Pengyahudian: Benarkah Sisa-Sisa Palestin Akan Terkubur?

Israel sekarang sedang berhadapan dengan rampasan kuasa kehakiman (judisiari) yang sedang dilakukan oleh pemerintah mereka sendiri di samping ketidakstabilan ekonomi yang juga melanda seluruh dunia.
Walaupun begitu, Israel kelihatan tidak duduk diam dalam menggerakkan agenda Israel Raya dengan mengeksploitasi Tebing Barat dan Baitul Maqdis dengan melaksanakan polisi Pengyahudian yang radikal yang telah menguburkan impian rakyat Palestin dengan membunuh dan merampas tanah serta kediaman mereka secara agresif.
Sejak tertubuhnya Israel pada Mei 1948, Israel telah mengamalkan dasar perubahan demografi melalui penempatan, pemindahan paksa, pencerobohan dan pembunuhan untuk mengubah status quo dan komposisi demografi dan mengenakan fait accompli sama ada di Baitul Maqdis atau Tebing Barat, kedua-duanya sangat diidamkan oleh Israel yang kini dipimpin oleh kerajaan yang paling radikal dalam sejarah Israel, malah mereka juga dianggap sebagai penjenayah yang paling ganas di dunia ketika ini.
Menurut data yang telah dikeluarkan oleh Palestinian Civil Resistance Against Israel’s Apartheid Wall, bilangan pendatang haram di Tebing Barat termasuk Baitul Maqdis mencapai hampir 726,427 orang dan diagihkan kepada 176 penempatan haram dan 186 pos luar. Mereka melihat Tebing Barat dan Baitul Maqdis ini adalah sebahagian dari kawasan Israel, walaupun mereka berjaya menawannya pada tahun 1967 ketika perang Enam Hari.
Pemimpin Israel juga membenarkan pendatang haram untuk mencuri tanah-tanah milik rakyat Palestin dengan sokongan yang telah diberikan oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang menggalakkan pendatang haram untuk mendirikan penempatan haram di Tebing Barat dan dengan niat membunuh rakyat Palestin. Kenyataan ini jelas seperti yang telah dinyatakan oleh Ben-Gvir,
“I give you full and absolute support for the construction of outposts and launch a large-scale military operation during which thousands of Palestinians will be eliminated.”
Dalam usaha mereka untuk meningkatkan penempatan dan melaksanakan rancangan mereka ini, rejim Israel telah memberi kepercayaan kepada pendatang haram yang ekstrim dengan sokongan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Israel iaitu Bezalel Smotrich di mana dia telah menjadi pemudah cara dan mempercepatkan urusan pembinaan penempatan serta mengeluarkan kelulusan awal bagi perancangan dan pembinaan tanpa perlu mendapatkan kelulusan peringkat politik.
Selama beberapa tahun, pendatang haram telah meningkatkan serangan mereka bermula daripada kumpulan-kumpulan kecil di kawasan kecil yang terhad kepada serangan berskala besar termasuklah kampung-kampung seperti kampung Huwara di selatan Nablus dan kampung Turmus Ayya di utara Ramallah. Kedua-dua kampung ini mempunyai demografi penduduk Arab Palestin yang agak ramai dan kawasannya cukup signifikan di dua wilayah di atas terutama penentangan mereka terhadap rejim Israel. Jadi, dengan cara ini Israel mampu untuk memastikan mereka keluar dari tanah mereka dan menjadi kawasan itu sebagai penempatan haram Yahudi Zionis.
Menurut Perjanjian Oslo, kawasan yang diletakkan bawah pantauan dan pentadbiran Israel dikenali sebagai kawasan C, yang merangkumi 60 peratus kawasan di Tebing Barat, manakala kawasan A dan B merangkumi 40 peratus kawasan di Tebing Barat, dan secara rasminya boleh dianggap mereka di bawah kekuasaan PA, namun realitinya sangat berbeza dan penempatan haram semakin meningkat penguasaannya di kawasan-kawasan lain di Tebing Barat.
Jika perancangan rejim Israel ini berjaya, rakyat Palestin hanya mempunyai dua pilihan; sama ada menjadi sebahagian dari Israel, pilihan yang pasti ditolak oleh Israel kerana ia akan menyebabkan populasi rakyat Palestin akan melebihi penduduk Yahudi Israel. Pilihan kedua pula adalah memencilkan rakyat Palestin dengan tembok-tembok tahanan dan kempen penghapusan etnik dan mengubah tanah bersejarah Palestin kepada negara Yahudi dari sudut budaya dan agamanya.
Cuma, untuk terkuburnya Palestin disebabkan perancangan jahat ini agak mustahil kerana rakyat Palestin tidak akan pernah kendur semangat mereka untuk mempertahankan tanah air mereka. Selama 75 tahun ini, kita melihat perjuangan yang tidak pernah padam dan sokongan masyarakat antarabangsa semakin meningkat. Namun, kita perlu juga melihat kepada tekanan dan perancangan yang dilakukan oleh Zionis dan sekutunya di mana mereka sedang ‘membeli’ negara-negara Arab yang selama ini berpihak kepada Palestin.
Sama ada Israel atau Palestin, yang pastinya Palestin telah begitu lama wujud, tanah yang diberikan kepada para Anbiya’ yang membawa kepada jalan yang lurus (Islam), bukan tanah yang diberikan kepada mereka yang kufur.