tiada lagi sebab untuk menangguhkan serangan,” ujar Nasrallah.
Israel menafikan bahawa serangan yang dilakukan oleh Hizbullah menyebabkan markas pasukan perisik Israel, Mossad terjejas. Nasrallah dalam satu kenyataan yang sama menyatakan serangan tersebut berjaya dan Israel sengaja ‘menyembunyikan’ kemusnahan yang dialaminya.
Apa Akan Berlaku Seterusnya?
Insiden berbalas serangan antara Hizbullah dan Israel kini kelihatannya reda. Lapangan Terbang Ben Gurion juga dibuka semula selepas ditutup akibat serangan Hizbullah sebelum ini.
Kebanyakan penganalisis juga kelihatan bingung untuk menentukan apakah tindakan yang berlaku sehari dua ini akan membawa kepada serangan besar-besaran ataupun tidak.
Jika dilihat pada ucapan-ucapan yang dikeluarkan oleh pegawai tertinggi Israel, mereka banyak menggunakan terma ‘melindungi diri,’ seolah-olah menunjukkan yang Israel tidak akan bertindak-balas secara besar buat masa ini.
Dalam masa yang sama, usaha US, Mesir dan Qatar yang menekan untuk wujudnya persetujuan terhadap gencatan senjata semakin mendesak, dengan harapan ia akan mampu mengelakkan pertembungan besar di rantau tersebut. Dengan permintaan terbaru Israel untuk terus hadir di dua koridor strategik di Gaza, ia menyukarkan lagi usaha untuk mencapai persetujuan HAMAS dan Mesir.
Jika US masih lagi gagal untuk mengusahakan agar pelan damai yang ditaja olehnya diterima oleh kedua belah pihak, ini akan memanjangkan lagi tempoh penganiayaan Israel terhadap Gaza dan menyebabkan lebih ramai warga tidak bersalah akan terus terkorban.
Retorika US yang kini dipimpin Biden dan Kamala dalam menyelesaikan masalah Israel kelihatan mula makan tuan. Sama ada mereka akan meneruskan rundingan gencatan seperti perjanjian yang dipersetujui sebelumnya atau berterusan ‘menyuap’ Israel, menyalahi aspirasi masyarakat dunia dalam menyelesaikan serangan Israel kepada Gaza.
‘Bola’ sekarang ada di ‘gelanggang’ mereka.