Pembebasan Ekonomi Palestin Melalui Matawang Digital

Pada pertengahan Jun 2021, pasaran kewangan dunia tertarik dengan pengumuman Palestinian Monetary Authority (PMA) mengenai usaha mereka dalam mengkaji matawang kripto, sekaligus menjadi langkah awal dalam pembebasan ekonomi Palestin dari kawalan Israel.
Tidak mengejutkan pun berita ini kerana Gerakan Penentangan Islam atau HAMAS terlebih dahulu melangkaui langkah PMA dengan menerima sumbangan dana dalam bentuk wang kripto dari beberapa buah negara dan beberapa individu, seterusnya menggunakan dana tersebut untuk menggerakkan operasi mereka sejak 2019.
Apa yang menyebabkan kedua-dua entiti ini memilih untuk terjun ke dunia kewangan digital?
Pertama, Palestin merupakan antara negara yang tidak memiliki matawang rasmi untuk didagangkan. Penduduknya menggunakan matawang Israel, shekel selain bergantung kepada dinar Jordan dan dolar Amerika Syarikat (AS).
Kedua, Israel telah memonopoli ekonomi Palestin sejak 1994 melalui Protokol Paris dan Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada April tahun yang sama. Melalui persetujuan dua pihak, Israel melumpuhkan kuasa PMA tetapi disertakan jaminan penduduk Palestin untuk bekerja di wilayah haram Israel. Syarat itu terpaksa diterima Palestinian Authority (PA) kerana mereka tidak mampu menyediakan keterjaminan pekerjaan di Gaza dan Tebing Barat.
Matawang Digital – Satu Penyelesaian atau Sebaliknya?
Sebenarnya, keadaan kewangan penduduk Palestin semakin meruncing kerana kitaran wang shekel ‘tersumbat’ di bank-bank tempatan. Manakan tidak, bank-bank Palestin berdepan dengan lambakan shekel kerana undang-undang Israel melarang transaksi besar dan menetapkan had pemindahan bulanan shekel dari Palestin ke wilayah haram Israel. Lebih mengeruhkan keadaan, penduduk Palestin yang bekerja di Israel menerima gaji dalam tunai shekel. Jadi, bagaimana mereka mahu elakkan ‘kesesakan’ kewangan tersebut?
Disebabkan itu, apabila PMA berhasrat untuk mengkaji ekosistem matawang digital, jelas menunjukkan mereka bukan sahaja mahu membebaskan ekonomi negara daripada penindasan dan kawalan Israel, tetapi mahu melancarkan aliran wang di antara dua wilayah – Palestin dan Israel. Secara tidak langsung, mudahlah untuk Palestin menempuh arus permodenan yang bebas tunai (cashless) dan penduduknya tidak perlu lagi membuat pinjaman untuk membayar pihak ketiga yang bertanggungjawab membuat pertukaran matawang asing.
Tetapi cita-cita tersebut terlalu tinggi kerana dari sudut pandangan pakar, keadaan ekonomi makro di Palestin tidak memberi ruang kepada perubahan tersebut, terutama sekali apabila ia diwujudkan sebagai medium pertukaran matawang. Pada masa yang sama, bekas penasihat gabenor Bank of Israel (BOI) menegaskan bahawa kewujudan teknologi itu mustahil akan menggantikan shekel, dinar atau dolar.
Kenapa?
Penganalisis ekonomi Palestin, Sara Roy mendapati kebergantungan ekonomi Palestin terhadap Israel terlalu tinggi kerana kadar pengeluaran dan perdagangan di negara itu sangat rendah, “..the issue for the majority of Palestinians is not primarily a lack of control over their money, but their inability to generate money because their economy has been devastated.”
Kenyataan Sara Roy juga selari dengan perkongsian juruelektrik Palestin, Mahmoud, “When those who work in Israel put their money here, they move the economy. But if no one is working in Israel, then we don’t get any money here. Everything stops. We’re turning on the same wheel.”
Maka, tidak hairan mengapa 153,000 penduduk Palestin terpaksa mendapatkan permit kerja di dalam Israel berdasarkan rekod suku ketiga 2023 dan rekod pengangguran pula tidak banyak berubah berbanding suku kedua 2023 dengan jumlah 369 ribu penduduk Palestin (Tebing Barat dan Gaza).
Tidak Mustahil
Tetapi, boleh jadi juga tanggapan pakar terhadap ekonomi digital di Palestin meleset kerana sebuah temubual bersama salah seorang penduduk Palestin membuktikan penggunaan matawang kripto di negara itu tidak mustahil.
Pemuda Palestin yang mahu dikenali sebagai Uqab memberitahu bahawa permintaan terhadap matawang kripto, bitcoin (BTC) di Gaza menunjukkan peningkatan sejak 2017. Perkara ini didorong ketika harga BTC berada di paras terendah dan mereka membelinya sedikit demi sedikit sebelum harga BTC melonjak, sekaligus membawa keuntungan kepada mereka.
