All Articles

Persediaan Politik: 4 Hadis Rasulullah SAW Yang Tidak Membenarkan Ziarah Ke Baitul Maqdis

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
February 27, 2023

Inilah langkah kedua Nabi Muhammad SAW sesudah memastikan para sahabat dan pengikutnya faham akan kepentingan Baitul Maqdis yang terkait dengan akidah sebagai indikasi peradaban muslim.

Nabi Muhammad SAW juga mahu seluruh umat tahu bahawa kefahaman politik juga sebenarnya mampu membuka jalan pembebasan Baitul Maqdis dalam keadaan aman damai.

Tetapi, apakah pendekatan politik yang diaplikasikan Nabi Muhammad SAW dalam memastikan Baitul Maqdis merdeka daripada sebarang jajahan asing selain kuasa Islam

Pertama: Nabi Muhammad SAW Tidak Mengizinkan Ziarah Ke Baitul Maqdis

Pada sekitar Mei 2022, Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 telah mengesyorkan kajian semula ke atas fatwa pengharaman umat Islam melawat Masjid al-Aqsa.

Alasan Pengerusi Jawatankuasa Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada ketika itu adalah mahu memastikan ekonomi setempat di Baitul Maqdis, Palestin kembali tumbuh selepas terjejas dimusnahkan oleh rejim Zionis.

Percaya atau tidak, galakan Dr Mohd Khairuddin sama sekali tidak mencerminkan kenyataan Nabi Muhammad SAW yang beberapa kali ‘menyekat’ keinginan para sahabat dan isteri Baginda untuk singgah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Mengapa?

Larangan Nabi Muhammad SAW terkait rapat dengan status Baitul Maqdis yang pada ketika itu sedang dijajah oleh kuasa asing. Sebagai rekod, sejak kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 571 Masihi lagi Baitul Maqdis sudah dijajah kuasa luar iaitu Byzantine. Kemudian Baitul Maqdis dijajah oleh kuasa Parsi sebelum dirampas semula oleh Byzantine. Akhirnya tanah suci itu dibebaskan ketika era Khulafa ar-Rasyidin di bawah pemerintahan Saidina Umar al-Khattab pada 637 Masihi.

Jom telusuri beberapa peristiwa berkaitan keinginan para sahabat untuk menziarahi Masjid al-Aqsa sepanjang Baitul Maqdis di bawah penjajahan kuasa asing iaitu tentera Rom Byzantine tetapi ditegah Rasulullah SAW:

1. Al-Arqam, sahabat pertama yang mahu solat di Masjid al-Aqsa

  • Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi telah kongsikan sebuah riwayat daripada seorang sahabat Rasulullah SAW, al-Arqam RA di dalam bukunya yang bertajuk al-Takhtit al-Istratijiyyah li al-Tahrir al-Qadim li Masjid al-Aqsa al-Mubarak.
  • Rasulullah SAW bertanya kepada al-Arqam RA: “Apa yang kamu mahu?” Al-Arqam RA sambil tangannya menghala ke kawasan Baitul Maqdis, menjawab: “Saya mahu ke sini.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Mengapa kamu mahu ke sana? Adakah untuk urusan perniagaan?” Al-Arqam RA menjawab: “Tidak, saya ingin solat di dalamnya.” Kemudian Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke Mekah dan berkata: “Solatlah di sini. Ia lebih baik daripada seribu solat.”

2. Sahabat yang bernazar dan mendesak untuk dibenarkan ke Masjid al-Aqsa

  • Riwayat Imam Ahmad (12/22, Hadis 14856) daripada Jabir bin Abdullah RA mengisahkan tentang seorang sahabat lelaki yang bernazar.
  • Sahabat lelaki itu berkata pada hari pembukaan kota Mekah: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku bernazar jika Allah membuka kota Mekah untukmu, maka aku akan solat di Baitul Maqdis.” Rasulullah SAW berkata: “Solatlah di sini.” Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah SAW buat kali kedua dan Baginda menjawab: “Solatlah di sini.” Soalan yang sama diulang buat kali ketiga oleh lelaki tersebut, dan Rasulullah SAW menjawab: “Terpulang kepadamu.”

3. Saranan untuk kirimkan minyak ke Baitul Maqdis

  • Ketika Rasulullah SAW ditanya oleh Maimunah binti Saad RA tentang Baitul Maqdis, jawab Baginda: “Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan (al-Hashr) dan dikumpulkan (al-Mahshar). Kunjunginya untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” Maimunah bertanya lagi, “Jika salah seorang daripada kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda menjawab: “Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. (Perbuatan ini) akan menjadikan kalian seakan-akan solat di sana.”
  • Kebetulan pada ketika itu Masjid al-Aqsa diterangi dengan cahaya yang bersumberkan pelita, maka cadangan Rasulullah SAW untuk mengirimkan minyak adalah satu usaha untuk memastikan kawasan Baitul Maqdis sentiasa ‘hidup’.

