All Articles

Pelan Gencatan Senjata 135 Hari HAMAS; Israel Meroyan

Written by
Syahmi Afiq
Published on
July 10, 2024

Israel, US, Qatar dan Mesir telah menyerahkan pelan gencatan senjata selama enam minggu kepada pihak HAMAS, tiga minggu yang lalu. 

Hujung Januari, pihak HAMAS melalui kenyataan Ismail Haniyeh mengakui telah menerima pelan cadangan tersebut dan akan membuat semakan terhadap tuntutan yang dikemukakan kepada mereka.   

Itu cerita hujung Januari. 

Memasuki minggu kedua Februari, Perdana Menteri Qatar dan Setiausaha Negara AS mengeluarkan kenyataan bahawa respon HAMAS positif terhadap pelan yang mereka kemukakan. 

Tapi, HAMAS dalam masa yang sama telah mengemukakan penambahbaikan terhadap pelan tersebut dengan mencadangkan pelan gencatan senjata secara berperingkat, yang akan memakan masa 135 hari dalam usaha untuk menghentikan pertempuran yang telah berpanjangan sejak 7 Oktober 2023.  

3 fasa pelan gencatan senjata itu merangkumi: 

i) 45 hari pertama: Menghentikan pertempuran dan HAMAS akan mengembalikan semua tahanan wanita, lelaki berumur bawah 19 tahun, warga emas dan mereka yang sakit dengan pertukaran tahanan wanita dan kanak-kanak warga Palestin yang ada di dalam penjara Israel. Tentera Israel juga dikehendaki untuk keluar daripada kawasan penempatan penduduk di Gaza serta pembinaan semula hospital dan kem pelarian akan dimulakan di dalam Gaza. 

ii) 45 hari kedua: Tahanan lelaki yang masih ada di dalam tahanan mujahidin akan ditukarkan dengan tahanan Palestin di penjara Israel serta tentera Israel keluar secara menyeluruh dari Gaza. 

iii) 45 hari terakhir: Kedua-dua pihak akan bertukar-tukar baki tebusan dan mayat.

Malangnya, walaupun kelihatan seperti orang tengah seronok dengan respon positif HAMAS, ada dua pihak kelihatan tidak mahu mencapai persetujuan dengan pelan yang dicadangkan oleh HAMAS. 

Biden dan Netanyahu. 

Biden menyifatkan tuntutan HAMAS sebagai "sedikit melampaui batas". 

Netanyahu menyatakan bahawa "tuntutan khayalan" HAMAS sebagai pelik. 

Tambah Netanyahu lagi, serangan di Gaza akan diteruskan sehingga para pemimpin HAMAS terbunuh dan mereka mencapai "kemenangan sepenuhnya."

Masih ingat apa objektif Israel meneruskan serangan ke atas Gaza? 

i) menghapuskan HAMAS, 

ii) mengembalikan semua warga Israel yang berada di dalam tahanan mujahidin dan, 

iii) memastikan selepas HAMAS lenyap, tidak akan ada lagi unsur pengganas yang boleh disebarluaskan dalam kalangan penduduk Gaza, seterusnya menjamin keamanan Israel. 

125 hari perang berlaku, kelihatan tiada langsung tanda-tanda ketiga objektif ini dapat dicapai oleh Netanyahu dan sekutunya. 

Inilah kegagalan Israel dan AS yang tidak akan pernah mereka akui. 

Terdesaknya AS untuk mengekalkan pengaruh mereka di Asia Barat jelas terlihat dengan polisi negara mereka yang banyak menyebelahi Israel. 

Dalam masa yang sama Israel berterusan mendapat manfaat melalui suntikan dana AS untuk mereka meneruskan serangan terhadap Gaza. 

Jadi siapa tunggang siapa? Israel tunggang AS atau AS tunggang Israel?