All Articles

Pengalaman di Beirut: Catatan Refleksi

Written by
Syahmi Afiq
Published on
January 4, 2024

Pagi semalam kami bertemu dengan 3 buah NGO, yang banyak memfokuskan kepada bantuan pelbagai jenis untuk pelarian Palestin, khususnya yang berada di Lubnan. Bantuan bukanlah sekadar bantuan fizikal, kerana salah sebuah NGO yang kami temui itu lebih banyak fokus kepada isu-isu terkait hak asasi manusia. 

Ada juga maklumat sensitif yang berjaya kami sahkan, terkait pengaruh agama dan politik terhadap penderitaan pelarian di kota yang pernah mendapat jolokan sebagai Paris of the Middle East. 

Namun itu akan saya tuliskan dalam entri lain, selepas sampai di Malaysia. Insyaallah. 

Usai menemui 3 buah NGO tersebut, Akh Tarek dari Zaytouna berhajat nak mengajak kami berjalan di sekitar bandar Beirut. 

Namun yang lebih menggiurkan kami adalah kehadiran sahabat-sahabat CGM yang menjalani misi kemanusiaan di Beirut iaitu di kem Burj al-Barajneh dan kem Shatila! Haha. 

Setelah mereka menyelesaikan misi menyampaikan sumbangan kalian di Turki dan Syria, mereka meneruskannya di Lubnan. 

Jadual hari kedua mereka di Lubnan akan bermula di kem yang kami tumpangi sepanjang menjalani latihan bersama Zaytouna. Selepas itu akan pergi ke Shatila, lokasi di mana pembunuhan beramai-ramai pada 1982 berlaku. 

Peluang untuk memasuki kem dan bertemu dengan keluarga, sambil melihat dengan lebih jelas keadaan infrastruktur mereka bukanlah satu peluang yang boleh dilepaskan begitu sahaja. 

Kem Burj al-Barajneh (برج البراجنة) adalah antara kem terawal yang wujud selepas peristiwa Nakbah pada tahun 1948. Lokasi yang berdekatan dengan lapangan terbang dan kawasan tepi bandar Beirut, kem ini kelihatannya terlepas daripada pembangunan yang berlaku di sekitar Beirut. 

Kem yang menempatkan 31000 pelarian, dan ada antaranya juga pelarian Syria selepas krisis Syria meletus, digambarkan sebagai "kepulauan warga Sunni yang dikelilingi komuniti Syiah." 

Kem Shatila pula adalah kem yang menjadi saksi 43 jam pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin yang didalangi oleh Israel. Ini pun satu topik yang agak sensitif kerana banyak terkait dengan politik Lubnan dan pengaruh agamawan pelbagai latar belakang. 

Kem Shatila menempatkan sekitar 14000 orang pelarian dengan kawasan seluas 0.068 km persegi. 

Binaan rumah di kedua kem ini menjangkau sehingga 6-7 tingkat. Dibina tanpa ada sebarang nasihat daripada orang berkelayakan, risiko untuk runtuh itu wujud. Kerana setiap rumah yang dibina di bahagian lantai, akan ada rumah lain dibina di atasnya tanpa ada perancangan yang rapi. Bayangkan ada 6-7 tingkat rumah yang dibina tanpa asas tapak yang kukuh, sedikit gegaran sahaja mampu untuk meranapkan binaan rumah tersebut. 

Oleh kerana pembangunan di dalam kem tidak dirancang sebaiknya, ada kawasan yang terlindung daripada cahaya matahari, ada kawasan yang dipenuhi takungan air parit, kawalan sampah yang tidak terjaga menyebabkan penyakit berjangkit mudah untuk merebak. 

"Kalau aku duduk sini, memang tiada motivasi untuk terus hidup." 

- Johan Muhammad, Kem Shatila, Beirut, Lubnan. 

Ya. Keadaan sekeliling menyebabkan kita hilang motivasi untuk terus hidup namun bagi mereka yang jauh terbuang daripada negara asal dan meyakini bahawa satu saat jalan kemenangan akan hampir serta membuka ruang untuk kembali, inilah harga yang terpaksa dibayar untuk meneruskan hidup. 

Antara contoh yang kami temui, seorang lelaki tua berumur 86 tahun, saksi hidup kejadian Nakbah. Beliau meneruskan hidup di Kem Shatila bersama keluarganya sejak dihalau keluar dari Palestin ketika berusia 12 tahun. 

Dengan penuh semangat beliau bersyarah kepada kami semalam, peristiwa yang menyayat hati beliau, tatkala dihalau keluar dari tanah beliau dilahirkan. 

Beliau juga menunjukkan dokumen pemilikan tanah keluarga beliau bertarikh tahun 1947 yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Akka. 

"Mana Israel? Ini bukti yang negara Palestin itu milik kami! Bukan Netanyahu, bukan Israel!" ujarnya sambil memegang dokumen tersebut. 

------------------------

Benar. Menziarahi mereka menyebabkan kita koreksi semula jiwa kita. 

Apakah kita bersyukur dengan apa yang kita miliki? 

Atau kita sering mengambil kesempatan dengan apa yang kita ada? 

Tafakkur. 

Tadabbur. 

Tasyakkur. 

Tafakkur kita biarlah sampai saat kita mampu untuk berdamai dengan diri sendiri, menemui Allah SWT melalui keheningan yang wujud dalam sanubari, meluah kepadaNya sehingga menerbitkan ketenangan dan kebahagiaan. 

Tadabbur kita pula biarlah sampai mampu menemui kebesaran Allah SWT di dalam apa sahaja yang kita pegang, lihat dan rasa. Semua yang ada ini ialah bukti kekuasaan Allah SWT. Tinggal lagi kita hendak melihat atau membutakan diri. 

Tasyakkur pula hendaklah dijalankan bukan sekadar ungkapan, namun melalui perlakuan kita. Bukankah hidup kita ini ibadah? Biar sampai orang lain menemukan kebahagiaan dengan sikap kita yang menjalani kehidupan dengan penuh rasa syukur. 

Pengalaman ini pengalaman yang mahal. 

الحمد الله على كل حال ونعمة