All Articles

Peranan Korban Dalam Menyokong Ekonomi Palestin

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
April 13, 2023

Amalan korban atau disebut sebagai Udhiyah adalah satu amalan yang melibatkan pengorbanan haiwan ketika sambutan Aidiladha. Walaupun amalan ini memberi adalah memberi keutamaan kepada pembersihan jiwa di dalam agama, tetapi ia juga mampu memberi manfaat dari sudut ekonomi kepada komuniti setempat. 

Dalam kes Palestin terutama di Gaza, amalan korban mampu menyumbang kepada komuniti setempat dengan beberapa cara. Seperti yang kita tahu, rakyat Gaza di Palestin telah menerima kesan dari penjajahan yang dilakukan oleh rejim Zionis. Gaza adalah kawasan yang digelar sebagai penjara terbesar di dunia kerana menempatkan populasi pelarian yang terbesar selepas Palestin mula dijajah oleh British pada tahun 1916 dan penubuhan Israel pada 1948. 

Mereka sering menerima serangan ketenteraan dari Israel, disekat akses kepada ekonomi, kesihatan, pendidikan, sumber air dan elektrik serta banyak lagi. Kadar pengangguran juga adalah yang tertinggi di dunia akibat dari peluang pekerjaan yang terhad. 

2 juta rakyat Palestin di Gaza - 1.4 juta daripadanya adalah pelarian Palestin yang berdaftar bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengalami pelbagai sekatan sejak Jun 2007 dan tahun ini memasuki tahun ke-16. Sekatan yang telah diperkemaskan sejak 2009, telah melemahkan sektor eksport di Gaza secara serius dengan menyebabkan banyak kilang dan firma terpaksa tutup. 

Sekatan ini juga memberi kelebihan kepada Israel kerana ekonomi Palestin perlu bergantung kepada mereka, dan hasil kebergantungan ini menyebabkan peratus dagangan Palestin meningkat daripada 63 peratus pada tahun 1999 kepada 79 peratus pada tahun 2009. 

Defisit dagangan juga telah berlaku yang dikeluarkan dalam bentuk peratusan GDP yang dianggarkan meningkat daripada 38 peratus pada tahun 1999 kepada 56 peratus pada tahun 2008. Peningkatan defisit ini memberi kepada kenaikan harga barang dan pengangguran semakin meningkat. 

Jadi bagaimana amalan korban ini membantu rakyat Palestin terutama di Gaza dari sudut ekonomi?

Amalan korban mampu meningkatkan ekonomi tempatan. Dengan menggunakan haiwan korban di Gaza, ia mampu mempromosikan pertanian tempatan dan penternakan, di mana ia dapat membantu petani dan usahawan Palestin. Ini juga membantu mereka untuk mencipta ruang kerja dan merangsang pertumbuhan ekonomi di Gaza.

Selain itu, daging korban boleh diagih-agihkan kepada fakir miskin dan asnaf, di mana ia mampu membantu meringankan beban dan mengurangkan kelaparan. Ini mampu memberi impak yang positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan penduduk Gaza, terutama kepada mereka yang mempunyai terkesan dengan kemerosotan ekonomi. 

Dengan kesihatan yang baik, mereka mampu untuk bekerja bagi menyara keluarga mereka. Selain daripada bekerja, dengan bantuan keperluan seperti daging tadi, ia mampu memberi kekuatan kepada mental mereka untuk terus berhadapan dengan kezaliman Zionis dan mereka mampu untuk mandiri dengan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk Gaza yang lain. 

Amalan korban juga adalah masa untuk bersedekah, dan kebanyakan Muslim memilih untuk menyumbang duit kepada badan kebajikan yang menyokong Palestin. Ini sebenarnya secara tidak langsung membantu menyediakan sumber bagi projek pembangunan ekonomi, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan asas yang lain. Mungkin bagi kita dengan satu plastik daging korban, tidaklah banyak untuk membantu mereka. Tetapi tidak bagi mereka. 

Dengan impak-impak yang positif ini ia mampu memberi sinar dan kekuatan kepada penduduk Gaza yang dihimpit kesulitan. Di Malaysia, amalan korban itu perkara yang biasa kerana kita mudah untuk memperolehi daging korban dan bilangan tidak terhad. Di Gaza, penduduknya perlu menunggu setahun sekali untuk mendapatkannya, dan merekalah yang sedang berjuang mempertahankan tanah mereka dari dirompak oleh Zionis.