Pemilihan Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai calon Timbalan Presiden oleh Kamala Harris sempena pilihan raya Presiden Amerika Syarikat dipercayai untuk mendapatkan semula sokongan ratusan ribu pengundi Demokrat yang kecewa dengan pendirian kerajaan pimpinan Biden terhadap tindakan genosid yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza.
Pemilihan Walz berbanding Shapiro dilihat sebagai usaha parti Demokrat untuk mewajahkan pemain politik yang lebih lunak di dalam menangani isu berkaitan Palestin-Israel. Shapiro dikenali sebagai pro-Israel dan pernah mengeluarkan kenyataan anti Arab telah menyebabkan kucar-kacir di dalam kem Demokrat, oleh kerana itu pemilihan Walz diyakini dapat menenangkan konflik dalaman parti tersebut.
Di sebalik reputasi moderatnya, Walz telah menyatakan pendiriannya dalam isu Israel-Palestin secara jelas. Apakah dia menyokong penentang dan mengecam penjajah secara terus?
Di sinilah istilah moderat itu ditempelkan kepadanya.
Ketika 7 Oktober berlaku, Walz di dalam satu ucapan yang disampaikannya di sinagog mengarahkan untuk bendera negara dikibarkan setengah tiang dan mengkritik mereka yang tidak mengecam operasi tersebut.
"Jika kalian tidak menemui kejelasan moral pada Sabtu pagi itu dan memerlukan masa untuk berfikir (mengambil pendirian) untuk bercakap apa yang perlu diungkapkan, kalian perlu menilai kedudukan kalian semula."
Dalam masa yang sama, Walz juga mengkritik, tapi dengan nada yang halus, tindakan Israel ke atas Gaza dan menunjukkan sensitiviti terhadap kebimbangan pengundi progresif yang berpandangan bahawa situasi di Gaza tidak boleh diterima sama sekali. Ketika memberi respon terhadap undi protes pengundi ketika pemilihan awal parti Demokrat, Walz menyebutkan bahawa dia sedar dan mengambil maklum mesej daripada para pengundi yang protes ini dan menekankan keperluan untuk mendengar dan mengambil peduli kebimbangan mereka. Walz juga menyeru untuk gencatan senjata dijalankan di Gaza, sejajar dengan permintaan para pengundi ini.
Di sebalik usahanya untuk mengemukakan pendekatan yang seimbang, Tim Walz mengekalkan hubungan baik dengan Israel. Sebagai bekas ahli Dewan, beliau menyokong bantuan yang diberikan AS kepada Israel dan menyokong perjanjian nuklear Iran 2015, yang ditentang oleh Israel tetapi disokong oleh kebanyakan Demokrat. Pada 2009, Walz melawat Israel dalam kunjungan diplomatik, bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Pada akhirnya apa yang boleh kita perolehi daripada pilihan raya AS kali ini?
Tidak kira siapa pun yang naik sebagai Presiden dan Timbalan Presiden, kuasa mutlak untuk terus menyokong Israel tetap tertakluk kepada Kongres Amerika Syarikat, bukanlah pada Presiden atau Timbalan Presiden, tidak kira moderat tahap mana pun mereka.
Kongres Amerika Syarikat ini kita boleh anggap Parlimen Malaysia.
Badan yang dianggotai oleh 535 ahli ini dipecahkan kepada seperti berikut:
100 berkhidmat di Senat AS, 435 lagi berkhidmat di dalam Dewan Perwakilan AS.
Berdasarkan carian, kali terakhir Kongres AS mengundi untuk resolusi berkenaan hak Israel untuk terus wujud adalah pada 28 Nov 2023.
Berapa ramai yang mengundi untuk bersetuju dengan resolusi ini?
412 ahli kongres mengundi bersetuju untuk terus menyokong "hak orang Yahudi untuk terus hidup aman di tanah asal mereka."
Tandanya apa?
Siapa pun naik, nasib Gaza tidak akan pernah terbela.
Sebab 412 itu bukan sahaja perwakilan Republikan mengundi, Demokrat pun sama.
Kuasa melobi Yahudi di AS sangat kuat, sehingga tidak kira parti mana anda undi, Israel akan menjadi ejen penyatu.
Masih merasakan Demokrat bakal bawa 'cahaya' untuk Gaza?