4. Nazar tunaikan solat di Masjid al-Aqsa

  • Riwayat Imam Ahmad (44/408, Hadis 26826) telah menukilkan seorang sahabiah yang bernazar untuk mendirikan solat di Baitul Maqdis jika Allah SWT memberikan kesembuhan ke atas penyakit yang dihidapinya.
  • Beliau berkata: “Jika Allah menyembuhkanku, aku akan keluar dan solat di Baitul Maqdis.” Maka ditakdirkan Allah SWT, beliau pun sembuh. Sahabiah itu bersiap-siap untuk berangkat keluar. Datanglah Ummu al-Mu’minin Maimunah binti al-Harith, memberitahu wanita tersebut: “Duduklah, makanlah apa yang telah saya siapkan. Solatlah di masjid Rasulullah SAW. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Satu solat di dalamnya lebih baik daripada seribu solat di masjid lain, kecuali masjid Kaabah’.”

Mari kita lihat pula status Baitul Maqdis pada zaman ini. Bukankah ia sedang dijajah oleh rejim Zionis? Penjajahan Israel ke atas tanah Palestin menyaksikan penindasan demi penindasan terhadap rakyatnya hingga mengakibatkan kecacatan anggota dan pembunuhan rakyat negara itu.

Jika kita fahami konteks tegahan dan saranan Rasulullah SAW terhadap para sahabat yang mahu singgah Masjid al-Aqsa, ia sebenarnya adalah sebuah idea bernas bahawa pembelaan Masjid al-Aqsa merangkumi pelbagai cara yang tidak mengancam nyawa.

Seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW kepada Maimunah binti Saad RA untuk mengirimkan minyak bagi tujuan menghidupkan pelita di sekitar Masjid al-Aqsa, begitu jugalah kita perlu mencari alternatif lain untuk menghidupkan semangat perjuangan ke atas masjid itu.

Pada masa yang sama, ini membuktikan bahawa fatwa yang tidak membenarkan ziarah ke Masjid al-Aqsa sebenarnya tepat dan selari dengan seruan Nabi Muhammad SAW, bersesuaianlah dengan situasi semasa.

Memetik perkongsian daripada Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Bayan Linnas Siri ke-15, Ketua Qadi Palestin al-Syeikh Taisir al-Tamimi pernah mengajak beberapa tokoh ulama termasuk Syeikh Ahmad Tayyib untuk menziarahi Baitul Maqdis, khususnya Masjid al-Aqsa.

Bagaimanapun undangan al-Syeikh Taisir al-Tamimi ditolak Syeikh Ahmad Tayyib kerana beliau enggan menggunakan visa Israel yang secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatannya di tanah suci itu.

Tidak cukup dengan itu, lawatan masyarakat muslim ke Baitul Maqdis sebenarnya mampu memacu ekonomi Israel, sekaligus mengukuhkan kedudukan bangsa Yahudi di tanah itu.

Maka, tidak hairanlah beberapa ulama tersohor telah mengharamkan ziarah ke Baitul Maqdis ketika Zionis masih berkuasa. Mereka termasuklah:

  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, bekas pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia
  • Syeikh Dr. Ahmad Tayyib, Syeikhul al-Azhar
  • Syeikh Faisal Maulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa dan Kajian Eropah

Manakala, ramai ulama yang bersetuju mengharuskan ziarah Masjid al-Aqsa. Antaranya:

  • Syeikh Abdul Aziz bin Baz, mantan Mufti Besar Arab Saudi
  • Syeikh Masyhur Hasan Alu Salman dari Jordan
  • Sau al-Funaisan dari kalangan ulama Saudi

Golongan ulama yang mengharuskan kunjungan ke Baitul Maqdis ini dilihat lebih cenderung memihak kepada hadis riwayat Bukhari (1189) dan Muslim (1397):

“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi, iaitu al-Masjid al-Haram, Masjidku (al-Masjid al-Nabawi), dan al-Masjid al-Aqsa.”

Tidak cukup dengan itu, sejarah juga telah merekodkan bahawa Rasulullah SAW pernah menziarahi Masjidil Haram, tawaf, solat dan melaksanakan umrah qadha’ pada tahun ke-7 Hijrah sedangkan pada masa itu kawasan tersebut sedang dicengkam orang musyrikin.

Secara tidak langsung, situasi Masjidil Haram pada masa itu menyamai status Baitul Maqdis pada hari ini.

Namun, setakat ini kita boleh menyimpulkan bahawa tegahan daripada Nabi Muhammad SAW sebenarnya bersandarkan kepada alasan yang kukuh kerana pertama, sudah tentulah untuk keselamatan nyawa. Jika mahukan keberkatan Masjid al-Aqsa semata-mata, niat itu wajar ditangguhkan kerana lebih afdal ketika ini untuk melaksanakan ibadah di masjid lain seperti Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Tetapi jika ada di dalam kalangan kita berpendapat sebaliknya dan bertegas mahu menziarahi Masjid al-Aqsa, seperti Nabi Muhammad SAW pernah membalas kepada seorang sahabat: “Terpulanglah.”

Pun begitu, perlu diingatkan untuk kita tidak sesekali mengiktiraf kedaulatan Israel atau redha dengan perilaku mereka terhadap Baitul Maqdis sebagaimana yang telah ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW.

Semoga kita sentiasa ditetapkan hati untuk berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa.