All Articles

Pembersihan Etnik di Palestin, Perang Dunia Ketiga (WWIII)?

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 1, 2024

Mimpi ngeri penduduk Palestin di Semenanjung Gaza adalah satu realiti pahit yang perlu ditelan. Kemusnahan di wilayah dijajah Israel itu kini mencerminkan apa yang telah berlaku di Jerman ketika Perang Dunia Kedua. 

Adakah ini bermakna situasi di Gaza boleh dianggap sebagai perang dunia ketiga dalam era milenial? 

Perang Dunia Kedua mula tercetus apabila Jerman yang dipimpin Adolf Hitler menceroboh dan menyerang Poland pada 1939. Serangan itu akhirnya mendorong Perancis dan United Kingdom (UK) untuk isytihar perang menentang Jerman demi melindungi Poland. Kemudian pada 1941, Kesatuan Soviet ikut masuk campur selepas bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengalahkan Nazi.

Bayangkan sepanjang tempoh 7 tahun, Jerman dan Poland masing-masing merekodkan sekurang-kurangnya 8.8 juta penduduk dan 5.6 juta penduduk terbunuh dalam Perang Dunia Kedua yang tamat pada 1945. 

Wajarlah angka kematian di kedua-dua negara itu sangat tinggi kerana populasi penduduknya sewaktu zaman sebelum perang itu juga tinggi dengan jumlah 69.46 juta orang (Jerman) dan 32.3 juta (Poland).

Melihat pula keadaan terkini di Gaza (setakat 30 Disember 2023), angka kesyahidan di sana sudah mencecah lebih 21,500 orang. Angka tersebut tidak termasuk dengan jumlah rakyat Palestin yang dilaporkan hilang akibat sama ada tertimbus di bawah tanah atau runtuhan bangunan; dan mereka yang syahid tetapi belum lagi jenazahnya diselamatkan oleh pihak penyelamat. Sebagai rekod, jumlah populasi sebenar di Gaza sebelum perang adalah sekitar 2.2 juta orang. 

Walaupun kadar kesyahidan di Gaza tidak setara dengan kematian akibat Perang Dunia Kedua di Jerman atau Poland, namun ia tetap satu tamparan hebat kerana angka kesyahidan itu telah melepasi:

1. Rekod kematian ketika Lubnan diserang Israel pada 1982.

2. Rekod kematian penduduk Ukraine akibat perang dengan Rusia yang bermula pada 24 Februari 2022.

3. Hampir mencecah angka kematian di Bulgaria ketika Perang Dunia Kedua.

Melihat kepada angka kesyahidan di Gaza, termasuk sekitar 70% kediaman serta bangunan awam di wilayah itu yang sudah musnah dan rosak; serta 1.9 juta atau 80% penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal - keadaan penduduk Palestin di sana, ya, tidak ubah seperti situasi ketika Perang Dunia Kedua.

Kira-kira satu juta penduduk Eropah kehilangan tempat tinggal selepas mereka menyelamatkan diri dengan keluar dari negara masing-masing. Keadaan huru-hara itu menyebabkan beberapa buah negara, seperti Australia terpaksa menerima kemasukan pelarian Eropah - seramai 170,000 orang untuk tempoh 5 tahun - melalui perjanjian bersama Organisasi Pelarian Antarabangsa (IRO) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tidak dilupakan juga bagaimana Nazi membantai golongan Yahudi sehingga menyebabkan hampir enam juta bangsa itu terbunuh dan yang terselamat pula melarikan diri ke negara lain. Kesannya pada hari ini, lihatlah bagaimana penduduk Palestin dikerjakan Zionis untuk mencapai cita-cita mereka iaitu mempertahankan negara haram Israel untuk penduduk haram Yahudi!