Meremang bulu roma bila dengar Yahya Sinwar dilantik menggantikan Ismail Haniyyeh.
Semasa ditanya program Analisa TV Al-Hijrah dua hari lepas, siapa yang akan menggantikan Haniyyeh, saya menyebutkan bahawa ia bergantung kepada strategi pembawaan HAMAS selepas ini. Kalau HAMAS mahu 'ride the wave' perubahan politik antarabangsa dan sokongan yang semakin meningkat kepada Palestin, mereka akan melantik diplomat iaitu Khaled Mesha'al.
Kalau mereka mahu memberikan kuasa dan fokus kepada Gaza, mereka akan melantik Khalil Al-Hayyah. Saya menyebutkan yang saya cenderung kepada Khalil kerana:
1. Khalil anak Gaza yang berdepan 1001 ujian di Gaza bersama penduduknya dan mereka mahukan orang dari dalam,
2. Sentimen Khalil dekat kepada rakyat kerana mempunyai anak yang syahid dan anak-anak lain terkenal berada bersama barisan mujahidin,
3. Khalil mengetuai negosiasi gencatan senjata saat ini.
Rupanya HAMAS mengambil tindakan lebih agresif dan genius.
Kenapa Yahya calon paling layak saat ini dan apa mesej HAMAS dengan pelantikan beliau?
1. HAMAS sudah puas bertarik-tali dan berdiplomasi, keputusan-keputusan mendatang akan lebih keras dan tegas, hitam atau putih.
2. Yahya orang paling sesuai berdepan dengan Netanyahu, mereka sama keras kepala dan susah bertolak-ansur. Kalau Haniyyeh terkenal dengan 'Kami tidak akan mengiktiraf Isr@el," Sinwar terkenal dengan perkataan "Khawah rughma anfih خاوة رغم عنفه" iaitu "Lantak kau nak ke tak nak, aku akan buat juga."
3. Perang di Gaza adalah perang pembebasan dan bukan perang ke arah langkah pembebasan. Catur digerakkan untuk sampai ke tahap 'checkmate'.
4. Kuasa dikembalikan kepada Gaza kerana selayaknya mereka menentukan masa depan gerakan pada masa ini. Yahya lebih dikenali sebagai mujahid dan bukan orang politik, justeru kuasa sayap bersenjata disatukan dengan kuasa politik. Yahya antara pengasas Briged Al-Qassam dengan nama Al-Majd di awalnya.
5. Komunikasi di antara pimpinan sayap bersenjata dan sayap politik ternyata tidak putus walaupun Yahya tidak pernah dilihat sejak 7 Oktober.
6. Berapa lama Yahya boleh bertahan di dalam terowong, mengetuai perang? Untuk konteks, Yahya telah dipenjara selama 23 tahun oleh penjajah, 4 tahun daripadanya beliau duduk di dalam 'solitary confinement' seorang diri dan hanya bercakap dengan semut, bermakna setakat memerintah dari dalam terowong ibarat syurga untuk beliau!
Kalian telah memenggal kepala 'Abu Bakar' yang lemah-lembut untuk digantikan dengan 'Umar Al-Khattab' yang bengis dan kasar!