All Articles

Perayaan Paskah Yahudi (Passover) & Serangan Masjid al-Aqsa

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
April 7, 2023

Entah mengapa bulan Ramadan menjadi sasaran rejim Zionis untuk membantai rakyat Palestin. 

Walaupun tidak dinafikan bahawa setiap hari penduduk Palestin terancam di tanah sendiri sejak peristiwa an-Nakbah pada 1948, kekejaman rejim Zionis dan golongan pelampau Yahudi pasti menjadi luar biasa sepanjang Ramadan. Tindakan mereka membantai orang Palestin pada bulan mulia ini seakan-akan tiada hari esoknya!

Pada 5 April 2023, muslim seluruh dunia dikejutkan dengan khabar sebahagian Masjid Qibli terbakar akibat rusuhan yang berlaku di sekitar perkarangan Masjid al-Aqsa. Difahamkan kegawatan yang sedang berlaku di bumi anbiya itu ada kaitan dengan perayaan Paskah atau dikenali sebagai Passover yang disambut oleh kaum Yahudi di Palestin. Rentetan daripada itu, sekitar 400 orang penduduk Palestin telah ditangkap dari dalam Masjid al-Aqsa dan segelintir daripada mereka tercedera.

Persoalannya, mengapa Masjid al-Aqsa menjadi mangsa kepada perayaan Passover?

Apa itu Paskah (Passover)?

Perayaan Paskah merupakan salah satu perayaan kaum Yahudi yang disambut pada bulan Nisan setiap tahun mengikut kalendar Ibrani. Perayaan ini disambut selama lapan hari dan perayaan Paskah pada tahun 2023 jatuh pada 5 April sehingga 13 April yang kebetulan juga turut berlaku pada bulan Ramadan.

Manakala pada tahun ini, Paskah disambut pada 22 April sehingga 30 April 2024.

Paskah merupakan perayaan tertua bagi kaum Yahudi dan ia dikatakan satu sambutan bagi meraikan pembebasan Bani Israel daripada penindasan Firaun yang menjadi pemerintah Mesir suatu ketika dahulu. 

Kisah ini bukan sahaja telah direkodkan di dalam salah satu kitab Perjanjian Lama (Old Testament), Exodus tetapi juga al-Quran. 

Kehadiran Nabi Musa AS sebagai penyelamat Bani Israel dan utusan Allah SWT untuk menyebarkan dakwah dalam kalangan Firaun telah diperlekehkan sehinggalah beberapa azab yang dahsyat diturunkan kepada pemerintah berkuku besi itu.

Namun Firaun tetap sombong dengan Allah SWT sehingga mencabar mahu bertemu dengan Tuhan yang dimaksudkan oleh Nabi Musa AS. Firaun juga nekad mahu membunuh Nabi Musa AS sebelum Allah SWT menurunkan perintah kepada pesuruh-Nya itu untuk melarikan diri meninggalkan bumi Mesir:

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". – Surah Yunus, ayat 90.

Kitab Exodus juga menceritakan perihal yang sama;

..they are followed by an Egyptian army, and when their course has led them to the Red Sea they are helpless. But a strong wind dries a path for them and they cross in safety. The Egyptians attempt to follow, but the wind changes, and the water comes in under the sand and makes it a quicksand which clogs the wheels of the chariots, the pursuers attempt to escape, but they are caught and drowned by the returning waves.

Pembebasan kaum Yahudi dari kekejaman Firaun di Mesir telah diraikan dengan nyanyian lagu-lagu riang kerana Laut Merah telah memisahkan mereka dari tentera Firaun. 

Upacara Korban di Masjid al-Aqsa Menjelang Ambang Paskah Yahudi

Kacau-bilau yang berlaku di Masjid al-Aqsa sebenarnya berkait dengan upacara korban seekor kambing yang hampir dilakukan oleh ekstremis Yahudi di kawasan pekarangan masjid itu. 

Rentetan daripada itu, rakyat Palestin telah berkumpul bersama-sama selepas solat berjemaah di dalam Masjid al-Aqsa bagi mengelakkan upacara korban tersebut dilaksanakan. Keadaan bertambah keruh apabila pihak polis Israel mula menghalau penduduk Palestin yang mempertahankan Masjid al-Aqsa dan bertindak kasar dengan memukul mereka menggunakan senapang.