Tidak cukup dengan itu, keadaan di Gaza lebih sukar kerana mereka tiada akses kepada Venmo atau PayPal dan tiada cara yang lebih mudah untuk membuat transaksi ke luar Palestin. Pernah berlaku apabila penghantar wang di Teluk atau AS terpaksa menggunakan pihak ketiga di Thailand atau China sebelum tiba di bank Gaza. Tetapi matawang kripto memudahkan mereka, tidak melibatkan banyak pihak dan tidak membabitkan sejumlah wang yang besar untuk membayar pihak ketiga.
Cara pemindahan wang begitulah dikenali sebagai sistem berpusat kerana pemindahannya dikawal oleh pihak luar dan ia berbeza dengan mata wang kripto yang memiliki ekosistem desentralisasi (juga dikenali sebagai tidak berpusat).
Kajian Kes
Selain HAMAS, al-Qaeda dan Islamic State juga pernah melancarkan kempen sumbangan di dalam unit BTC. Difahamkan kempen yang dilancarkan HAMAS bermula pada 2019 di saluran rasmi Telegram sebelum berpindah ke laman web rasmi – https://fund.alqassam.net/mid/
Direkodkan sepanjang musim perang Saif al-Quds pada 2021, HAMAS menyaksikan lonjakan sumbangan di dalam BTC dan dana itu digunakan untuk kegunaan pihak ketenteraan yang mempertahankan tanah berdaulat mereka dari penjajahan Israel.
Bagaimanapun, pada 2020 Jabatan Keadilan (DOJ) AS mengumumkan operasi rampasan lebih 150 akaun wallet matawang kripto milik HAMAS. Manakala pada Jun 2023, akaun kripto milik Hizbullah dan Pasukan Elit Quds telah dibekukan oleh Binance.
Bagaimana mereka boleh melumpuhkan kekuatan ekonomi kripto para pejuang Islam sedangkan ia bersifat desentralisasi? Ini kerana Binance dan beberapa wallet yang digunakan mereka adalah hot wallet dan akaun kripto mereka sentiasa disambungkan dengan internet. Disebabkan itu, entiti ketiga seperti Binance, Luno atau KuCoin boleh bekerjasama dengan AS dan Israel dalam memerangi pihak mujahidin.
Pada masa yang sama, jumlah pemindahan dana yang terlalu banyak mudah dijejaki oleh teknologi seperti yang digunakan TRM Forensics berdasarkan alamat wallet (wallet address) mereka. Sebagai rekod, salah satu alamat wallet kripto HAMAS ialah 17QAWGVpFV4gZ25NQug46e5mBho4uDP6MD. Tetapi kini alamat tersebut sudah tidak aktif, barangkali selepas DOJ bertindak.
Melainkan jika ada entiti yang pro-Palestin atau mereka menggunakan cold wallet (tidak dihubungkan dengan internet setiap masa), segalanya akan baik-baik sahaja untuk para mujahidin. Tetapi di dalam serangan terkini – Taufan al-Aqsa, HAMAS awal-awal lagi melarang penyokongnya untuk tidak menyumbang aset kripto, bimbang sekiranya hal yang sama akan berlaku.
Era Digitalisasi, Sumbangan Melalui Matawang Kripto
Jika begitu, adakah sumbangan di dalam wang kripto merupakan satu penyelesaian untuk pembebasan ekonomi Palestin?
Ya dan tidak.
Keseluruhan konteks artikel ini membuktikan betapa mudahnya untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk Palestin melalui matawang kripto tanpa melibatkan entiti ketiga yang tidak mustahil mengenakan caj hampir separuh daripada dana yang disalurkan.
Tetapi untuk membangunkan ekonomi di Palestin sudah tentulah tidak kerana apa-apa pun ia perlu bermula di dalam negara itu sendiri. Misalnya, Palestinian Authority (PA) perlu mengusahakan inisiatif yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Palestin tanpa perlu mereka berhijrah ke Israel.
Memetik semula kenyataan penganalisis ekonomi Palestin, Sara Roy: “..the issue for the majority of Palestinians is not primarily a lack of control over their money, but their inability to generate money because their economy has been devastated.”
Mujurlah ada segelintir NGO, seperti Cinta Gaza Malaysia yang mengusahakan program pembangunan ekonomi Palestin dalam pelbagai bentuk dan fokus. Sekurang-kurangnya penduduk Palestin percaya mereka mampu hidup tanpa kebergantungan kepada Israel. Dan apabila ekonomi mereka sudah kukuh, pada masa itulah kita boleh usahakan untuk langkah yang lebih agresif iaitu memperkenalkan matawang rasmi Palestin.
Namun, untuk membangunkan sesebuah ekonomi itu tidak mudah kerana mereka perlu batu asasnya. Seperti mahu membuka sebuah perniagaan, perlu ada modalnya. Begitulah konsepnya terhadap dana yang disalurkan kepada mereka melalui saluran yang dipercayai. Tidak kiralah secara tunai atau cashless, kedua-duanya sangat memainkan peranan penting untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.