Mengapa seorang askar Israel mencium kepala Mujahidin al-Qassam?

Meskipun ini bukan kali pertama rakyat Palestin menunjukkan layanan baik terhadap tawanan mereka daripada kalangan tentera dan pendatang haram Israel, namun sikap yang ditunjukkan oleh askar tawanan, Omer Shem Tov — yang disaksikan oleh dunia secara langsung melalui siaran Al Jazeera dan saluran-saluran lain ketika Omer Shem bertindak mencium kepala para ‘penculiknya’ daripada Briged al-Qassam di Nuseirat dengan penuh spontan, serta ketenangan yang jelas terpancar sewaktu proses pertukaran tahanan berlangsung; telah telah mencetuskan reaksi yang besar dalam kalangan masyarakat dunia.
Sedangkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana mungkin seorang askar Israel sanggup mencium kepala penculiknya. Hakikatnya perkara ini tidak dapat dipisahkan daripada konteks yang muncul pada 7 Oktober dan berlanjutan selepasnya. Peristiwa ini menjadikan detik tersebut sebagai salah satu momen bersejarah yang telah merakamkan kemenangan moral rakyat Palestin terhadap pihak musuh yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas mereka—suatu jenayah yang dikutuk oleh mahkamah antarabangsa.
Bagi sesetengah pihak, imej seorang tawanan Israel mencium kepala mujahidin al-Qassam mungkin dilihat sebagai satu perkara yang menggelikan hati. Namun, hakikatnya, gambar ini membawa makna yang lebih mendalam dalam usaha mendokumentasikan kemenangan sebuah bangsa yang ditindas terhadap penjajah yang telah merampas tanah dan tempat suci mereka. Ia merupakan gambaran yang penting dalam perjalanan pembebasan Palestin, sekaligus ianya adalah sesuatu yang belum pernah terjadi dalam sejarah perjuangan rakyat Palestin.
Imej ini bukanlah sekadar satu tindakan yang berlaku pada satu detik yang berlalu begitu sahaja, bahkan bukan pula satu adegan yang berlaku tidak kena pada tempatnya. Sebaliknya, ia adalah sebuah imej kukuh yang penuh dengan nilai moral, kebijaksanaan, serta petanda perubahan dalam isu yang menjadi perhatian dunia seluruhnya.
Gambar seorang askar Israel mencium kepala seorang mujahidin al-Qassam mengesahkan bahawa perjuangan penentangan Palestin terus berjaya memenangi hati dan minda melalui tingkah laku mereka. Lihatlah, bagaimana hasil penting yang muncul berawal daripada prestasi dan akhlak mereka di medan pertempuran. Mungkin bagi mana-mana penyelidik yang bersikap neutral, mereka dapat saksikan betapa banyaknya pujian dan penghargaan, hanya dalam masa dua hari terakhir, terhadap sikap mujahidin Palestin dan Briged al-Qassam, yang telah menyebabkan seorang askar Israel dengan spontannya bertindak mencium kepala salah seorang mujahidin yang bertanggungjawab menawannya.
Dimensi Moral dan Kesannya
Sepanjang 15 bulan pertempuran, perjuangan penentangan Palestin telah membuktikan keunggulan moral mereka yang begitu tinggi dalam hal tawanan dan pelbagai aspek lain juga. Nilai-nilai ini ternyata telah ditegaskan sejak ucapan pertama dalam Operasi Taufan Al-Aqsa, yang disampaikan oleh al-syahid Muhammad al-Deif, di mana al-syahid telah menegaskan bahawa golongan kanak-kanak dan warga emas tidak akan dijadikan sasaran. Prinsip ini juga jelas terzahir dalam pelbagai peristiwa sepanjang Taufan al-Aqsa berlangsung.
Malah, ada juga cerita-cerita daripada pendatang haram Israel yang mengesahkan perkara ini. Antaranya ialah seorang wanita bernama Rotem, yang turut berkongsi bahawa para mujahidin al-Qassam telah meyakinkannya bahawa mereka tidak akan membunuh wanita dan kanak-kanak.
Dalam apa jua keadaan, ramai pemikir dunia berpendapat bahawa pematuhan kepada prinsip moral dalam peperangan bukan sekadar isu etika semata-mata, tetapi juga suatu keperluan strategik yang menyumbang kepada kemenangan. Falsafah ini turut diketengahkan oleh pemikir seperti Immanuel Kant dan lain-lain.
Di samping itu, Briged al-Qassam telah mencerminkan nilai-nilai masyarakat Palestin dan memperkukuh imej mereka serta rakyat Palestin secara keseluruhan melalui pendekatan ini. Besar kemungkinan bahawa gambaran moral ini akan meningkatkan lagi sokongan terhadap perjuangan penentangan Palestin di samping meruntuhkan sekatan dan pengasingan yang cuba dikenakan oleh penjajah dengan cara kekerasan.
Cerdas dan Kreatif
Kecerdasan dan kreativiti kumpulan mujahidin dalam mengurus isu tawanan merupakan satu aspek lain yang tidak kurang pentingnya berbanding dimensi moral. Tentunya ia juga menjadi faktor yang menyokong strategi perjuangan dalam menghadapi fasa semasa.
Kita telah menyaksikan video yang diterbitkan oleh pihak mujahidin, di mana dua tawanan Israel melihat rakan-rakan mereka dibebaskan, sebelum mereka sendiri merayu kepada pihak kerajaan Israel agar meneruskan rundingan pertukaran tawanan. Rakaman ini bukan sekadar mesej biasa, tetapi membawa unsur kejutan dan cabaran keselamatan terhadap penjajah. Di samping ia juga menunjukkan keupayaan luar biasa kumpulan mujahidin dalam menyampaikan mesej mereka secara kreatif, yang sekali lagi berfungsi mempercepatkan proses pertukaran dan membawa kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata sehingga mencapai penghentian perang sepenuhnya.
Gambar dan rakaman yang terpahat dalam ingatan kolektif masyarakat tempatan, antarabangsa dan bahkan dalam kalangan rakyat negara penjajah—daripada imej seorang askar Israel yang ditarik keluar dari keretanya pada 7 Oktober, hinggalah ke detik pembebasan tawanan dan segala makna yang dibawanya—bukanlah sekadar peristiwa biasa. Ia melambangkan perubahan besar yang akan memberi kesan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk masyarakat Palestin dan masyarakat musuh.
Penulis: Mahmud al-Rantisi, The Palestinian Information Center