Berdasarkan laporan daripada BBC, pertembungan tarikh sambutan Paskah dan Ramadan pertama kali terjadi pada tahun lepas dalam tempoh tiga dekad. Sama seperti kejadian baru-baru ini, rakyat Palestin terpaksa menanggung kekejaman rejim Zionis yang memberi perlindungan ketat terhadap kaum Yahudi yang memenuhi kawasan Masjid al-Aqsa.

Menelusuri sejarah perayaan Paskah, upacara korban kambing adalah sesuatu yang baru bagi kaum Yahudi. Pada zaman dahulu, mereka meraikan Paskah dengan mengorbankan manusia. Difahamkan mereka memilih manusia untuk dikorbankan sebagai tanda peringatan kepada insiden anak-anak lelaki Bani Israel yang menjadi korban kepada Tuhan yang dikenali sebagai Yahweh. Kejadian itu direkodkan berlaku sebelum Bani Israel melarikan diri merentasi Laut Merah yang terbelah dua.

Isu ini tidak akan menjadi satu masalah besar jika perayaan yang diraikan kaum Yahudi tidak menyentuh sensitiviti agama. Tindakan golongan Yahudi pelampau yang bertindak mahu membuat aktiviti keagamaan di perkarangan Masjid al-Aqsa bukan sahaja mencemar kesucian masjid itu tetapi juga telah mencabar undang-undang atau status quo yang telah ditetapkan sejak 1967: 

Jordan, whose ruling Hashemite family has custodianship of the Muslim and Christian sites, appoints members of the Waqf institution which oversees the site… Under the longstanding "status quo" arrangement governing the area, which Israel says it maintains, non-Muslims can visit but only Muslims are allowed to worship in the mosque compound.

Pun begitu, status quo terhadap Masjid al-Aqsa sudah banyak kali dicabul oleh rejim Zionis dan golongan Yahudi pelampau. Sejajar dengan hal tersebut, berkali-kali juga resolusi digubal demi kesejahteraan seluruh kawasan Baitul Maqdis. 

Tetapi di manakah ketegasan dan peranan kerajaan Jordan dalam mempertahankan hak institusi muslim ke atas Baitul Maqdis dan kawasan Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNESCO, Liga Arab, Kesatuan Eropah, Rusia dan Amerika Syarikat (AS)?

Sebenarnya amaran tegas terhadap Israel dan rejim Zionis tidak mencukupi untuk menghentikan keganasan mereka di Palestin. Satu tindakan dan keputusan tegas perlu diambil oleh PBB serta negara-negara terlibat kerana pihak Israel tiada tanda untuk menghentikan keganasan mereka. 

Malah sejak Israel diperintah oleh Benjamin Netanyahu, keamanan di Palestin semakin meruncing. Salah satu buktinya, kerajaan terlaknat itu dalam pertimbangan untuk meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pemilikan senjata api dalam kalangan penduduk haram Israel sebagai usaha melindungi diri dari serangan rakyat Palestin.

Pada masa yang sama, semua umat manusia tanpa mengira bangsa, budaya dan agama perlu bersatu hati menentang keganasan Israel dan rejim Zionis di Palestin. Ketika isu Israel-Palestin dilihat sebagai satu isu agama dalam kalangan umat Islam, ia secara tidak langsung adalah satu masalah kemanusiaan yang perlu dititikberatkan seluruh dunia. 

Tanah Palestin adalah hak rakyat Palestin – merangkumi majoriti orang Islam; minoriti Yahudi dan Kristian – yang telah dihalau Israel dan rejim Zionis sejak 1948. Sudah 75 tahun mereka tidak berpeluang untuk pulang, sampai bila mereka harus menjadi pelarian? 

Berdasarkan hak yang telah diluluskan di dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politikal (ICCPR) dan Perjanjian Antarabangsa tentang Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR), bukankah PBB merupakan salah satu entiti yang paling berkuasa untuk mempertahankan hak rakyat Palestin sebagaimana mereka berhak untuk hidup bebas di tanah air sendiri? Tetapi sebaliknya berlaku apabila PBB lebih selesa memberi amaran, seakan-akan menikus dengan kelantangan Israel dan rejim Zionis.

Sudah masanya untuk semua bangsa dan agama bersatu hati melihat isu ini sebagai isu yang perlu diperjuangkan. Dalam era teknologi tinggi dan mudah untuk mengakses isu semasa melalui pembacaan dan aktiviti sosial, mustahil lagi untuk kita memejam mata dan memekakkan telinga. Tidak perlu lagi menunggang trend – hanya memperjuangkan isu ini mengikut musim kerana ia merupakan satu perjuangan sepanjang masa selagi mana rakyat Palestin belum hidup bebas di tanah air mereka.